Malam kian kelam, suram. Purnama sudah lama
menyembunyikan diri dibalik awan hitam, kelam. Angin malam perlahan menerpa ke
raut wajahnya. Dibiarkan sahaja jendela kamarnya sedikit terbuka. Hartini
memandang ke langit. Kepalanya didongak. Entah apa yang dicari. Tiada bintang
yang bergemerlapan. Hanya pungguk yang sesekali seakan berbisik sesama sendiri.
Fikiran Hartini melayang. Jauh.
“Tini”, Faiz memangil Hartini. Hartini yang sedang
khusyuk meneliti nama-nama buku di perpustakaan sedikit terkejut. Tiba-tiba ada
yang menyapa.
“Eh, Faiz”, Hartini menoleh ke arah Faiz seketika.
Kemudian kembali matanya menyoroti satu persatu buku yang terdapat di rak
tingkat kedua.
“Kau cari bahan untuk Cyberlaw ke?”, Faiz
menyoal, sambil membelek-belek judul buku berhampiran dengan Hartini.
“A’ah. Eh dapat tajuk apa?”, Hartini kembali
menyoal.
“Telemedicine, Tini?”
“Copyright. Macam susah sahaja”, Hartini
seolah-olah mengeluh. Sebenarnya keluhan itu bukanlah ditujukan kepada subjek
yang dipelajarinya. Apa yang dikeluhkan adalah berkenaan buku-buku di
perpustakaan kolejnya. Perpustakaan sudahlah jauh dari fakulti, kecil pula tu.
Tambah lagi dengan jumlah bukunya yang tak seberapa. Hati kecil Hartini
mengomel-ngomel.
“Tak adalah susah. Senang lagi tajuk tu dari Telemedicine.
Nak tukar dengan aku?”, Faiz tersenyum-senyum mengusik, namun sempat lagi
kening kanannya diangkat. Seoalah-olah serius dengan apa yang dikatakannya
sebentar tadi.
“Ui tak naklah, yang Copyright ni pun dah
pening-pening. Telemedicine tak fokus sangat lagi”, agak panjang
penerangan Hartini. Namun dia tahu, Faiz hanyalah bergurau. Faiz ketawa kecil. Faiz
memang begitu. Mesra dan mudah didekati. Tak hairanlah ramai yang menaruh minat
terhadap Faiz, tidak terkecuali Hartini sendiri. Bukan sahaja ada rupa, malah
boleh dikategorikan antara pelajar yang terbaik kolej. Memang meletup!
“Eh Faiz, kenapa tak datang kelas pagi tadi?”,
Hartini tiba-tiba teringat. Pagi tadi ada dua subjek. Tapi dua-dua subjek Faiz
tidak hadir. Pelajar-pelajar sekelas yang lain tidak tahu. Shazali yang satu
bilik dengan Faiz pun tidak dapat memberikan jawapan. Faiz menghilangkan diri
seketika dari kuliah.
“Rindu ke?”, Faiz tidak menjawab soalan Hartini.
Sebaliknya bertanyakan soalan cepu emas kepada Hartini. Hartini tergelak agak
kuat. Namun dia masih dapat mengawal suaranya agar tiada orang lain yang terganggu
dengan ketawanya tadi. Hartini tidak tahu untuk menjawab. Tiba-tiba dia merasa
pipinya panas.
Tangan Faiz ligat membuka helaian sebuah buku yang
dipegangnya. Telemedicine and Law. Ada beberapa halaman dari buku
berkenaan menarik perhatian Faiz. Maklumat yang dikehendakinya ada di situ. Hartini
sudah pun berangkat ke meja tulis yang disediakan pihak perpustakaan.
Sedang Hartini leka dengan buku-buku tersebut, Faiz
menarik kerusi di hadapan Hartini dan terus melabuhkan punggungnya di situ. Faiz
menghadiahkan senyuman buat Hartini, rakan sekelasnya.
“Seorang sahaja kan?”, tegur Faiz.
“Berdua”, balas Hartini. Sebenarnya dia agak kaget
apabila Faiz datang ke mejanya.
“Siapa?”, Faiz melihat sekitar perpustakaan. Mungkin
Atikah atau Hafizah yang datang bersama Hartini, teka Faiz. Di rak buku tadi, dia
tidak sempat untuk bertanya.
“Dengan Faizlah yang duduk semeja ni. Tanya lagi”,
Hartini sengaja mengenakan Faiz. Faiz tersengih-sengih.
“Tini, nak bagitau ni..”, Belum sempat Faiz
menyempurnakan ayat, tiba-tiba ada staf perpustakaan membuat pengunguman bahawa
perpustakaan akan ditutup dalam masa lima minit sahaja lagi. Semua pelajar
diminta untuk keluar dengan segera.
“Alamak, buku tak pinjam lagi. Nak pergi kaunter sekejap”,
Hartini meminta izin, walaupun tak perlu. Faiz mengiakan. Setelah meminjam dua
buah buku dari perpustakaan, Hartini keluar bersama Faiz untuk pulang ke kolej
kediaman. Langsung Hartini terlupa untuk bertanya apa yang ingin disampaikan Faiz
sebentar tadi.
Faiz berjalan beriringan dengan Hartini menuju ke kolej
kediaman. Masing-masing datang ke perpustakaan dengan berjalan kaki. Nasib
baiklah tidak jauh dengan kolej kediaman. Hanya jauh jika ke fakulti sahaja.
Harapkan pengangkutan pihak kolej? Entah bilalah akan sampai. Silap-silap, jika
berjalan pulang pun sudah sampai ke destinasi lebih awal daripada membuang masa
menunggu van atau bas kolej datang. Memang penantian itu sesuatu yang menyiksakan.
Malah tidak hairan, lebih separuh dari warga kolej memilih untuk menggunakan
kenderaan sendiri.
Baru sahaja Hartini hendak melangkah menyeberangi
jalan, tiba-tiba Faiz memanggil Hartini dengan kuat.
“Tini!”, seraya kedengaran hon yang berlanjutan dari
sebuah kereta kancil berwarna putih. Faiz menolak Hartini jauh ke depan.
Hartini tergamam. Dia terjatuh. Dan pemandu kancil itu tidak sempat untuk
menekan brek. Bunyi sebuah objek dilanggar kuat kedengaran. Hartini segera
menoleh.
“Faiz!!”, Hartini segera bangun dan mendapatkan Faiz.
Objek yang dilanggar tadi adalah Faiz. Darah Faiz mengalir menghujani jalan.
Pemandu kancil putih, Wasie cemas. Wasie keluar dari kereta untuk melihat orang
yang dilanggarnya. Ya Allah, apakah yang aku lakukan? Wasie bermonolog
sendirian. Hartini menangis teresak-esak. Faiz tidak sedarkan diri.
Beberapa orang pelajar yang melihat kejadian
tersebut turut menghampiri. Seorang pelajar perempuan sedang cuba menghubungi
pihak ambulan kolej, namun tidak berjawab. Dia mencadangkan Faiz segera di bawa
ke hospital. Bimbang kehilangan darah dalam jumlah yang lebih banyak. Dua orang
pelajar lelaki membantu Wasie mengangkat Faiz ke dalam kereta. Wasie mengajak
Hartini mengikutnya. Wasie tidak mengenali Faiz atau Hartini sebenarnya.
Hartini mencari-cari senarai nama ahli keluarga
Faiz. Dia berjaya menemui ‘Ibu’, lalu panggilan dibuat kepada ibu Faiz. Hartini
menyusun ayat dengan baik, dia tidak membertahu ibu Faiz keadaan Faiz yang
sebenar, bimbang ibu dan ahli keluarganya yang lain susah hati. Hartini hanya
memaklumkan bahawa Faiz terlibat dalam kemalangan kecil dan mengalami sedikit
kecederaan.
Faiz masih di bilik pembedahan. Hartini
bermundar-mandir di hadapan bilik pembedahan. Wasie duduk di kerusi yang terletak
di sisi kiri pintu bilik. Dahinya berkerut. Ternyata kekesalan terukir
diwajahnya. Di dalam hati, dia tidak putus-putus mendoakan supaya Faiz selamat.
Shazali tiba bersama beberapa orang rakan yang lain. Mereka cuba menenteramkan
Hartini yang gelisah.
Ibu dan ayah Faiz baru sahaja tiba. Ibu Faiz mencari
orang yang menghubunginya sebentar tadi. Hartini bersalaman dengan ibu Faiz.
Shazali dan yang lain pula bersalaman dengan ayah Faiz. Beberapa soalan
ditanyakan oleh si ibu dan ayah. Terpamer gelisah di raut wajah kedua mereka.
Hati ibubapa mana yang tidak risau jika sesuatu berlaku kepada anak mereka?
Lampu bilik pembedahan sudah dipadamkan. Doktor
Qayyum keluar dan menghampiri ayah Faiz, Encik Halim. Dari butir-butir
perbicaraan Doktor Qayyum, beliau meminta maaf kerana gagal menyelamatkan Faiz.
Air mata Hartini semakin mencurah. Sebak dihatinya tidak tertahan. Hartini
terkilan. Malah dia juga merasa bersalah, sepatutnya dia yang dilanggar. Bukan
Faiz. Faiz kemalangan kerana ingin menyelamatkannya. Hafizah memeluk Hartini,
dibisikkan istighfar, juga kata-kata semangat.
Hartini menyeluk poket baju kurung yang dipakainya.
Dia masih belum menyalin pakaian walaupun sudah lama pulang daripada hospital.
Ada dua telefon bimbit. Satu miliknya, dan satu lagi milik Faiz. Hartini
terlupa untuk memberikannya kepada ibu atau ayah Faiz. Hartini meletakkan
telefonnya di atas katil. Dia menggenggam telefon Faiz dan menuju ke jendela.
Air mata Hartini sudah kering untuk mengalir. Namun
hatinya masih dilanda gerimis yang berpanjangan. Sepanjang mengenali Faiz,
Hartini tidak pernah dapat meluangkan masa yang begitu lama dengan Faiz. Ya, agak
lama. Andainya Faiz mengetahui isi hatinya.. Hatini pasrah. Mungkin itu tanda
Faiz bakal meninggalkannya. Faiz diberi ‘pinjam’ kepadanya pada hari ini.
Angin makin kuat bertiup. Ada rintik hujan mula
jatuh ke bumi. Tempiasnya mengenai pipi Hartini. Hartini tersedar dari lamunan.
Dia menghulurkan tangan tangannya ke luar jendela, seolah-olah menadah air
hujan. Bagaikan puas dengan bukti bahawa hujan akan lebat, barulah dia
menarikkan tangannya kembali. Hartini menarik tabir jendelanya, ditutup.
Langsir juga dibetulkan dan dilabuhkan. Hartini duduk dibirai katil. Telefon
milik arwah ditatapnya.
“Kau tahu Tini, sebenarnya Faiz…”, bisik Shazali
semasa beriringan keluar dari dewan peperiksaan kolej.
“Kenapa?”, Hartini ingin tahu apa yang cuba
disampaikan Shazali tentang arwah Faiz.
“Arwah sukakan kau”, kata Shazali. Sebagai teman
sebilik arwah Faiz, banyak yang dikongsikan mereka berdua.
Hartini tersentap. Barangkali itu apa yang cuba
arwah sampaikan kepadanya di perpustakaan dahulu. Kalaulah arwah masih hidup,
kalaulah.. Hartini beristighfar. Kalau-kalau itu datangnya daripada syaitan,
hati kecilnya bermadah. Hartini menarik nafas dalam-dalam dan menghembuskannya
perlahan. Aku juga sukakan dia, rupanya aku tidak bertepuk sebelah tangan.
Hartini memejamkan mata rapat-rapat.
Kisah lebih tiga tahun dahulu menjadi peneman
harinya. Masih dirasakan bagai baru sahaja ianya berlaku. Lebih tiga tahun jugalah
dia kehilangan seorang teman, malah berhutang nyawa dengan temannya itu.
Senantiasa dia berdoa semoga arwah Faiz ditempatkan dikalangan insan-insan yang
terpilih di sisi Tuhan. Hartini akur, Bunga-bunga kasih masih mewangi di dalam
hati Hartini. Dalam tidak sedar, ada air hangat yang mengalir dari matanya
membasahi kedua pipinya.
~Nurfatimahz Puteri~