© Hakcipta adalah terpelihara.

Sunday, December 09, 2007

kebebasan dan hak

kebebasan media dan hak berhimpun
Oleh : Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali

Saya telah menonton rancangan '101 East AlJazeera' baru-baru ini. Saya mengikuti perbahasan antara Khairy Jamaluddin (KJ) dan Datuk Nazri Tan Sri Aziz (DN) bersama Malik Imtiaz. Terdapat beberapa perkara yang saya rasa perlu untuk diketengahkan:

Perkara 1: Jelas Saudara KJ dan DN tidak faham bahawa hak untuk berkumpul adalah hak asasi semua rakyat dalam sebuah negara yang mengaku mengamalkan demokrasi. Kedua-dua KJ dan DN gagal memberikan alasan yang kukuh mengapa kekerasan terpaksa digunakan pada 10 November 2007. Mereka gagal untuk menjustifikasi tindakan polis menggunakan air kimia dan gas pemedih mata untuk menyuraikan perkumpulan.

Mereka gagal untuk menjusfikasi penggunaan kekerasan ke terhadap mereka yang menyertai perhimpunan tersebut. Mereka gagal menjustifikasi penangkapan lebih 80 peserta. Mereka gagal menjustifikasi tindakan polis mengepong Dataran Merdeka bagi menghalang peserta berkumpul di sana. Pada waktu yang sama, Al Jazeera juga menunjukkan "footage" air kimia dan gas pemedih mata digunakan bagi menyuraikan peserta 10 November.

Kedua-dua KJ dan DN gagal membuktikan Malaysia adalah sebuah negara demokrasi, setelah secara jelas pihak polis menggunakan kekerasan ke atas rakyat hanya kerana rakyat memilih untuk menyatakan perasaan mereka. Polis secara ganas memijak lutut seorang pemerhati yang tidak melawan dan tidak bersenjata sehingga lutut orang tersebut hancur serta terpaksa dibedah. KJ juga cuba untuk menggunakan peristiwa Batu Buruk sebagai alasan.

Mungkin KJ terlupa bahawa di Batu Buruk orang awam telah ditembak dengan peluru hidup oleh polis. Seharusnya pihak polis yang dipersalahkan kerana perhimpunan-perhimpunan besar telah diadakan di tempat yang sama sebelum ini tanpa sebarang insiden. Sehingga kini kita masih tidak dimaklumkan mengenai tindakan terhadap anggota polis yang menembak dan juga pembakar bendera Malaysia.

Perkara 2: KJ juga cuba mewarnakan perhimpunan 10 November sebagai perhimpunan pembangkang dan bukannya perhimpunan rakyat. Lupakah KJ bahawa pemimpin, ahli dan penyokong parti pembangkang adalah rakyat Malaysia juga? Mungkin KJ lupa bahawa lebih daripada 35 peratus rakyat Malaysia mengundi parti yang lain daripada Barisan Nasional (BN) dalam setiap pilihanraya. Kalau dikira 10 juta pengundi, ia bermakna mereka berjumlah 3.5 juta pengundi. 3.5 juta pengundi ini sewenang-wenangnya dinafikan hak mereka sedangkan mereka juga membayar cukai, tol dsbnya? Perkara ini menampakkan mentaliti anti-demokrasi KJ dan Umno/BN yang terdedah dalam program tersebut.

Perkara 3: Persoalan kebebasan media juga telah diutarakan dalam perbahasan tersebut. Saudara Malik menyatakan fakta bahawa media di Malaysia memerlukan permit dari kerajaan BN untuk diterbitkan atau beroperasi. Lantas, saudara KJ cuba untuk memberikan harapan kepada rakyat Malaysia bahawa kebebasan media akan diberikan kembali kepada pihak media dengan merujuk kepada ucapan Presiden Umno di perhimpunan agung parti itu baru-baru ini. Malangnya, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak menunjukkan bahawa hak untuk menerbitkan akhbar atau apa-apa bentuk media di Malaysia terletak di tangan menteri dan tidak boleh dicabar hatta di dalam mahkamah.

KJ tidak sedikit pun memberi apa-apa komen terhadap fakta ini. Tiada pernyataan jelas sama ada Perdana Menteri akan meminda akta tersebut untuk mengizinkan mana-mana pihak untuk mengendali media. Tanpa komitmen ini, kenyataan perdana menteri baru-baru ini tidak lebih merupakan retorika kosong dan tidak lebih dari wayang kulit, apatah lagi dibuat dalam forum yang salah. Sekiranya kerajaan yang diterajui Umno/BN benar-benar ikhlas untuk mengembalikan kebebasan media di Malaysia, langkah pertama boleh dimulakan dengan mengizinkan PAS menerbitkan semula Harakah dua kali seminggu.

Ini tidak memerlukan pindaan akta. Cuma sepucuk surat dari Menteri Dalam Negeri. Saya cabar KJ dan Umno untuk membuktikan komitmen mereka terhadap kebebasan media. DN juga telah dimalukan apabila beliau cuba menafikan akhbar di Malaysia berat sebelah. Malang bagi DN apabila akhbar-akhbar yang terbit pada 11 November telah ditunjukkan kepada beliau sebagai bukti.

Perkara 4: KJ cuba memberi gambaran bahawa kerajaan mendengar pandangan semua orang, khasnya SPR. Beliau lantas memberikan contoh-contoh beberapa perubahan yang telah dilakukan oleh SPR. KJ sedikitpun tidak menafikan bahawa SPR adalah sebuah badan yang tidak bebas dari pengaruh eksekutif. Malang bagi KJ, tindakan beliau hanya membuktikan bahawa SPR tidak lebih dari sebuah badan kerajaan yang duduk di bawah cengkaman Jabatan Perdana Menteri. Ini bererti SPR tidak bebas dan SPR beroperasi seperti yang dikehendaki oleh Kerajaan Barisan Nasional.

Perkara 5: DN menyatakan bahwa sistem pentadbiran di Malaysia tidak perlu diubah. Ia hanya perlu diperbaiki sahaja. Jelas DN cuba bermain dengan perkataan. Apa yang jelas pentadbiran Kerajaan BN mengandungi berbagai kepincangan dan kezaliman ke atas rakyat Malaysia. Sekiranya sistem di Malaysia putih bersih dari kelemahan, sudah tentu pelbagai ketirisan, kebocoran dan kerobohan, pelbagai indeks yang semakin merudum serta peristiwa penyuraian perhimpunan dengan kekerasan pada 10 November tidak berlaku.

No comments: