© Hakcipta adalah terpelihara.

Tuesday, April 16, 2019

Berbalas Pantun Hari Guru

Alkisah ada rakan setugas meminta bantuan menghasilkan pantun bagi murid Tahun 1.
Jadi lebih kurang 10 set pantun bersamaan 20 rangkap pantun dihasilkan bagi tujuan berkenaan.
Nama-nama guru mengajar kelas berkenaan sahaja mampu, jika satu sekolah 18 guru, mahu 36 rangkap perlu dikarang? Pengsannnn 😁😁

Pantun mudah dari saya, kurang menepati rimanya. Terimalah! 

Buah cempedak enak sekali
Menjadi hidangan merata-rata     
Kalau anda bijak bestari
Siapakah guru kelas kita?

Buah durian buah berduri
Berbau harum sedap rasanya
Saya memang bijak bestari
Cikgu farhana nama orangnya

Jumaat dan Ahad nama harinya
Ramai orang pergi ke pasar          
Kalau anda pandai orangnya
Siapakah nama guru besar?

Buah jagung pelbagai fungsi
Boleh dimakan, dibuat aiskrim
Soalan anda mudah sekali
Puan Wahidah binti ibrahim

Pekan Medan pekan harmoni
Penduduk hidup aman sejahtera       
Orang utara, sedikit tinggi
Cubalah teka siapa dia?

Padang sekolah luas terbentang
Berlatih, bermain, sepuas-puasnya
Dari Muar dia berulang
Cikgu Safuan itulah namanya

Karipap sejukbeku karipap segera
Senang dihidang buat tetamu          
Kereta merah tuan empunya
Siapa guru Bahasa Melayu?

Ketupat lemang ayam kari
Selalu dimakan di pagi raya
Dari Parit Sulong dia ke mari
Cikgu Imran namanya dia

Burung hinggap di atas dahan
Bila berkicau merdu lagunya         

Bahasa Arab bahasa kegemaran
Tahukah anda siapakah orangnya?

Rejab sudah, Syaaban sekarang
Tidak lama lagi bulan Ramadhan
Soalan anda sangatlah senang
Pn Kamaliah binti Saaban

Loceng berbunyi waktu rehat
Selepas makan pergi ke dewan   
Siapa guru paling dekat
Rumah di kiri sekolah di kanan?

Goreng kentang bersama cendawan
Dimakan bersama sos cili
Saya tahu siapa dimaksudkan
Tentulah dia Cikgu Suhaili

Kapal di tambat di tepi pantai
Punca rezeki sang nelayan          
Jika kamu murid yang pandai
Siapa mengajar subjek kesenian?

Pergi ziarah baba dan nyonya
Bawa bersama satu cenderahati
Guru kesenian baik hatinya
Itulah dia cikgu Salmiati

Hujung minggu pergi berkhemah
Meredah sungai menaiki sampan     
Siapa guru cantik dan peramah
Jawablah kalau tahu jawapan?

Hari cuti berehat di rumah
Tonton cerita Didi dan Nana
Orangnya cantik lagi peramah
Itulah dia Teacher Suriyana

Pergi masjid mendengar ceramah
Menambah ilmu dengan luasnya   
Mengajar jawi penuh berhemah
Berikanlah saya nama gurunya?

Sarapan pagi kuih keria
Minum pula air kopi
Cikgu Rohaidah berhati mulia
Dialah guru mengajar jawi

Rumah pusaka parit karjan
Wasiat peninggalan atuk moyang   
Soalan akhir saya ajukan
Mengapa guru perlu di sayang?

Waktu petang main layang-layang
Sambil menunggang basikal biru
Semua guru perlu disayang
Mereka memberi kita ilmu