© Hakcipta adalah terpelihara.

Wednesday, June 21, 2006

Dunia gesa Yahudi henti serang


**gambar tak dapat dibawa masuk..**

PENUNJUK perasaan membakar bendera Amerika Syarikat sebagai tanda membantah serangan Israel ke atas Lebanon dan Palestin ketika perarakan sempena Sidang Kemuncak Rakyat di Cordoba, Argentina kelmarin. – AFP.
--------------------------------------------------------------------------------



JAKARTA – Ratusan ribu penduduk dunia mengadakan tunjuk perasaan secara besar-besaran semalam dan hari ini sebagai tanda sokongan terhadap Lebanon yang terus menjadi sasaran serangan Israel.
Ia merupakan protes besar-besaran pertama kali diadakan sejak Israel memulakan serangan minggu lalu.
Protes peringkat global dijangka berterusan hari ini dan esok di bandar-bandar lain.
Penduduk pelbagai negara - dari kota Jakarta sehingga Caracas, keluar berarak bagi membantah kezaliman tentera Israel melancarkan serangan ke atas Lebanon yang telah mengorbankan ramai rakyat yang tidak berdosa.

Di Jakarta, seramai 300 penunjuk perasaan yang diketuai oleh penganjur, Nana Juhana berarak di sekitar ibu negara Indonesia itu selepas sembahyang solat Jumaat.
Sebahagian daripada memegang sepanduk yang membawa mesej “Israel ialah syaitan dan pengganas sebenar” manakala sebahagian pula mengibarkan bendera Palestin.
Keadaan yang hampir serupa berlaku di ibu kota Bangladesh, Dhaka, apabila kira-kira 300 penunjuk perasaan, kebanyakannya anggota kumpulan konservatif, berarak secara aman di hadapan masjid utama Dhaka, Baitul Mokarram selepas sembahyang solat Jumaat.

Di Senegal, lebih daripada 2,000 penduduk Lebanon bertindak menutup premis perniagaan mereka dan berkumpul di pinggir bandar Dakar dalam tunjuk perasaan yang diluluskan oleh kerajaan.
Penduduk Lebanon yang menetap di Mauritania dan Sierra Leone pula menyeru masyarakat antarabangsa agar lebih aktif dalam meleraikan konflik di Lebanon yang semakin buruk.
Sentimen kebencian terhadap Israel turut dirasai di beberapa negara Amerika Selatan dan Amerika Utara seperti di Venezuela, Mexico dan El Salvador apabila penduduk turut keluar untuk memberi sokongan moral kepada penduduk Lebanon dan Palestin.

Tindakan yang sama turut diadakan di Sepanyol, Argentina, Korea Selatan, Filipina, Pakistan, Jordan, Iraq, Palestin, Mesir, India, Libya dan Syria.

Demonstrasi kecam Israel
Oleh: HAMDEN RAMLI


BERSATU KUTUK REJIM ZIONIS...Rakyat Malaysia menyatakan kemarahan terhadap tindakan ganas Israel yang menyerang Lebanon dan Palestin dengan mengadakan perhimpunan besar-besaran diketuai Pergerakan Pemuda UMNO di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur, semalam.Demonstrasi sedemikian turut diadakan di beberapa negara lain.
--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 21 Julai - Rakyat Malaysia hari ini menyertai masyarakat antarabangsa mengadakan perhimpunan bagi membantah tindakan Israel melancarkan serangan dan pencerobohan ke atas Palestin serta Lebanon.

Selain Kuala Lumpur, perhimpunan yang melibatkan ratusan ribu orang itu turut diadakan di Indonesia, Filipina, Bangladesh, Korea Selatan dan Senegal.
Sentimen menentang keganasan rejim Zionis itu turut dipaparkan oleh rakyat di Venezuela, Mexico, Sepanyol, Argentina dan El Salvador.

Dalam perhimpunan berkenaan mereka mengecam kuasa-kuasa besar terutama Amerika Syarikat (AS) yang memberi lampu hijau kepada Israel melancarkan serangan serta mendesak supaya keganasan rejim berkenaan dihentikan.

Walaupun berbeza dari segi latar belakang kaum dan agama tetapi mereka berhimpun dengan semangat yang sama iaitu mahukan Israel menamatkan tindakan kejamnya menceroboh Palestin dan Lebanon.
Di Kuala Lumpur, rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama keluar beramai-ramai menyertai perhimpunan anti-Israel bagi mendesak rejim Zionis segera menghentikan serangan dan pencerobohan ke atas kedua-dua negara tersebut.

Tanpa menghiraukan hujan, mereka yang kebanyakannya terdiri daripada golongan belia dan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memenuhi dua lokasi perhimpunan di Masjid KLCC dan Masjid Jamik Kampung Baru.
Perhimpunan yang bermula serentak sebaik selesai solat Jumaat itu berlangsung dalam suasana aman dengan kawalan rapi pihak polis.

Di Masjid KLCC, lebih 5,000 orang menyertai perhimpunan anjuran Pergerakan Pemuda UMNO, yang diketuai Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin.
Perhimpunan yang turut disertai Pemuda Barisan Nasional (BN) itu kemudiannya berarak ke Pejabat Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak, bagi menyampaikan memorandum bantahan menuntut dan mendesak supaya serangan Israel dihentikan serta-merta.
Sambil menyanyikan lagu keamanan, mereka turut mengibarkan sepanduk dan melaungkan slogan mengecam tindakan ganas Israel.

Selepas menyerahkan memorandum bantahan di Kedutaan AS, perarakan kemudian diteruskan ke Kedutaan Britain, sebelum ditamatkan di Kedutaan Perancis sebagai menghormati nasihat pihak berkuasa.
Khairy berkata, Pemuda UMNO dan rakyat Malaysia akan meneruskan bantahan dan demonstrasi selagi Israel tidak menghentikan serangan terhadap Lebanon.
Katanya, Pemuda UMNO juga akan meneruskan bantahan menggunakan rangkaian pergerakan pemuda seluruh negara.

‘‘Setiap pergerakan pemuda akan mendesak kerajaan negara masing-masing untuk memastikan mereka memberi tekanan kepada kuasa besar supaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan ke atas Israel,’’ katanya kepada pemberita.
Mengenai memorandum bantahan itu, beliau berkata, Pemuda UMNO turut menghantar memorandum yang sama ke Kedutaan China dan Rusia serta pejabat kedutaan negara-negara yang bukan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.
Di Masjid Jamik Kampung Baru, sekitar 1,000 orang termasuk ratusan penyokong parti pembangkang, Pas menyertai perhimpunan anti-Israel.

Israel sebuah kuasa tidak bermoral
Oleh: MUSTAFA KAMAL BASRI, HAMDEN RAMLI dan WAN SYAMSUL AMLY


KHAIRY Jamaluddin yang mengetuai Pergerakan Pemuda UMNO menunjukkan deklarasi mengutuk serangan Israel ke atas Lebanon sebelum diserahkan kepada Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------



KUALA LUMPUR 21 Julai – Israel merupakan sebuah kuasa yang tidak bermoral kerana melakukan tindakan kejam membunuh orang awam termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua tanpa belas kasihan.
Tindakan ketenteraan yang dilancarkan oleh Israel itu sangat tidak berperi kemanusiaan kerana kanak-kanak, wanita dan orang tua itu bukan sahaja tidak berdaya tetapi tidak mempunyai senjata untuk mempertahankan diri.

Serangan tentera Israel itu juga telah menyebabkan beratus-ratus yang lain cedera dan kemusnahan ke atas kemudahan awam.
Kecaman itu terkandung dalam Deklarasi Pemuda Malaysia yang dihantar kepada Kedutaan Amerika Syarikat di sini hari ini bagi mengutuk serangan Israel di Palestin dan Lebanon yang telah mengorbankan lebih 300 orang awam.
Deklarasi dua muka surat itu diserahkan oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin kepada pegawai Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di pintu utama bangunan kedutaan itu selepas perhimpunan di pekarangan Masjid KLCC, di sini selepas sembahyang Jumaat.
Kira-kira 5,000 orang menghadiri perhimpunan itu.

Khairy turut menyerahkan deklarasi tersebut kepada Kedutaan Perancis dan Britain yang merupakan anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Sementara wakil Pergerakan Pemuda UMNO menyerahkan deklarasi yang sama ke Kedutaan China dan Rusia yang juga anggota tetap Majlis Keselamatan.
Khairy semasa berucap pada perhimpunan itu meminta semua negara bersatu memulaukan segala bentuk konspirasi Israel dan AS.

“Pemuda menggesa PBB menerima memorandum yang kami hantar ini demi keamanan dunia,’’ katanya.
Secara keseluruhan, Deklarasi Pemuda Malaysia menuntut beberapa desakan yang mesti dilaksanakan oleh semua pihak dalam memastikan keamanan dapat dipulihkan di wilayah yang bergolak itu iaitu:
* Mendesak rejim Israel menghentikan serangan tentera dan provokasi terhadap rakyat Palestin di Genting Gaza dan rakyat Lebanon serta menarik balik sekatan dan mengundurkan tenteranya dari Gaza dan Lebanon.
* Mendesak Majlis Keselamatan terutama lima negara anggota tetap majlis itu meluluskan resolusi mengenakan gencatan senjata serta-merta dan menempatkan tentera pengaman.
* Mendesak Majlis Keselamatan meluluskan resolusi membenarkan masyarakat antarabangsa menghulurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin di Gaza dan rakyat Lebanon.
* Mendesak semua pihak yang terlibat dalam konflik itu supaya berunding bagi membuat pertukaran tawanan dan mereka yang dipenjarakan.
* Mendesak supaya semua pegawai dan menteri Kabinet Palestin dibebaskan segera tanpa syarat di samping merayu masyarakat antarabangsa memberi bantuan kepada rakyat Palestin dan Lebanon serta pelarian.
* Pemuda Malaysia menutup deklarasi itu dengan membuat rayuan:
“Kami Pemuda Malaysia menggesa masyarakat dunia di mana sahaja mereka berada yang menghormati dan mengunjung undang-undang antarabangsa, maruah dan keadilan supaya bersama-sama kami dalam usaha menamatkan kesengsaraan dan penindasan yang dilakukan oleh Israel.’’

1 comment:

Anonymous said...

Hey what a great site keep up the work its excellent.
»