© Hakcipta adalah terpelihara.

Sunday, June 21, 2009

nia ayuni - part 1

Setelah lima tahun menanti kehadiran cahayamata, akhirnya Azmi telah menjadi seorang bapa dan Nurul menjadi seorang ibu. Nia Ayuni selamat dilahirkan dengan sempurna. Hidung dan matanya mirip dengan Azmi, manakala bentuk wajahnya pula saling tak tumpah seperti Nurul. Mulus kulit Nia Ayuni, suci, putih bagai kapas yang bersih tanpa sebarang kotoran.

Hasrat bergelar ibu dan bapa tercapai jua. Syukur pada Tuhan tiada terkira. Azmi mengucup pipi dan dahi Nurul, tanda cinta dan terima kasih. Air mata Nurul mengalir keharuan. Tuhan mengizinkannya memiliki zuriat hasil perkongsian hidup bersama Azmi, suami tercinta. Nia Ayuni merupakan gabungan nama mereka berdua. Nia untuk Nurul, dan Ayuni untuk Azmi. Nia Ayuni binti Azmi.

Nurul masih membelai Nia Ayuni yang baru sahaja tidur. Nurul perasan sejak akhir-akhir ini, Nia Ayuni cepat keletihan dan sering menangis. Nurul cuba menyusukan Nia Ayuni, barangkali Nia Ayuni belum puas menyusu. Tapi, Nia Ayuni tidak mahu disusukan. Bila penat menangis, Nia Ayuni akan tertidur sendiri. Naluri keibuan Nurul meneka ada sesuatu yang tidak kena pada anaknya.

Nia Ayuni semakin lemah. Menangis pun dalam nada yang terlalu perlahan. Azmi dan Nurul hanya mampu melihat satu-satunya permata mereka terlantar di atas katil Hospital Selayang dengan wayar-wayar yang seakan membelit anak mereka itu. Hati ibubapa mana yang tidak pilu melihat anak kecil mereka terlantar sebegitu? Azmi dan Nurul hanya mampu berdoa selain berikhtiar moga-moga Nia Ayuni akan sembuh.

Segalanya bermula sejak tiga minggu yang lalu. Nia Ayuni tiba-tiba sahaja tidak sedarkan diri diribaan Nurul selepas diberi susu. Bagai si buta kehilangan tongkat, Nurul kehilangan punca. Selepas seketika, Nurul menghubungi Azmi yang sedang bekerja. Pantas Azmi pulang membawa Nurul dan Nia Ayuni ke hospital. Nurul menangis tersedu-sedu sambil memeluk Nia Ayuni. Azmi memujuknya agar bersabar. Doa dalam hati, Nia Ayuni tidak apa-apa.

Usai sahaja Doktor Yusri menjalankan pemeriksaan ke atas Nia Ayuni, beliau mengesahkan bahawa Nia Ayuni dikenalpasti menghidap penyakit tiada saluran hati ke hempedu. Terpana Nurul dan Azmi, tidak percaya kenyataan pahit yang harus ditelan mereka itu. Tangis Nurul makin esak. Tambah Doktor Yusri, Nia Ayuni perlu menjalankan pembedahan pemindahan hati secepat mungkin bagi memulihkan keadaannya.


Azmi bermundar-mandir di ruang legar hospital. Nurul menemani anak mereka di dalam sana. Sudah dua minggu berlalu, namun masih belum ada seorang pun yang tampil untuk menjadi penderma hati kepada Nia Ayuni. Sayang sekali hati Azmi tidak sesuai untuk Nia Ayuni. Hati Nurul pula tidak dapat didermakan kerana Nurul mempunyai masalah kesihatan yang melarangnya dari berbuat demikian. Hari terasa kelam walau mentari masih bersinar.

Berbagai cara untuk menghebahkan bahawa Nia Ayuni yang berusia sembilan bulan itu memerlukan penderma hati secepat mungkin telah Azmi lakukan. Namun hampa. Masih tiada penderma hati yang ditemui buat anaknya. Nurul merupakan sebatang kara. Sedangkan Azmi pula, saudara-maranya telah lama berhijrah ke luar negara dan tidak dapat dihubungi. Bagai jatuh ditimpa tangga, Azmi hanya mampu berharap ada insan lain yang dapat membantunya.

Kini, sudah masuk minggu ketiga Nia Ayuni ditempatkan di dalam wad. Beberapa hari lepas, beberapa orang pemuda dan wanita telah tampil membuat ujian kesesuaian hati mereka untuk didermakan kepada Nia Ayuni. Azmi sangat-sangat berterima kasih kepada mereka walaupun keputusan ujian itu belum dikeluarkan. Azmi memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana masih ada insan-insan yang bersimpati dengan anaknya.

bersambung....

No comments: