~ Join Contest 99 Hari Kisah Klasik Kita ~
Malam kian kelam, suram. Purnama sudah lama menyembunyikan diri dibalik awan hitam, kelam. Angin malam perlahan menerpa ke raut wajahnya. Dibiarkan sahaja jendela kamarnya sedikit terbuka. Hartini memandang ke langit. Kepalanya didongak. Entah apa yang dicari. Tiada bintang yang bergemerlapan. Hanya pungguk yang sesekali seakan berbisik sesama sendiri. Fikiran Hartini melayang. Jauh.
“Tini,” Faiz memangil Hartini. Hartini yang sedang khusyuk meneliti nama-nama buku di perpustakaan sedikit terkejut. Tiba-tiba ada yang menyapa.
“Eh, Faiz,” Hartini menoleh ke arah Faiz seketika. Kemudian kembali matanya menyoroti satu persatu buku yang terdapat di rak tingkat kedua.
“Kau cari bahan untuk Cyberlaw ke?” Faiz menyoal, sambil membelek-belek judul buku berhampiran dengan Hartini.
“A’ah. Eh dapat tajuk apa?” Hartini kembali menyoal.
“Telemedicine, Tini?”
“Copyright. Macam susah je,” Hartini seolah-olah mengeluh. Sebenarnya keluhan itu bukanlah ditujukan kepada subjek yang dipelajarinya. Apa yang dikeluhkan adalah berkenaan buku-buku di perpustakaan kolejnya. Perpustakaan sudahlah jauh dari fakulti, kecil pula tu. Tambah lagi dengan jumlah bukunya yang tak seberapa. Hati kecil Hartini mengomel-ngomel.
“Tak adalah susah. Senang lagi tajuk tu dari Telemedicine. Nak tukar dengan aku?” Faiz tersenyum-senyum mengusik, namun sempat lagi kening kanannya diangkat. Seoalah-olah serius dengan apa yang dikatakannya sebentar tadi.
“Ui tak naklah, yang Copyright ni pun dah pening-pening. Telemedicine tak fokus sangat lagi,” Agak panjang penerangan Hartini. Namun dia tahu, Faiz hanyalah bergurau. Faiz ketawa kecil. Faiz memang begitu. Mesra dan mudah didekati. Tak hairanlah ramai yang menaruh minat terhadap Faiz, tidak terkecuali Hartini sendiri. Bukan sahaja ada rupa, malah boleh dikategorikan antara pelajar yang terbaik kolej. Memang meletup!
“Eh Faiz, kenapa tak datang kelas pagi tadi?” Hartini tiba-tiba teringat. Pagi tadi ada dua subjek. Tapi dua-dua subjek Faiz tidak hadir. Pelajar-pelajar sekelas yang lain tidak tahu. Shazali yang satu bilik dengan Faiz pun tidak dapat memberikan jawapan. Faiz menghilangkan diri seketika dari kuliah.
“Rindu ke?” Faiz tidak menjawab soalan Hartini. Sebaliknya bertanyakan soalan cepu emas kepada Hartini. Hartini tergelak agak kuat. Namun dia masih dapat mengawal suaranya agar tiada orang lain yang terganggu dengan ketawanya tadi. Hartini tidak tahu untuk menjawab. Tiba-tiba dia merasa pipinya panas.
Tangan Faiz ligat membuka helaian sebuah buku yang dipegangnya. Telemedicine and Law. Ada beberapa halaman dari buku berkenaan menarik perhatian Faiz. Maklumat yang dikehendakinya ada di situ. Hartini sudah pun berangkat ke meja tulis yang disediakan pihak perpustakaan.
Sedang Hartini leka dengan buku-buku tersebut, Faiz menarik kerusi di hadapan Hartini dan terus melabuhkan punggungnya di situ. Faiz menghadiahkan senyuman buat Hartini, rakan sekelasnya.
“Seorang aje kan?” Tegur Faiz.
“Berdua,” Balas Hartini. Sebenarnya dia agak kaget apabila Faiz datang ke mejanya.
“Siapa?” Faiz melihat sekitar perpustakaan. Mungkin Atikah atau Hafizah yang datang bersama Hartini, teka Faiz. Di rak buku tadi, dia tidak sempat untuk bertanya.
“Dengan Faizlah yang duduk semeja ni. Tanya lagi,” Hartini sengaja mengenakan Faiz. Faiz tersengih-sengih.
“Tini, nak bagitau ni..” Belum sempat Faiz menyempurnakan ayat, tiba-tiba ada staf perpustakaan membuat pengunguman bahawa perpustakaan akan ditutup dalam masa lima minit sahaja lagi. Semua pelajar diminta untuk keluar dengan segera.
“Alamak, buku tak pinjam lagi. Nak pergi kaunter kejap,” Hartini meminta izin, walaupun tak perlu. Faiz mengiakan. Setelah meminjam dua buah buku dari perpustakaan, Hartini keluar bersama Faiz untuk pulang ke kolej kediaman. Langsung Hartini terlupa untuk bertanya apa yang ingin disampaikan Faiz sebentar tadi.
Faiz berjalan beriringan dengan Hartini menuju ke kolej kediaman. Masing-masing datang ke perpustakaan dengan berjalan kaki. Nasib baiklah tidak jauh dengan kolej kediaman. Hanya jauh jika ke fakulti sahaja. Harapkan pengangkutan pihak kolej? Entah bilalah akan sampai. Silap-silap, jika berjalan pulang pun sudah sampai ke destinasi lebih awal daripada membuang masa menunggu van atau bas kolej datang. Memang penantian itu sesuatu yang menyiksakan. Malah tidak hairan, lebih separuh dari warga kolej memiliki kenderaan sendiri.
Baru sahaja Hartini hendak melangkah menyeberangi jalan, tiba-tiba Faiz memanggil Hartini dengan kuat.
“Tini!” Seraya kedengaran hon yang berlanjutan dari sebuah kereta kancil berwarna putih. Faiz menolak Hartini jauh ke depan. Hartini tergamam. Dia terjatuh. Dan pemandu kancil itu tidak sempat untuk menekan brek. Bunyi sebuah objek dilanggar kuat kedengaran. Hartini segera menoleh.
“Faiz!!” Hartini segera bangun dan mendapatkan Faiz. Objek yang dilanggar tadi adalah Faiz. Darah Faiz mengalir menghujani jalan. Pemandu kancil putih, Wasie cemas. Wasie keluar dari kereta untuk melihat orang yang dilanggarnya. Ya Allah, apakah yang aku lakukan? Wasie bermonolog sendirian. Hartini menangis teresak-esak. Faiz tidak sedarkan diri.
Beberapa orang pelajar yang melihat kejadian tersebut turut menghampiri. Seorang pelajar perempuan sedang cuba menghubungi pihak ambulan kolej, namun tidak berjawab. Dia mencadangkan Faiz segera di bawa ke hospital. Bimbang kehilangan darah dalam jumlah yang lebih banyak. Dua orang pelajar lelaki membantu Wasie mengangkat Faiz ke dalam kereta. Wasie mengajak Hartini mengikutnya. Wasie tidak mengenali Faiz atau Hartini sebenarnya.
Hartini mencari-cari senarai nama ahli keluarga Faiz. Dia berjaya menemui ‘Ibu’, lalu panggilan dibuat kepada ibu Faiz. Hartini menyusun ayat dengan baik, dia tidak membertahu ibu Faiz keadaan Faiz yang sebenar, bimbang ibu dan ahli keluarganya yang lain susah hati. Hartini hanya memaklumkan bahawa Faiz terlibat dalam kemalangan kecil dan mengalami sedikit kecederaan.
Faiz masih di bilik pembedahan. Hartini bermundar-mandir di hadapan bilik pembedahan. Wasie duduk di kerusi yang terletak di sisi kiri pintu bilik. Dahinya berkerut. Ternyata kekesalan terukir diwajahnya. Di dalam hati, dia tidak putus-putus mendoakan supaya Faiz selamat. Shazali tiba bersama beberapa orang rakan yang lain. Mereka cuba menenteramkan Hartini yang gelisah.
Ibu dan ayah Faiz baru sahaja tiba. Ibu Faiz mencari orang yang menghubunginya sebentar tadi. Hartini bersalaman dengan ibu Faiz. Shazali dan yang lain pula bersalaman dengan ayah Faiz. Beberapa soalan ditanyakan oleh si ibu dan ayah.
Lampu bilik pembedahan sudah dipadamkan. Doktor Qayyum keluar dan menghampiri ayah Faiz, Encik Halim. Dari butir-butir perbicaraan Doktor Qayyum, beliau meminta maaf kerana gagal menyelamatkan Faiz. Hartini kembali mengalirkan air mata. Sebak dihatinya tidak tertahan. Hartini terkilan. Malah dia juga merasa bersalah, sepatutnya dia yang dilanggar. Bukan Faiz. Faiz kemalangan kerana ingin menyelamatkannya. Hafizah memeluk Hartini, dibisikkan istighfar.
Hartini menyeluk poket baju kurung yang dipakainya. Dia masih belum menyalin pakaian walaupun sudah lama pulang daripada hospital. Ada dua telefon bimbit. Satu miliknya, dan satu lagi milik Faiz. Hartini terlupa untuk memberikannya kepada ibu atau ayah Faiz. Hartini meletakkan telefonnya di atas katil. Dia menggenggam telefon Faiz dan menuju ke jendela.
Air mata Hartini sudah kering untuk mengalir. Namun hatinya masih dilanda gerimis yang berpanjangan. Sepanjang mengenali Faiz, Hartini tidak pernah dapat meluangkan masa yang begitu lama dengan Faiz. Ya. Agak lama. Andainya Faiz mengetahui isi hatinya.. Hatini pasrah. Mungkin itu tanda Faiz bakal meninggalkannya. Faiz diberi ‘pinjam’ kepadanya pada hari ini.
Angin makin kuat bertiup. Ada rintik hujan mula jatuh ke bumi. Tempiasnya mengenai pipi Hartini. Hartini tersedar dari lamunan. Dia menghulurkan tangan tangannya ke luar jendela, seolah-olah menadah air hujan. Bagaikan puas dengan bukti bahawa hujan akan lebat, barulah dia menarikkan tangannya kembali. Hartini menarik tabir jendelanya, ditutup. Langsir juga dibetulkan dan dilabuhkan. Hartini duduk dibirai katil. Telefon milik arwah ditatapnya.
Kisah lebih tiga tahun dahulu menjadi peneman harinya. Masih dirasakan bagai baru sahaja ianya berlaku. Lebih tiga tahun jugalah dia kehilangan seorang teman, malah berhutang nyawa dengan temannya itu. Senantiasa dia berdoa semoga arwah Faiz ditempatkan dikalangan insan-insan yang terpilih di sisi Tuhan. Bunga-bunga kasih masih mewangi di dalam hati Hartini. Dalam tidak sedar, ada air hangat yang mengalir dari matanya membasahi kedua pipinya.
[ Bunga Kasih - Nurfatimahz AKA Puteri ]