© Hakcipta adalah terpelihara.

Wednesday, December 16, 2009

konvensyen muslim unity


Konvensyen Muslim Unity atau nama penuhnya "2nd International Muslim Unity Convention" telah berlangsung di PWTC selama dua hari iaitu pada 15 dan 16 Desember 2009.

Konvensyen anjuran Ramadhan Foundation ini telah disertai oleh ratusan muslim dan alim ulama dari pelbagai negara seperti China, Philipina, Morocco (Maghribi), India, Pakistan,Iran, Arab Saudi, Amerika Syarikat serta banyak lagi negara termasuklah Malaysia sendiri.


Wakil-wakil delegasi dari pelbagai organisasi kerajaan dan bukan kerajaan Malaysia turut hadir sama. Antara IPT yang menghantar wakil sama ada pelajar atau pensyarah ialah UIA, UITM dan USIM.

Seramai 10 orang pelajar USIM terdiri daripada enam lelaki dan empat perempuan, dari beberapa fakulti telah mengikuti konvensyen yang diadakan selama dua hari berkenaan.
Persidangan dan pembentangan sepanjang konvensyen ini adalah di dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.


Tetamu jemputan khas, Perdana Menteri Malaysia keempat iaitu Y.A. Bhg. Tun Dr Mahathir Mohamad yang memulakan ucaptama selaku merasmikan konvensyen Muslim Unity.

Y. A. Bhg Tun Dr dalam ucapannya bertajuk "The Call of Unity" atau Seruan untuk Bersatu, begitu membangkitkan semangat kesatuan antara semua sidang hadirin.

Beliau juga turut menyatakan bahawa: "kesatuan umat Islam akan menjadikan umat Islam semakin kuat, walaupun berbeza mazhab, namun ia bukanlah penghalang untuk bersatu," Y.A. Bhg. Tun Dr Mahathir Mohamad.


Antara topik lain yang dibincangkan ialah Salahfaham Tentang Agama Islam, Hak Wanita Islam, Perlukah Memodenisasikan Islam, Asimilasi Agama Islam, Islam dan Media, Islam dan Web dan pelbagai lagi topik yang menarik telah dibahaskan oleh pembentang-pembentang yang diundang.


Selain dari Y. A. Bhg Tun Dr Mahathir Mohamad dan seorang lagi pembentang mewakili Malaysia dari syarikat TIME.com, Y. Bhg Prof Dato' Dr. Zaleha Hj Kamaruddin iaitu Timbalan Ketua Pengarah IKIM turut diundang membincangkan tentang Hak Wanita di dalam Islam.


Antara petikan ucapan beliau selaku mewakili wanita muslim Malaysia ialah:"Islam bukan penghalang wanita muslim dari mencapai kejayaan. Islam juga tidak pernah menzalimi wanita muslim sebagaimana dakwaan orentalis.

Malah setiap undang-undang dan hukum Islam mempunyai hikmah dan rahsia tersendiri," Y. Bhg Prof Dato' Dr. Zaleha Hj Kamaruddin.


Pelbagai isu dan persoalan serta komen dari hadirin telah didengar dan dijawab oleh pembentang-pembentang. Walabagaimanapun, sedikit ketidakpuasan hati peserta delegasi telah berlaku memandangkan beberapa peserta yang mahu memberikan pendapat tidak dapat disuarakan.

Selain itu, terdapat komentar dari warga Iraq yang dipotong sebelum beliau menamatkannya. Konvensyen ini juga mempunyai beberapa kelemahan terutamanya dari segi ketepatan masa. Namun demikian, suasana di dalam dewan terkawal.


Ucapan penutup konvensyen oleh Y. A. Bhg Tun Dr Mahathir Mohamad pada jam 5 petang, 16 Desember. Konvensyen diakhiri dengan jamuan ringan serta sesi fotografi bersama tetamu jemputan.

No comments: