© Hakcipta adalah terpelihara.

Thursday, February 13, 2014

Cikgu Nurul Ain

"Kringgg!", loceng menandakan tamatnya waktu rehat telahpun berbunyi. Berpusu-pusu murid-murid di SK Kiara Seri memasuki kelas masing-masing.

Sementara itu di dalam kelas 4 Dedikasi, penghuninya resah menanti siapakah guru baru yang bakal mengajar matapelajaran Pendidikan Islam. Sebelum ini Penolong Kanan Kurikulum, Puan Maryam ada memaklumkan guru baru amat tegas dan garang orangnya. Itu menjadikan mereka lebih cemas dan berteka-teki tentang guru baru.

"Agak-agaknya cikgu baru nanti garang tak?", soal Asyraf kepada rakannya, Aiman.

Aiman yang berada di sebelah kanannya sedang leka melantunkan pemadam-pemadam miliknya di atas meja. Terkekeh-kekeh dia ketawa apabila ada pemadam yang berjaya melompat ke atas pemadam yang lain, seolah-olah dialah juara. Padahal dia hanya bermain sendirian.

"Entahlah. Cikgu Maryam cakap garang. Garanglah kot", Aiman tidak pasti. Dia tidak berani meneka. Harap-harap Puan Maryam sekadar mengacah sahaja.

"Bangun!", lantang Firdaus bersuara mengarahkan rakan-rakan sekelas berdiri sebaik sahaja kelibat guru melintas di hadapan pintu kelas mereka.

Selesai memberi salam dan membaca doa belajar, mereka dipersilakan duduk oleh guru yang baru sahaja masuk sebentar tadi.

Akhirnya teka-teki mereka terjawab pada waktu ini. Guru yang berada di hadapan mereka sekarang adalah guru baru yang dimaksudkan Puan Maryam. Perwatakannya sederhana, bertudung litup dan berkaca mata.

"Saya Nurul Ain, boleh panggil saya Cikgu Ain. Saya akan menggantikan Ustazah Hayati yang berpindah ke Negeri Johor minggu lepas. Sebelum itu saya mahu kamu semua meletakkan buku teks, buku latihan dan alat tulis di atas meja, sekarang", tegas Nurul Ain memberi arahan.

Terkial-kial murid 4 Dedikasi mengeluarkan buku-buku dan alatulis ke atas meja. Nampaknya kata-kata Cikgu Maryam adalah benar, cikgu baru memang garang.

Farah di meja belakang cuak. Buku teksnya tertinggal di rumah.

"Macam mana ni Jaja? Buku aku tak ada", perlahan dia berbisik dengan Hafizah yang dipanggil Jaja. Izati yang duduk disebelah Hafizah terdengar bisikan Farah, pantas dia menyuruh Farah berhenti bercakap.

Nurul Ain bergerak ke setiap meja, memastikan setiap murid membawa buku. Semakin menghampiri meja Farah. Farah semakin resah. Apa agaknya reaksi Cukgu Nurul Ain nanti? Marah? Mendenda? Atau apa?

Nurul Ain akhirnya tiba di meja Farah, Hafizah dan Izati yang duduk bertiga. Hanya dua buah buku teks kelihatan.

"Siapa yang tidak membawa buku?", soal Nurul Ain. Farah mendiamkan diri.
"Siapa yang tidak membawa buku?", Nurul Ain bertanya sekali lagi apabila soalannya tidak dijawab.
"Saya, cikgu", perlahan-lahan Farah menjawab.
"Lain kali bila saya tanya, jawab. Jangan diam", kata Nurul Ain.
"Faham?", tambahnya lagi.
"Faham, cikgu", balas Farah.
"Hari ini saya maafkan awak. Tapi, pastikan pada hari-hari yang lain, buku-buku matapelajaran saya mesti ada", Nurul Ain memberi amaran.
"Ba..baik, cikgu", jawab Farah.

Nurul Ain sekadar berkenalan dengan murid 4 Dedikasi pada hari ini. Buku latihan dipungutnya. Dia ingin melihat dan menyemak jika ada latihan yang diberi guru sebelumnya belum siap ditanda.

Dua minggu berlalu. Murid 4 Dedikasi sentiasa berjaga-jaga dan memastikan buku-buku matapelajaran Pendidikan Islam dibawa mereka ke sekolah. Maklumlah, takut dimarahi oleh Cikgu Nurul Ain. Hal yang sama juga berlaku pada kelas 5 Dedikasi dan 2 Bestari.

Walaupun Cikgu Nurul Ain belum pernah memarahi mereka, namun amarannya diingat murid-murid selalu. "Jangan sampai kucing jadi harimau", itulah 'pepatah' yang sering disebut Cikgu Nurul Ain agar tidak ada sesiapa yang sengaja melakukan kesalahan di dalam kelas, mahupun di sekolah.

"Hasan, kau dah siap latihan semalam?", tanya Firdaus yang berada di meja belakang Hasan.
"Latihan apa?", jawab Hasan acuh tak acuh.
"Latihan Cikgu Ain semalam", tambah Firdaus.
"Belum. Lantaklah", selamba Hasan menjawab.
"Kau ni...", Firdaus tidak mampu menyempurnakan ayat tatkala Cikgu Nurul Ain menjejakkan kaki ke dalam kelas 4 Dedikasi.

"Dah siap latihan semalam?", tanya Nurul Ain.
"Dah!", jawab sebahagian murid. Aiman dan Asyraf paling bersemangat. Diikuti Aleeya dan kembarnya Aleesya. Ini kerana Cikgu Nurul Ain akan memberikan pelekat buah-buahan apabila kerja rumah disiapkan mereka, kerana itulah ramai yang berebut-rebut untuk hantar buku latihan kepada Cikgu Nurul Ain.

Tetapi tidak Hasan. Ramai guru mengadu Hasan tidak mahu menyiapkan kerja rumah, malas belajar, itu dan ini. Nurul Ain tidak peduli aduan itu semua. Rajin atau malas, kerja rumah yang diberinya mesti disiapkan.

"Hasan, mana buku awak?", tanya Nurul Ain apabila menyedari buku latihan Hasan tidak diterimanya. Hasan mengeluarkan dari laci meja. Nurul Ain menghampiri meja Hasan dan membukanya.

"Hasan, awak ni... Selalu macam ni. Awak ni nak belajar atau tidak?", suara Nurul Ain sengaja ditekankan. 
"Saya minta salin nota dari papan hitam pun awak tidak mahu salin. Kenapa? Dah pandai? Kalau dah pandai, tidak perlu datang sekolah lagi", tambah Nurul Ain.

"Dia cakap dia malas dan tak mahu buat, cikgu", Firdaus menjawab bagi pihak Hasan.
"Betul awak cakap macam tu?", Nurul Ain bertanya kepada Hasan. Hasan mengangguk.

"Bangun!", Nurul Ain mengarahkan Hasan berdiri. Murid-murid yang berbisik sesama sendiri juga terdiam apabila arahan tersebut agak lantang daripada luar biasa. Tak pernah-pernah Cikgu Nurul Ain begitu.

Hasan tidak mengendahkan arahan tersebut. Nurul Ain menarik lengan Hasan supaya berdiri, Hasan tetap membatu di atas kerusinya. Sekali lagi Nurul Ain menarik lengan Hasan, namun Hasan enggan berdiri.

"Kalau dah malas, tak mahu belajar, main-main, untuk apa masuk kelas saya? Kenapa perlu datang sekolah? Keluar sekarang!", marah Nurul Ain. Lengan Hasan direntap dan kerusi Hasan terjatuh. Hasan diseret ke muka pintu. Hasan menangis dan ingin masuk ke kelas. Nurul Ain menghalang.

"Saya tak mahu keluar, cikgu. Saya nak belajar. Cikgu, tolonglah. Saya akan belajar", rayu Hasan sambil menangis teresak-esak. Hasan meminta maaf dan tidak henti-henti merayu Cikgu Nurul Ain agar membenarkannya masuk ke kelas.

"Saya janji akan buat kerja, cikgu", ujar Hasan lagi, ada getaran pada suara dan juga tubuhnya. Belum pernah ada guru yang membuatkan dia menangis selama belajar di SK Kiara Seri ini.

Ada murid yang berbisik-bisik.
"Itulah siapa suruh tidak siapkan kerja"
"Malas sangat belajar, padanlah"
"Hasan kan memang macam tu"
"Bapa Hasan kan garang. Mana cikgu-cikgu lain berani tegur".

"Betul awak nak belajar?" tanya Cikgu Nurul Ain.
"Betul", jawab Hasan, tangisnya masih bersisa.

Nurul Ain membenarkan Hasan masuk dan duduk dimejanya. Semua murid masih belum berani berbicara walau sesama mereka. Drama siaran langsung Hasan, pasti akan membuat mereka lebih berjaga-jaga.

"Cikgu Ain!", panggil Puan Rozi, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Kiara Seri.
"Ya, puan", jawab Nurul Ain yang baru keluar dari kelas 2 Bestari.
"Masuk pejabat sebentar", kata Puan Rozi. Nurul Ain menurut langkah Puan Rozi tanpa banyak bertanya.

"Ada marah murid 4 Dedikasi?", soal Puan Rozi tanpa berbasa basi.
"Ya, Hasan", jawab Nurul Ain, tenang.
"Bapa Hasan ada telefon. Dia marah-marah pasal cikgu", Puan Rozi mengatur ayat. Nurul Ain tersenyum.
"Apa dia cakap?", tanya Nurul Ain.

"Macam-macam jugak. 'Cikgu tak guna. Kalau nak marah, baik tak payah jadi cikgu'. Lebih kurang begitulah. Keluarganya memang begitu. Ramai guru mengadu perangai Hasan, tapi tak ada yang berani ambil tindakan. Bapa Hasan juga meminta untuk bercakap dengan Guru Besar. Tapi saya maklumkan kepadanya yang saya akan selesaikan hal ini sebaik mungkin", jawab Puan Rozi.

"Ada berdarahkah?", tanya Nurul Ain. Mana tahu jika Hasan tercedera. Walhal Nurul Ain yakin dia tidak mencederakan Hasan.

"Tak", jawab Puan Rozi.

"Puan, jika bapa Hasan menelefon lagi dan ingin mengadu kepada Guru Besar tentang saya, silakan. Saya bersedia. Saya tahu dan saya akan tanggung apa yang saya buat", jelas Nurul Ain panjang lebar. Untuk apa takut? Senyuman Nurul Ain makin meleret.

"Mana latihan minggu lepas?", soal Nurul Ain kepada 4 Dedikasi sebaik sahaja murid-murid selesai menjawab salam dan membaca doa.

"Cikgu, saya belum siap", perlahan Aleya bersuara. Lebih baik mengaku sebelum Cikgu Nurul Ain bertanya, getus hatinya.
"Baik, sesiapa yang belum siap, siapkan. Yang sudah, boleh kumpulkan di atas meja saya", balas Nurul Ain sambil merujuk kepada meja guru yang berada di hadapan kelas 4 Dedikasi. Aleya menarik nafas lega.

"Sambil kamu menyiapkan kerja, kita berbual sikit, boleh?", soal Nurul Ain kepada semua murid.
"Boleh, cikgu!", sebahagian murid menjawab.
"Siapa ada adik?", majoriti mengangkat tangan. Ada juga yang bersemangat memberitahu jumlah adik-adiknya.
"Kamu ada benda yang kamu sayang tak, apa benda tu?", tanya Nurul Ain lagi.

"Anak patung!"
"Patung beruang!"
"PSP!"
"Galaxy tab!"
"Kucing!"
Pelbagai jawapan diterima Nurul Ain. Canggih budak-budak zaman sekarang, zaman teknologi.

"Ok. Yang ada adik, kalau adik tak dengar cakap kamu, kamu marah tak?", umpan Nurul Ain.
"Marah, cikgu! Adik saya suka sepahkan barang-barang saya", jelas Hakimi tanpa dipaksa.

"Kalau hari hujan, adik kamu di luar rumah. Kamu akan panggil adik kamu masuk atau biarkan dia di luar?", Nurul Ain masih mengumpan.

"Panggil masuk!"
"Kalau dia tak nak masuk?"
"Marahlah"
"Kenapa marah?"
"Nanti basah. Nanti demam"

"Macam itulah saya. Saya marah kmu kalau kamu tak siapkan kerja, malas belajar. Cikgu-cikgu semua nak kamu belajar betul-betul, sampai pandai. Cikgu bukannya suka-suka nak marah. Kamu ingat cikgu tak ada kerja lain ke selain nak marah kamu?

Cikgu marah sebab cikgu sayang kamu. Kamu boleh adu yang cikgu marah kamu, tapi kenapa tak adu sekali yang kamu malas buat kerja sekolah, malas belajar?", panjang Nurul Ain memberi syarahan. Semua murid diam.

"Kalau tak buat salah, cikgu marahkah?", tanya Nurul Ain lagi.
"Tak!", satu kelas menjawab.

"Cikgu, saya nak tolong cikgu bawa buku", tawar Hasan diikuti Firdaus.
"Bolehkah? Berat ni", jawab Nurul Ain.
"Boleh. Ringan sahaja", kata Firdaus sambil mendapatkan sebahagian buku latihan dari Nurul Ain. Selebihnya lagi diambil Hasan.

Hasan kini jauh beza dari Hasan yang dahulu. Kalau dahulu kerjanya tidak pernah disiapkan, tapi sekarang Hasanlah antara orang terawal yang menghantar kerja rumah.

Guru-guru lain juga menyedari perubahan sikap Hasan.
"Hasan tu macam lain dah sekarang"
"Rajin dia sekarang buat kerja"
"Rajin bertanya juga"
"Dulu bukan main susah, selalu tak bawa buku"

Nurul Ain sekadar mendengar perbualan rakan-rakan sejawatannya di dalam bilik guru.

"Firdaus, kenapa belum balik?", tanya Nurul Ain tatkala melihat kelibat Firdaus di ruang kantin sekolah. Jam menunjukkan pukul 5:00 petang, dikira lewat kerana kelas tambahan murid tahun 6 selesai pada pukul 5:00 petang.
"Ayah saya datang lewat hari ni", jawab Firdaus.
"Oh", balas Nurul Ain, ringkas seraya melabuhkan punggungnya ke atas kerusi panjang bersebelahan Firdaus.
"Kamu seorangkah? Kawan-kawan lain dah balik?",
"Dah. Eh, Hasan ada tadi",
"Mana?"
"Pergi tandas"

Hasan datang mendapatkan begnya berhampiran Firdaus. Hasan menegur Cikgu Nurul Ain dan turut serta menyertai perbualan diantara Cikgu Nurul Ain dan Firdaus.

"Cikgu kenapa dah tak ajar kami?"
tanya Firdaus.
"Kamu kan dah tahun 6. Saya cuma ajar tahun 2, 4 dan 5", jawab Nurul Ain.
"Seronok kalau cikgu ajar kami lagi", Hasan mencelah.
"Cikgu best!", tambah Hasan. Nurul Ain sekadar menguntumkan senyuman dibibirnya.

Encik Ali, bapa Hasan berjalan memasuki perkarangan sekolah. Maklumlah, polisi sekolah tidak membenarkan kenderaan ibubapa masuk ke kawasan sekolah.

Hasan meminta diri dan bersalaman dengan Firdaus dan Cikgu Nurul Ain. Segera Hasan mendapatkan bapanya. Hasan berbual-bual dengan bapanya sambil menuju ke arah pagar sekolah.

Tiba-tiba, Encik Ali berhenti dan menoleh ke belakang, melihat ke arah Firdaus dan Nurul Ain. Encik Ali memimpin tangan Hasan dan menghampiri Nurul Ain. Nurul Ain yang sedang leka berbual dengan Firdaus tidak perasan Encik Ali dan Hasan.

"Cikgu", panggil Encik Ali.
"Ya?", jawab Nurul Ain sambil menoleh ke arah Encik Ali. Nurul Ain berdiri dari duduknya. Kepalanya sedikit ditundukkan kepada Encik Ali, tanda hormat.
"Cikgu Ain?", tanya Encik Ali.
"Ya, saya", jawab Nurul Ain mesra. Senyuman tidak pudar diwajahnya.
"Duduklah", pelawa Nurul Ain. Encik Ali mengambil tempat di kerusi panjang bertentangan dengan Nurul Ain. Hasan berbual-bual dengan Firdaus, menyambung kembali perbualan tertunda sebentar tadi.

"Er... Dah lama saya teringin berjumpa dengan cikgu. Cuma saya selalu sibuk, jarang dapat datang ke sekolah pada waktu kerja. Sebenarnya cikgu, saya ingin meminta maaf dan berterima kasih dengan cikgu", kata Encik Ali.

"Eh, kenapa perlu minta maaf?", Nurul Ain berasa kekok.

"Maaf sebab saya pernah mengeluarkan kata-kata kesat kepada cikgu dulu. Tapi saya sedar yang saya silap. Pada waktu Hasan menceritakan cikgu memarahinya, saya naik angin sebab tak ada guru yang pernah marah pada dia sebegitu", Encik Ali berhenti, menarik nafas.

"Atau mungkin saya yang terlalu manjakan dia, tegas dengan pihak sekolah sampai tak ada guru yang berani menegur anak saya. Sejak Cikgu Ain menegurnya, saya sedar yang dia berubah semakin baik. Kalau dulu banyak matapelajaran dia gagal, tapi selepas itu hanya satu-dua sahaja dia gagal. Dan selepas itu jugalah saya sedar, Cikgu Nurul Ainlah yang merubah anak saya", panjang lebar Encik Ali berkata-kata. Tak putus-putus dia mengucapkan terima kasih kepada Nurul Ain. Nurul Ain semakin segan.

"Tak ada apa-apalah encik. Saya em...", Nurul Ain tidak tahu mengolah ayat. Kelu pula lidahnya ketika ini.

"Saya cuma buat apa yang saya patut buat. Benar, ramai ibubapa yang panas bila anaknya ditegur mana-mana guru. Padahal guru menegur untuk kebaikan. Kerana itu jugalah tidak ramai guru yang berani menegur anak murid walaupun mereka melakukan kesalahan, kerana takut kepada ibubapa", luah Nurul Ain. Luahan rakan-rakan sejawat dalam bilik guru juga dipinjam dan disimpulkan dalam ayat yang ringkas, tetapi padat.

Encik Ali mengangguk dan mengiyakan. Sekali lagi dia memohon maaf dan mengucapkan terima kasih kepada Nurul Ain.

Guru dan ibubapa sememangnya mempunyai peranan yang sangat besar terhadap murid. Ibubapa mendidik dirumah, manakala guru pula adalah 'ibubapa' di sekolah. Apa yang paling penting adalah tindakan wajar dan waras dari ibubapa dan guru dalam menegur murid juga membentuk peribadi murid yang baik sahsiahnya, kerana sememangnya guru dan ibubapa berpisah tiada.

Nurfatimahz AKA Puteri, Sibu, Sarawak.

Tuesday, February 04, 2014

mungkin kau bukan takdirku - last part

"Sudah-sudahlah tu. Kan saya dah jelaskan. Sampai bila nak macam ni? Kalau berterusan, hati siapa yang akan terluka?".

Dia membuatku terdiam dan kelu lidah tanpa bicara.

Ya. Aku mungkin terlalu mendesak, agak keterlaluan. Maaf. Sungguh aku masih menaruh harapan agar takdir ini menemukan kita. Maaf, sungguhku ...

"Minta maaf lagi, lepas tu ulang kesilapan yang sama".

Seperti ada tamparan mendarat dipipiku.

Perlahan-lahan aku menyusun ayat.

"Kalau awak rasa saya berharap pada awak dan awak tak selesa, saya minta maaf. Tapi sungguh saya tak berharap apa-apa", sedikitku menipu.

"Mungkin dulu saya macam terhegeh-hegeh sikit dengan awak. Tapi itu dulu. Bila dah sedar diri, tak ada dah lagi. Sebab saya sedar apa yang saya layak dan apa yang saya tidak.

Saya rasa dah banyak benda yang awak tak suka, saya dah tak buat. Kalau ada juga yang masih saya buat, saya minta maaf, ter. Ada lagi part yang tak suka?", tambahku lagi memohon jawapan.

Dia diam.

Ya awak. Awak ada pilihan. Awak boleh memilih. Saya tak minta awak pilih saya. Saya cuma minta awak jumpa saya lagi. Tapi.. Ok, saya betul-betul tak ada harapan lagi sebab harapan yang terakhir itu juga awak tak sudi.

Saya harap pertemuan dengan awak sebelum ini bukanlah yang terakhir. Tapi, kalau ia adalah kali terakhir... Saya minta maaf. Sebab memang saya tak senangkan awak pada masa itu. Maaf. Maaf. Maaf.

Saya doakan awak.
Yang terbaik untuk awak.

Maaf sebab pernah menyimpan perasaan terhadap awak. Maaf sebab tak menjadi kawan awak yang baik. Maaf sebab semua yang pernah saya buat yang tak senangkan awak. Maaf.

Saya harap boleh menjadi kawan awak semula. Kembali seperti mula kita berkenalan. Walaupun tahu ia mustahil.

"Friendship requires honesty and respect. Will you be my friend?"

Aku bertanya lagi. Dia masih juga diam menyepi.

Ku simpan
Dalam diam
Dalam angan
Dalam kenangan
3.2.2014

#Tamat #AkuDiaDanSonata #GiveUp