© Hakcipta adalah terpelihara.
Showing posts with label poetry. Show all posts
Showing posts with label poetry. Show all posts

Thursday, November 16, 2023

Kekanda yang Kami Kasihi


Senyum manis menghias wajah

Tutur kata penuh kemesraan

Membuat hati menjadi tenang

Mudah disapa dan sering menyapa

Itulah dia kekanda yang kami kasihi

Menceriakan sesiapa yang mengenali,


Ketekunan dalam berkhidmat

Sebuah dedikasi yang tulus

Ditabur tanpa sebarang pinta

Jelas amanah yang diutama

Untukmu kami hadiahkan

Bakti Disanjung, Budi Dijunjung,


Pastinya majlis ini tidak setimpal

Membalas segala jasa dan kudrat

Penat lelah yang kau curah

Namun inilah yang termampu

Untuk kami coretkan merakam penghargaan,


Duhai kekanda yang kami kasihi

Belum puas mengenal hati dan budi

Kekanda sudah diakhir perkhidmatan

Apalah yang boleh dikesalkan

Kerana masa dan waktu bukan kepunyaan

Harus kita akur pada ketentuan


Kenangan bersama kekanda tidakkan dilupa

Andai anda tersilap bicara

Kemaafan jua yang kami pinta

Semoga ada rezeki untuk kita bersua

Di lain masa dan ketika.


~Nurfatimahz Puteri, 16.11.2023 ~


**

Untuk Puan Kamariah binti Sukar, mantan Pembantu Tadbir SKSPR.

Saturday, October 28, 2023

Palestin Adalah Kita

Palestin itu kota yang suci

Padanya masjidil Aqsa qiblat pertama

Di situ juga Kota kelahiran para anbia

Penyampai risalah dari Ilahi

Palestin mencatat sejarah yang agung

Peristiwa Isra Mikraj Nabi akhir zaman,


Tanah yang suci ini kian ternoda

Dek rakusnya rejim yahudi zionis

Ingin menakluki Baitul Maqdis

Menyerang tanpa henti dan simpati

Anak kecil yang tiada berdosa

Terpisah jasad dan nyawa sekelip mata,


Bangunlah wahai anak bangsa

Pertahankan tanah suci ini 

Berdoalah, berdoalah dengan segenap hati nurani

Agar kota ini bebas kembali

Agar keamanan kekal di sana

Kerana Palestin adalah kita.


-Nurfatimahz Puteri, 28.10.2023-


** 

Lama tak karang. Hasil karya untuk murid Pertandingan Sajak Sempena Minggu Solidariti

Tuesday, December 29, 2015

Jika kau...

Jika kau bertanya tentang rembulan
Akan aku khabarkan ianya indah
Menghias malam
Meneman bintang

Jika kau bertanya tentang mentari
Aku kisahkan sinarnya yang terang
Menerang alam
Menghapus suram

Jika kau bertanya tentang hati
Akan aku pastikan ianya terjaga
Tiada derita
Tiada air mata

Jika kau bertanya tentang dia
Aku tak punya jawapannya
Aku berserah
Aku pasrah.

(Nurfatimahz Puteri, 29/12/2015)

Thursday, June 11, 2015

Lagu Tanpa Irama

"Hidup tanpa cinta?"
Bagai air tanpa gula
Bak rembulan tanpa kejora
Ibarat pohon tanpa bunga
Umpama dunia tanpa warna
Laksana mentari tanpa cahaya
Seperti aku tanpa Sonata
"Tawar rasanya."
~Nurfatimahz Puteri~

#AkuDiaDanSonata #SonataItuCinta
#11.06.2015

Sunday, March 02, 2014

Pertandingan Menulis Cerpen Pendek Anjuran Rafina Mimi Abdullah (Bunga Kasih)

Malam kian kelam, suram. Purnama sudah lama menyembunyikan diri dibalik awan hitam, kelam. Angin malam perlahan menerpa ke raut wajahnya. Dibiarkan sahaja jendela kamarnya sedikit terbuka. Hartini memandang ke langit. Kepalanya didongak. Entah apa yang dicari. Tiada bintang yang bergemerlapan. Hanya pungguk yang sesekali seakan berbisik sesama sendiri. Fikiran Hartini melayang. Jauh. 

“Tini”, Faiz memangil Hartini. Hartini yang sedang khusyuk meneliti nama-nama buku di perpustakaan sedikit terkejut. Tiba-tiba ada yang menyapa.

“Eh, Faiz”, Hartini menoleh ke arah Faiz seketika. Kemudian kembali matanya menyoroti satu persatu buku yang terdapat di rak tingkat kedua.

“Kau cari bahan untuk Cyberlaw ke?”, Faiz menyoal, sambil membelek-belek judul buku berhampiran dengan Hartini.

“A’ah. Eh dapat tajuk apa?”, Hartini kembali menyoal.
Telemedicine, Tini?”
Copyright. Macam susah sahaja”, Hartini seolah-olah mengeluh. Sebenarnya keluhan itu bukanlah ditujukan kepada subjek yang dipelajarinya. Apa yang dikeluhkan adalah berkenaan buku-buku di perpustakaan kolejnya. Perpustakaan sudahlah jauh dari fakulti, kecil pula tu. Tambah lagi dengan jumlah bukunya yang tak seberapa. Hati kecil Hartini mengomel-ngomel.

“Tak adalah susah. Senang lagi tajuk tu dari Telemedicine. Nak tukar dengan aku?”, Faiz tersenyum-senyum mengusik, namun sempat lagi kening kanannya diangkat. Seoalah-olah serius dengan apa yang dikatakannya sebentar tadi.

“Ui tak naklah, yang Copyright ni pun dah pening-pening. Telemedicine tak fokus sangat lagi”, agak panjang penerangan Hartini. Namun dia tahu, Faiz hanyalah bergurau. Faiz ketawa kecil. Faiz memang begitu. Mesra dan mudah didekati. Tak hairanlah ramai yang menaruh minat terhadap Faiz, tidak terkecuali Hartini sendiri. Bukan sahaja ada rupa, malah boleh dikategorikan antara pelajar yang terbaik kolej. Memang meletup!

“Eh Faiz, kenapa tak datang kelas pagi tadi?”, Hartini tiba-tiba teringat. Pagi tadi ada dua subjek. Tapi dua-dua subjek Faiz tidak hadir. Pelajar-pelajar sekelas yang lain tidak tahu. Shazali yang satu bilik dengan Faiz pun tidak dapat memberikan jawapan. Faiz menghilangkan diri seketika dari kuliah.

“Rindu ke?”, Faiz tidak menjawab soalan Hartini. Sebaliknya bertanyakan soalan cepu emas kepada Hartini. Hartini tergelak agak kuat. Namun dia masih dapat mengawal suaranya agar tiada orang lain yang terganggu dengan ketawanya tadi. Hartini tidak tahu untuk menjawab. Tiba-tiba dia merasa pipinya panas. 

Tangan Faiz ligat membuka helaian sebuah buku yang dipegangnya. Telemedicine and Law. Ada beberapa halaman dari buku berkenaan menarik perhatian Faiz. Maklumat yang dikehendakinya ada di situ. Hartini sudah pun berangkat ke meja tulis yang disediakan pihak perpustakaan.

Sedang Hartini leka dengan buku-buku tersebut, Faiz menarik kerusi di hadapan Hartini dan terus melabuhkan punggungnya di situ. Faiz menghadiahkan senyuman buat Hartini, rakan sekelasnya.

“Seorang sahaja kan?”, tegur Faiz.
“Berdua”, balas Hartini. Sebenarnya dia agak kaget apabila Faiz datang ke mejanya.

“Siapa?”, Faiz melihat sekitar perpustakaan. Mungkin Atikah atau Hafizah yang datang bersama Hartini, teka Faiz. Di rak buku tadi, dia tidak sempat untuk bertanya.

“Dengan Faizlah yang duduk semeja ni. Tanya lagi”, Hartini sengaja mengenakan Faiz. Faiz tersengih-sengih.

“Tini, nak bagitau ni..”, Belum sempat Faiz menyempurnakan ayat, tiba-tiba ada staf perpustakaan membuat pengunguman bahawa perpustakaan akan ditutup dalam masa lima minit sahaja lagi. Semua pelajar diminta untuk keluar dengan segera.

“Alamak, buku tak pinjam lagi. Nak pergi kaunter sekejap”, Hartini meminta izin, walaupun tak perlu. Faiz mengiakan. Setelah meminjam dua buah buku dari perpustakaan, Hartini keluar bersama Faiz untuk pulang ke kolej kediaman. Langsung Hartini terlupa untuk bertanya apa yang ingin disampaikan Faiz sebentar tadi.

Faiz berjalan beriringan dengan Hartini menuju ke kolej kediaman. Masing-masing datang ke perpustakaan dengan berjalan kaki. Nasib baiklah tidak jauh dengan kolej kediaman. Hanya jauh jika ke fakulti sahaja. Harapkan pengangkutan pihak kolej? Entah bilalah akan sampai. Silap-silap, jika berjalan pulang pun sudah sampai ke destinasi lebih awal daripada membuang masa menunggu van atau bas kolej datang. Memang penantian itu sesuatu yang menyiksakan. Malah tidak hairan, lebih separuh dari warga kolej memilih untuk menggunakan kenderaan sendiri.

Baru sahaja Hartini hendak melangkah menyeberangi jalan, tiba-tiba Faiz memanggil Hartini dengan kuat.

“Tini!”, seraya kedengaran hon yang berlanjutan dari sebuah kereta kancil berwarna putih. Faiz menolak Hartini jauh ke depan. Hartini tergamam. Dia terjatuh. Dan pemandu kancil itu tidak sempat untuk menekan brek. Bunyi sebuah objek dilanggar kuat kedengaran. Hartini segera menoleh.

“Faiz!!”, Hartini segera bangun dan mendapatkan Faiz. Objek yang dilanggar tadi adalah Faiz. Darah Faiz mengalir menghujani jalan. Pemandu kancil putih, Wasie cemas. Wasie keluar dari kereta untuk melihat orang yang dilanggarnya. Ya Allah, apakah yang aku lakukan? Wasie bermonolog sendirian. Hartini menangis teresak-esak. Faiz tidak sedarkan diri.  

Beberapa orang pelajar yang melihat kejadian tersebut turut menghampiri. Seorang pelajar perempuan sedang cuba menghubungi pihak ambulan kolej, namun tidak berjawab. Dia mencadangkan Faiz segera di bawa ke hospital. Bimbang kehilangan darah dalam jumlah yang lebih banyak. Dua orang pelajar lelaki membantu Wasie mengangkat Faiz ke dalam kereta. Wasie mengajak Hartini mengikutnya. Wasie tidak mengenali Faiz atau Hartini sebenarnya.

Hartini mencari-cari senarai nama ahli keluarga Faiz. Dia berjaya menemui ‘Ibu’, lalu panggilan dibuat kepada ibu Faiz. Hartini menyusun ayat dengan baik, dia tidak membertahu ibu Faiz keadaan Faiz yang sebenar, bimbang ibu dan ahli keluarganya yang lain susah hati. Hartini hanya memaklumkan bahawa Faiz terlibat dalam kemalangan kecil dan mengalami sedikit kecederaan.

Faiz masih di bilik pembedahan. Hartini bermundar-mandir di hadapan bilik pembedahan. Wasie duduk di kerusi yang terletak di sisi kiri pintu bilik. Dahinya berkerut. Ternyata kekesalan terukir diwajahnya. Di dalam hati, dia tidak putus-putus mendoakan supaya Faiz selamat. Shazali tiba bersama beberapa orang rakan yang lain. Mereka cuba menenteramkan Hartini yang gelisah.

Ibu dan ayah Faiz baru sahaja tiba. Ibu Faiz mencari orang yang menghubunginya sebentar tadi. Hartini bersalaman dengan ibu Faiz. Shazali dan yang lain pula bersalaman dengan ayah Faiz. Beberapa soalan ditanyakan oleh si ibu dan ayah. Terpamer gelisah di raut wajah kedua mereka. Hati ibubapa mana yang tidak risau jika sesuatu berlaku kepada anak mereka?

Lampu bilik pembedahan sudah dipadamkan. Doktor Qayyum keluar dan menghampiri ayah Faiz, Encik Halim. Dari butir-butir perbicaraan Doktor Qayyum, beliau meminta maaf kerana gagal menyelamatkan Faiz. Air mata Hartini semakin mencurah. Sebak dihatinya tidak tertahan. Hartini terkilan. Malah dia juga merasa bersalah, sepatutnya dia yang dilanggar. Bukan Faiz. Faiz kemalangan kerana ingin menyelamatkannya. Hafizah memeluk Hartini, dibisikkan istighfar, juga kata-kata semangat.  

Hartini menyeluk poket baju kurung yang dipakainya. Dia masih belum menyalin pakaian walaupun sudah lama pulang daripada hospital. Ada dua telefon bimbit. Satu miliknya, dan satu lagi milik Faiz. Hartini terlupa untuk memberikannya kepada ibu atau ayah Faiz. Hartini meletakkan telefonnya di atas katil. Dia menggenggam telefon Faiz dan menuju ke jendela.

Air mata Hartini sudah kering untuk mengalir. Namun hatinya masih dilanda gerimis yang berpanjangan. Sepanjang mengenali Faiz, Hartini tidak pernah dapat meluangkan masa yang begitu lama dengan Faiz. Ya, agak lama. Andainya Faiz mengetahui isi hatinya.. Hatini pasrah. Mungkin itu tanda Faiz bakal meninggalkannya. Faiz diberi ‘pinjam’ kepadanya pada hari ini.

Angin makin kuat bertiup. Ada rintik hujan mula jatuh ke bumi. Tempiasnya mengenai pipi Hartini. Hartini tersedar dari lamunan. Dia menghulurkan tangan tangannya ke luar jendela, seolah-olah menadah air hujan. Bagaikan puas dengan bukti bahawa hujan akan lebat, barulah dia menarikkan tangannya kembali. Hartini menarik tabir jendelanya, ditutup. Langsir juga dibetulkan dan dilabuhkan. Hartini duduk dibirai katil. Telefon milik arwah ditatapnya.

“Kau tahu Tini, sebenarnya Faiz…”, bisik Shazali semasa beriringan keluar dari dewan peperiksaan kolej.

“Kenapa?”, Hartini ingin tahu apa yang cuba disampaikan Shazali tentang arwah Faiz.

“Arwah sukakan kau”, kata Shazali. Sebagai teman sebilik arwah Faiz, banyak yang dikongsikan mereka berdua.

Hartini tersentap. Barangkali itu apa yang cuba arwah sampaikan kepadanya di perpustakaan dahulu. Kalaulah arwah masih hidup, kalaulah.. Hartini beristighfar. Kalau-kalau itu datangnya daripada syaitan, hati kecilnya bermadah. Hartini menarik nafas dalam-dalam dan menghembuskannya perlahan. Aku juga sukakan dia, rupanya aku tidak bertepuk sebelah tangan. Hartini memejamkan mata rapat-rapat.

Kisah lebih tiga tahun dahulu menjadi peneman harinya. Masih dirasakan bagai baru sahaja ianya berlaku. Lebih tiga tahun jugalah dia kehilangan seorang teman, malah berhutang nyawa dengan temannya itu. Senantiasa dia berdoa semoga arwah Faiz ditempatkan dikalangan insan-insan yang terpilih di sisi Tuhan. Hartini akur, Bunga-bunga kasih masih mewangi di dalam hati Hartini. Dalam tidak sedar, ada air hangat yang mengalir dari matanya membasahi kedua pipinya.


~Nurfatimahz Puteri~

Sunday, May 12, 2013

apa namanya

Ada rindu
Ada yang ditunggu

Ada cinta
Ada yang dipuja

Cemburu
Ya siapa tidak cemburu
Bila dia yang dipuja
Bertemu dengan orang lain?

Dia bertanya, apakah aku cemburu
Sambil menggelengkan kepala
Aku menjawab tidak
Padahal di dalam hati.....

Inginku meluah rasa
Namun aku enggan kecewa
........

Thursday, March 28, 2013

koleksi nukilan ringkas

Heuhh.. lame gile tak update. Berikut adalah antara status di FB, hehehe


Pertemuan bukanlah sebuah destinasi, sebaliknya suatu persinggahan yang akan menentukan perjalanan berikutnya. Apakah diteruskan, atau harus kembali ke titik mula.. 
~Nurfatimahz Puteri#21.3.13


Jangan takut untuk kehilangan apa yang bukan dimiliki,
Takdir yang menemukan, dan takdir juga bisa memisahkan
~Nurfatimahz Puteri# 21.3.13


Untuk menilai sesuatu itu baik atau buruk, bukan mata yang diperlukan. Sebaliknya "mata hati".
Biar buta mata, asal jangan buta mata hati.
# 20.3.13


Pertama:Apa guna cahaya kalau tidak mampu keluar dari kegelapan?
Kedua: Nikmatnya cahaya hanya akan terasa setelah melalui kegelapan.
#16.3.13


Pengalaman adalah GURU TERBAIK walaupun ia adalah TERSANGAT PAHIT.
~Nurfatimahz aka Puteri#13.3.13


Tiada sebab yang diperlukan untuk menyukai seseorang, Tetapi satu sebab sudah memadai untuk membenci seseorang
~ Nurfatimahz aka Puteri
# 12.3.13


Kita tak akan sedar apa yang kita miliki, sehinggalah kita kehilangannya.
Dan kita tak akan sedar apa yang kita perlukan, sehinggalah kita mendapatkannya.
#11.3.13

Hurm.... Yang bertarikh 21.3.13 tu, cerita di KLIA =)

First time meeting, tapi siap jumpa satu family.. -.-'

Monday, February 04, 2013

Sang Pelangi

Pelangi.. Hadirnya indah dipandang mata. Tatkala ia hilang, hati kecewa kerana belum puas menikmati keindahan yang ada. Namun, bersabarlah. Ada pelangi yang akan muncul lagi selepas teriknya mentari dan suramnya hari.. 

Dan aku menanti pelangi itu.

~Nurfatimahz AKA Puteri~
(04.02.12013 @ 9.55 am)

Wednesday, January 16, 2013

Kerana Aku

Kalau kerana kecantikan
Bukan aku orangnya
Kalau kerana kelebihan
Aku banyak kurangnya

~Nurfatimahz AKA Puteri~
16.01.2013 @ 11.45 pm

Monday, October 22, 2012

merisik khabar

Tiada gunanya menjadi rakan akrab
Jika keakraban seketika cuma
Terhenti seberakhirnya sesebuah pertemuan

Biarlah sekadar rakan biasa
Yang sesekali merisik khabar
Walau terpisah antara ruang dan waktu

(Nurfatimahz Puteri, 18/10/2012)

Monday, March 12, 2012

ciptaan Tuhan

Segala yang terjadi
Tiada yang semulajadi

Ada yang menguasai..
Ada yang menjadikannya..

Tuhan Yang Maha Kuasa,
Dia Yang Maha Pencipta

Friday, August 12, 2011

Contest Aku Berpuisi - Sendiri



Pernah hati bertanya sendiri
Mengapa ini yang terjadi
Apakah sudah tersurat sejak azali
Ditakdirkan begini
Pilu menemani..

Hidup yang tak seindah mimpi
Hanyalah umpama ilusi
Khayalan disiang hari
Ternyata pahit bisa berduri
Itulah hakikat yang terbukti..

Andai mampu diukir awan
Akanku coret segala luka
Biar semua duka akan terpadam
Ditiup angin yang mendatang
Atau turun menjadi hujan
Yang bisa menghidupkan alam..

Biar lara itu membangkitkan
Bukan lagi meresahkan
Biar segalanya menjadi kekuatan
Menempuh hari dan masa hadapan.


Tag..??

Yang baca entry ni AUTOMATIK kena tagged!

*re-post juga.

Monday, August 08, 2011

Contest Aku Berpuisi - Rintihan Jiwaku



Hujanan nuklear
Bedilan fosforus
Kebakaran dahsyat
Umpama pesta bermaharajalela
Nilai nyawa tiada berharga
Kehilangan yang menyayat
Menjadikan aku seorang yatim piatu

Keluargaku.. di mana?
Ayah, di mana ayah?
Ayah pergi berjihad tiada pulang..
Ibu, di mana ibu?
Ibu longlai lesu terbujur kaku..
Abang, di mana abang?
Abang menjadi mangsa senapang rakus
Terkoyak rabak tubuhnya
Sama seperti helaian bajunya..
Kakak, di mana kakak?
Nafsu binatang manusia syaitan itu
Menghentikan denyut nadinya..
Adik, di mana adik?
Adik sudah lumat, berkecai
Dihancurkan kereta kebal jahanam..

Apa kau melihat deritaku?
Apa kau merasa apa yang ku rasa?
Apa kau punya mata namun hatimu buta?
Kau rela bersekongkol dengan mereka
Menembak mati saudara-saudaraku
Menghancur lenyap sahabat-sahabatku?
Atau kerana ini kisahku
Bukan kisahmu
Ia berlaku padaku, keluargaku
Bukan kamu, keluargamu?

Note:
Re-post untuk contest anjuran sahabat blogger, Azhan.

Tagged:
Cikli
Tehr
Kamal Sanusi

Sunday, June 19, 2011

bahagia

kebahagian
adalah untuk mereka yang pernah
menangis, terluka, kecewa, menderita
mencari dan mencuba
untuk mencipta bahagia

kebahagiaan
bukan terletak pada raut wajah
mewahnya harta, megahnya kedudukan
tetapi pada hati
yang merasa ketenangan

Monday, April 25, 2011

cintaku



Cintaku kepadamu
tidak membawaku ke mana-mana
tidak menjanjikan ku bahagia

Cintaku kepadamu
tidak bisa mengubah apa-apa
suratan yang telah ditakdirkan

Cintaku kepadamu
tetap utuh hingga kini
walau aku tidak kau cintai

Cintaku kepadamu
hanya akan mati
saat degup nafasku terhenti..


Nota:

FRUST. Asyraf Muslim (Ustaz Amirul) sudah bertunang..
............
..........
.......
sebenarnya tiada kaitan hidup atau mati dengan asyraf muslim
:)

Sunday, April 17, 2011

contest - kenangan zaman sekolah



Ilias mencari-cari kelas bakal pelajarnya. Tingkat atas, atau bawah? Sekali sekala dia mengeluarkan jadual kelas yang baru diperolehinya. Bimbang tersalah kelas. Maklumlah kali pertama dia bakal menjadi guru di salah sebuah sekolah yang agak ternama di Nilai, Negeri Sembilan. Manakan tidak popular sekolah ini, matapelajaran Teknologi Maklumat menjadi subjek wajib setiap pelajar. Dan Ilias bertanggungjawab mengajar Teknologi Maklumat 2 kepada bakal pelajarnya.

Setelah beberapa minit mencari kelas, akhirnya Ilias menemui kelas 5 A.

"Assalamualaikum, kelas Teknologi Maklumat?" Tanya Ilias, untuk kepastian.
"Ya!" Beberapa orang pelajar mengiyakannya.

Ilias melangkah masuk dan memperkenalkan diri. Kelas minggu pertamanya akan dimulakan dengan perkenalan bersama pelajar. Tak kenal, maka tak cinta, kan? Sempat lagi Ilias bermonolog sendirian.

Tidak ramai pelajar dalam kelas 5 A. 20 orang sahaja. 6 lelaki, 14 perempuan. Semua pelajar memperkenalkan diri, Muhaimin, Ameng, Sulhi, Wasie, Jali, Faiz, Hakimah, Husna, Hafizah, Atikah, Sally, Fatimah, Waheeda, Hartini, Farhana, Zalina, Adila, Rozita, Asma dan Khadijah. Ilias cuba menghafal nama-nama pelajarnya.

Setelah sesi perkenalan selesai, Ilias mengambil keputusan untuk memulakan sedikit pengenalan terhadap subjek yang akan diajarnya. Ilias menerangkan bahawa pada tahun ini, para pelajar akan didedahkan dengan Microsoft Access dan Microsoft Publisher. Sedikit sebanyak Ilias mengaitkan kembali dengan Microsoft Word dan Microsoft Power Point yang diambil pelajar semasa mereka berada di tahun 4, mengikut silibus sekolah.

Setelah Ilias menerangkan serba sedikit pengenalan, Ilias membuka peluang kepada pelajar untuk bertanya jika ada yang kurang difahami mereka. Dan ada seorang pelajar mengangkat tangan untuk bertanya.

"Sir dah kahwin belum?" Fatimah bertanya. Satu kelas ketawa. Manakan tidak, sibuk Sir Ilias mengajar, di luar topik pula dia bertanya.

"Dah" Pendek Ilias menjawab.

"Alaa..." Celah Farhana dan Adila, berpura-pura kecewa. Iyalah, Sir baru mereka ini ada rupa dan bergaya. Paling menarik kacamata yang digayakannya. Ilias tersenyum dan tergelak kecil. Nakal juga budak-budak 4 A ni.

Ilias pasti, kelasnya nanti tidak akan kering gusi dan tidak me-mengantuk-kan budak. Dalam diam, Ilias gembira kerana pelajar-pelajarnya bukan pendiam, sebaliknya menceriakan.

***********************
Nota:
- Isq, tiba-tiba macam tak pandai nak bercerita.

Wednesday, March 16, 2011

apa itu cinta



Cinta itu hadiah
Mesti dihargai
Mesti dipelihara

Cinta itu anugerah
Jangan biar hilang
Jangan biar musnah

Cinta itu indah
Perlu dijaga
Perlu dihias

Cinta itu fitrah
Jangan benar dicemari
Jangan benar dinodai

Tagged:
- Cikli
- Suri


Nota:

Join contest apa itu cinta yang dianjurkan oleh Al-Hakim.

Harap-harap masih diterima, tarikh tutup hari ni (16/03/2011), he.he.. Kawan-kawan nak join? jom cepat2!

Monday, February 28, 2011

sebenarnya Tuhan

Hijrah satu perjuangan
Hijrah satu pengorbanan
Hijrah meniti kehidupan
Hijrah menuju kejayaan
Hijrah menuju Tuhan

Sesungguhnya Tuhan
Tidak pernah memandang
Pada rupa manusia
Harta kekayaan atau kuasa
Yang kita ada
Yang kita punya

Sebenarnya Tuhan

Hanya akan menilai
Pada hati hamba-Nya
Benar beriman juga bertaqwa
Pada Yang Esa
Pada Yang Kuasa

Sesungguhnya Tuhan

Mencintai mereka yang sujud kepada-Nya
Sebenarnya Tuhan
Mengasihi mereka berserah kepada-Nya

Memohon ampun-Nya

Meminta belas-Nya
Mengharap Syurga-Nya
Berhijrah kerana-Nya

Nota:

Lirik/lagu yang dihasilkan atas permintaan Penyelia KAFA PADKP (Pej. Agama Daerah Kubang Pasu) untuk guru-guru KAFA, namun belum diperdengarkan kepada mereka.. HU,. agak-agak oke tak? :D