© Hakcipta adalah terpelihara.
Showing posts with label essay. Show all posts
Showing posts with label essay. Show all posts

Friday, December 31, 2010

bunga kasih

~ Join Contest 99 Hari Kisah Klasik Kita ~



Malam kian kelam, suram. Purnama sudah lama menyembunyikan diri dibalik awan hitam, kelam. Angin malam perlahan menerpa ke raut wajahnya. Dibiarkan sahaja jendela kamarnya sedikit terbuka. Hartini memandang ke langit. Kepalanya didongak. Entah apa yang dicari. Tiada bintang yang bergemerlapan. Hanya pungguk yang sesekali seakan berbisik sesama sendiri. Fikiran Hartini melayang. Jauh.

“Tini,” Faiz memangil Hartini. Hartini yang sedang khusyuk meneliti nama-nama buku di perpustakaan sedikit terkejut. Tiba-tiba ada yang menyapa.

“Eh, Faiz,” Hartini menoleh ke arah Faiz seketika. Kemudian kembali matanya menyoroti satu persatu buku yang terdapat di rak tingkat kedua.

“Kau cari bahan untuk Cyberlaw ke?” Faiz menyoal, sambil membelek-belek judul buku berhampiran dengan Hartini.

“A’ah. Eh dapat tajuk apa?” Hartini kembali menyoal.

Telemedicine, Tini?”

Copyright. Macam susah je,” Hartini seolah-olah mengeluh. Sebenarnya keluhan itu bukanlah ditujukan kepada subjek yang dipelajarinya. Apa yang dikeluhkan adalah berkenaan buku-buku di perpustakaan kolejnya. Perpustakaan sudahlah jauh dari fakulti, kecil pula tu. Tambah lagi dengan jumlah bukunya yang tak seberapa. Hati kecil Hartini mengomel-ngomel.

“Tak adalah susah. Senang lagi tajuk tu dari Telemedicine. Nak tukar dengan aku?” Faiz tersenyum-senyum mengusik, namun sempat lagi kening kanannya diangkat. Seoalah-olah serius dengan apa yang dikatakannya sebentar tadi.

“Ui tak naklah, yang Copyright ni pun dah pening-pening. Telemedicine tak fokus sangat lagi,” Agak panjang penerangan Hartini. Namun dia tahu, Faiz hanyalah bergurau. Faiz ketawa kecil. Faiz memang begitu. Mesra dan mudah didekati. Tak hairanlah ramai yang menaruh minat terhadap Faiz, tidak terkecuali Hartini sendiri. Bukan sahaja ada rupa, malah boleh dikategorikan antara pelajar yang terbaik kolej. Memang meletup!

“Eh Faiz, kenapa tak datang kelas pagi tadi?” Hartini tiba-tiba teringat. Pagi tadi ada dua subjek. Tapi dua-dua subjek Faiz tidak hadir. Pelajar-pelajar sekelas yang lain tidak tahu. Shazali yang satu bilik dengan Faiz pun tidak dapat memberikan jawapan. Faiz menghilangkan diri seketika dari kuliah.

“Rindu ke?” Faiz tidak menjawab soalan Hartini. Sebaliknya bertanyakan soalan cepu emas kepada Hartini. Hartini tergelak agak kuat. Namun dia masih dapat mengawal suaranya agar tiada orang lain yang terganggu dengan ketawanya tadi. Hartini tidak tahu untuk menjawab. Tiba-tiba dia merasa pipinya panas.

Tangan Faiz ligat membuka helaian sebuah buku yang dipegangnya. Telemedicine and Law. Ada beberapa halaman dari buku berkenaan menarik perhatian Faiz. Maklumat yang dikehendakinya ada di situ. Hartini sudah pun berangkat ke meja tulis yang disediakan pihak perpustakaan.

Sedang Hartini leka dengan buku-buku tersebut, Faiz menarik kerusi di hadapan Hartini dan terus melabuhkan punggungnya di situ. Faiz menghadiahkan senyuman buat Hartini, rakan sekelasnya.

“Seorang aje kan?” Tegur Faiz.

“Berdua,” Balas Hartini. Sebenarnya dia agak kaget apabila Faiz datang ke mejanya.

“Siapa?” Faiz melihat sekitar perpustakaan. Mungkin Atikah atau Hafizah yang datang bersama Hartini, teka Faiz. Di rak buku tadi, dia tidak sempat untuk bertanya.

“Dengan Faizlah yang duduk semeja ni. Tanya lagi,” Hartini sengaja mengenakan Faiz. Faiz tersengih-sengih.

“Tini, nak bagitau ni..” Belum sempat Faiz menyempurnakan ayat, tiba-tiba ada staf perpustakaan membuat pengunguman bahawa perpustakaan akan ditutup dalam masa lima minit sahaja lagi. Semua pelajar diminta untuk keluar dengan segera.

“Alamak, buku tak pinjam lagi. Nak pergi kaunter kejap,” Hartini meminta izin, walaupun tak perlu. Faiz mengiakan. Setelah meminjam dua buah buku dari perpustakaan, Hartini keluar bersama Faiz untuk pulang ke kolej kediaman. Langsung Hartini terlupa untuk bertanya apa yang ingin disampaikan Faiz sebentar tadi.

Faiz berjalan beriringan dengan Hartini menuju ke kolej kediaman. Masing-masing datang ke perpustakaan dengan berjalan kaki. Nasib baiklah tidak jauh dengan kolej kediaman. Hanya jauh jika ke fakulti sahaja. Harapkan pengangkutan pihak kolej? Entah bilalah akan sampai. Silap-silap, jika berjalan pulang pun sudah sampai ke destinasi lebih awal daripada membuang masa menunggu van atau bas kolej datang. Memang penantian itu sesuatu yang menyiksakan. Malah tidak hairan, lebih separuh dari warga kolej memiliki kenderaan sendiri.

Baru sahaja Hartini hendak melangkah menyeberangi jalan, tiba-tiba Faiz memanggil Hartini dengan kuat.

“Tini!” Seraya kedengaran hon yang berlanjutan dari sebuah kereta kancil berwarna putih. Faiz menolak Hartini jauh ke depan. Hartini tergamam. Dia terjatuh. Dan pemandu kancil itu tidak sempat untuk menekan brek. Bunyi sebuah objek dilanggar kuat kedengaran. Hartini segera menoleh.

“Faiz!!” Hartini segera bangun dan mendapatkan Faiz. Objek yang dilanggar tadi adalah Faiz. Darah Faiz mengalir menghujani jalan. Pemandu kancil putih, Wasie cemas. Wasie keluar dari kereta untuk melihat orang yang dilanggarnya. Ya Allah, apakah yang aku lakukan? Wasie bermonolog sendirian. Hartini menangis teresak-esak. Faiz tidak sedarkan diri.

Beberapa orang pelajar yang melihat kejadian tersebut turut menghampiri. Seorang pelajar perempuan sedang cuba menghubungi pihak ambulan kolej, namun tidak berjawab. Dia mencadangkan Faiz segera di bawa ke hospital. Bimbang kehilangan darah dalam jumlah yang lebih banyak. Dua orang pelajar lelaki membantu Wasie mengangkat Faiz ke dalam kereta. Wasie mengajak Hartini mengikutnya. Wasie tidak mengenali Faiz atau Hartini sebenarnya.

Hartini mencari-cari senarai nama ahli keluarga Faiz. Dia berjaya menemui ‘Ibu’, lalu panggilan dibuat kepada ibu Faiz. Hartini menyusun ayat dengan baik, dia tidak membertahu ibu Faiz keadaan Faiz yang sebenar, bimbang ibu dan ahli keluarganya yang lain susah hati. Hartini hanya memaklumkan bahawa Faiz terlibat dalam kemalangan kecil dan mengalami sedikit kecederaan.

Faiz masih di bilik pembedahan. Hartini bermundar-mandir di hadapan bilik pembedahan. Wasie duduk di kerusi yang terletak di sisi kiri pintu bilik. Dahinya berkerut. Ternyata kekesalan terukir diwajahnya. Di dalam hati, dia tidak putus-putus mendoakan supaya Faiz selamat. Shazali tiba bersama beberapa orang rakan yang lain. Mereka cuba menenteramkan Hartini yang gelisah.

Ibu dan ayah Faiz baru sahaja tiba. Ibu Faiz mencari orang yang menghubunginya sebentar tadi. Hartini bersalaman dengan ibu Faiz. Shazali dan yang lain pula bersalaman dengan ayah Faiz. Beberapa soalan ditanyakan oleh si ibu dan ayah.

Lampu bilik pembedahan sudah dipadamkan. Doktor Qayyum keluar dan menghampiri ayah Faiz, Encik Halim. Dari butir-butir perbicaraan Doktor Qayyum, beliau meminta maaf kerana gagal menyelamatkan Faiz. Hartini kembali mengalirkan air mata. Sebak dihatinya tidak tertahan. Hartini terkilan. Malah dia juga merasa bersalah, sepatutnya dia yang dilanggar. Bukan Faiz. Faiz kemalangan kerana ingin menyelamatkannya. Hafizah memeluk Hartini, dibisikkan istighfar.

Hartini menyeluk poket baju kurung yang dipakainya. Dia masih belum menyalin pakaian walaupun sudah lama pulang daripada hospital. Ada dua telefon bimbit. Satu miliknya, dan satu lagi milik Faiz. Hartini terlupa untuk memberikannya kepada ibu atau ayah Faiz. Hartini meletakkan telefonnya di atas katil. Dia menggenggam telefon Faiz dan menuju ke jendela.

Air mata Hartini sudah kering untuk mengalir. Namun hatinya masih dilanda gerimis yang berpanjangan. Sepanjang mengenali Faiz, Hartini tidak pernah dapat meluangkan masa yang begitu lama dengan Faiz. Ya. Agak lama. Andainya Faiz mengetahui isi hatinya.. Hatini pasrah. Mungkin itu tanda Faiz bakal meninggalkannya. Faiz diberi ‘pinjam’ kepadanya pada hari ini.

Angin makin kuat bertiup. Ada rintik hujan mula jatuh ke bumi. Tempiasnya mengenai pipi Hartini. Hartini tersedar dari lamunan. Dia menghulurkan tangan tangannya ke luar jendela, seolah-olah menadah air hujan. Bagaikan puas dengan bukti bahawa hujan akan lebat, barulah dia menarikkan tangannya kembali. Hartini menarik tabir jendelanya, ditutup. Langsir juga dibetulkan dan dilabuhkan. Hartini duduk dibirai katil. Telefon milik arwah ditatapnya.

Kisah lebih tiga tahun dahulu menjadi peneman harinya. Masih dirasakan bagai baru sahaja ianya berlaku. Lebih tiga tahun jugalah dia kehilangan seorang teman, malah berhutang nyawa dengan temannya itu. Senantiasa dia berdoa semoga arwah Faiz ditempatkan dikalangan insan-insan yang terpilih di sisi Tuhan. Bunga-bunga kasih masih mewangi di dalam hati Hartini. Dalam tidak sedar, ada air hangat yang mengalir dari matanya membasahi kedua pipinya.

[ Bunga Kasih - Nurfatimahz AKA Puteri ]

Friday, December 24, 2010

aku dan program bahasa

~ Menyertai pertandingan cerpen anjuran beautiful_rose ~


Hari ini merupakan hari terakhir aku mengikuti program English Workshop anjuran pihak universiti. Semua pelajar dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Yang kelakarnya ramai yang tersilap kumpulan dan antara yang terbabit adalah diriku sendiri.


Entah di mana silapnya. Tapi aku rasa, aku dah masuk dalam kelas yang betul. Merujuk senarai nama di papan kenyataan, seingat aku, namaku tersenarai untuk berada di dalam kelas BTS 2.7.


Jadi pada hari pertama lagi, aku dengan penuh yakin masuk ke dalam kelas BTS 2.7. Kebetulan, ada kawan yang dikenali turut berada di dalam kelas berkenaan, walaupun kawan itu baru dikenali beberapa hari yang lalu. Aku langsung tidak menyedari bahawa sebenarnya aku berada di kelas yang salah.


Bagaimana aku tahu? Pada hari kedua program, senarai nama cetakan berkomputer diedarkan dan perlu ditandatangani. Opss.. Namaku tiada. Haru jugak ni. Macam mana ya?


Miss,” Teragak-agak aku memanggil pembimbing program kelasku.

"Yes," Segera Miss Diyana menjawab.

"Er.. my name is not here," Susah jugak aku mengatur ayat dalam Bahasa Inggeris tu. Harapkan program ini sahajalah untuk aku bercakap Bahasa Inggeris.

"Hmm..?" Kening Miss Diana berkerut.

"Actually I don't know where is my group. I've look at the board and if I'm not mistaken, it should be this class, 2.7," Gagap jugaklah nak menghabiskan ayat.

"Do you have your friends here?," Miss Diana bertanya.

"Yes," Cepat aku menjawab.

"Then, it's okay,"

"But.. In different course,"

"Hah? Hurm.. then, just put down your name here," Aku pun terkial-kial menulis namaku dalam senarai nama cetakan berkomputer tu.


Pada keesokan harinya, iaitu hari ketiga merangkap hari terakhir program, aku baru dapat maklumat bahawa kelasku yang sebenar adalah di BTS 3.7. Bilik berkenaan berada di tingkat atas kelas yang aku masuk sekarang. Opss..


Tengahari, aku bercakap dengan Miss Diana.

"Miss, I've found my class. It is in third floor,"

"You want to stay here?"

"Cannot..?"

"No, I'm asking you. It's okay if you wanna stay here," Miss Diana mengulas agak panjang.

"I want to stay," Miss mengangguk.


Itulah pengalaman tiga hari berprogram dengan tersalah tempat, tapi dengan penuh confident masuk. Nasib jugalah kawan-kawan dalam kelas tu sporting, maklumlah semua saling tidak mengenali sebab baru minggu pertama di universiti. Esok baru akan bermula sesi perkuliahan.


Dan apa yang paling aku ingat sekali ialah, pada petang hari terakhir tu, Miss Diyana sempat berpesan, "Make sure that you not enter the wrong class in your first day study, okay!," Aku hanya mampu tersengih macam kerang busuk.


***************************************************

Nota: Kisah ini merupakan kisah benar pada tahun 2007, cerita saya pada minggu pertama masuk USIM.. he.he

Friday, July 17, 2009

nia ayuni - part 2

Sambungan Nia Ayuni - Part 1

Nia Ayuni makin tenat. Semakin banyak wayar dan suntikan ke atasnya dilakukan pihak hospital. Azmi dan Nurul tidak putus-putus berdoa ada hati diantara mereka yang hadir ke ujian kesesuaian hati minggu lepas sesuai untuk Nia Ayuni. Resah kian merajai hati Azmi dan Nurul. Mereka sangat berharap pemindahan hati dapat dijalankan secepat mungkin. Wang sudah mencukupi untuk pembiayaan pembedahan Nia Ayuni, hanya menunggu hati yang sesuai sahaja.

Keputusan ujian akhirnya dikeluarkan oleh pihak Hospital Selayang. Hati Amir Sufi sesuai buat Nia Ayuni. Alhamdulillah, doa Azmi dan Nurul telah dimakbulkan Tuhan. Setelah prosuder dan kelengkapan untuk proses pembedahan disediakan, Amir Sufi dan Nia Ayuni dibawa masuk ke bilik pembedahan. Azmi dan Nurul menanti di luar dengan penuh pengharapan agar Nia Ayuni dan Amir Sufi akan selamat.

Di dalam bilik pembedahan, para pembantu perubatan meletakkan katil Nia Ayuni bersebelahan dengan katil Amir Sufi. Sebelum pembedahan dilakukan, alat pengesan denyutan jantung Nia Ayuni tiba-tiba mengeluarkan bunyi dengan kuat. Pembantu perubatan segera mendapatkan alat pengesan denyutan jantung tersebut. Bunyi yang keluar sebentar tadi telah berhenti, bacaannya juga berhenti, sama terhentinya dengan denyutan jantung Nia Ayuni.

Doktor Yusri yang mengetuai pembedahan itu tadi keluar untuk memaklumkan keadaan Nia Ayuni. Azmi dan Nurul bingkas bangun dari kerusi yang mereka duduki dan mendapatkan Doktor Yusri. Apa yang berlaku? Pembedahan telah selesai? Mengapa begitu cepat? Doktor Yusri meminta supaya Azmi dan Nurul bertenang dan kemudiannya meminta maaf kerana tidak sempat menjalankan pembedahan ke atas Nia Ayuni.

Terasa nyawa direntap dengan kuat, Nurul hampir terjatuh mendengar butir bicara Doktor Yusri. Mujur Azmi sempat memautnya. Anak mereka tidak berjaya diselamatkan. Nia Ayuni telah tiada. Nia Ayuni telah mati. Nia Ayuni telah pergi. Nurul menangis teresak-esak. Nurul menyalahkan dirinya. Azmi memeluknya dan memberi semangat. Mereka perlu redha pada ketentuan takdir yang telah ditetapkan. Nurul akhirnya menyedari, Nia Ayuni itu pinjaman dari Tuhan yang pastinya perlu dipulangkan.

Sewaktu Azmi menemani rakannya untuk mengambil ubat dari hospital, ada seorang pemuda datang menghampirinya dengan tergesa-gesa. Pada telahannya, pemuda itu lebih muda daripadanya. Pemuda itu merayu kepadanya dan beberapa orang lain yang berhampiran dengannya untuk menjalankan ujian pemeriksaan hati. Pemuda itu mahu mendapatkan hati yang sesuai untuk abang tirinya yang sedang tenat di bilik rawatan.

“Abang, tolonglah abang saya. Dia sangat perlukan penderma hati. Abang saya Adam sakit tenat. Tolonglah abang. Tolonglah kakak. Kami tak ada sesiapa lagi untuk meminta tolong. Tolonglah saya,” Rayu pemuda itu dalam tangisan. Bila ada seorang lelaki yang sudi mengikutnya untuk berjumpa doktor bagi menjalankan ujian hati, barulah pemuda itu beredar bersama lelaki berkenaan.

Azmi tersedar dari lamunan kisah silamnya suatu masa dahulu. Azmi tercari-cari Amir Sufi. Patutlah Azmi berasa seperti pernah menemui Amir Sufi sebelum ini. Azmi baru teringat bahawa pemuda yang pernah merayu-rayu padanya suatu masa dahulu adalah Amir Sufi. Ya, tidak syak lagi. Azmi dilanda rasa bersalah kerana suatu masa dahulu dia tidak menghiraukan permintaan Amir Sufi.

Dalam tangisan kekesalannya, Azmi lekas mendapatkan Amir Sufi lalu memeluknya yang baru selesai bersalaman dengan Doktor Yusri dan beberapa pembantu perubatan yang lain. Amir Sufi tersentak, namun dia tetap membalas pelukan Azmi. Pasti Azmi begitu kecewa dan bersedih kerana tidak dapat menyelamatkan Nia Ayuni, sangka Amir Sufi yang tidak mengingati dia pernah menemui Azmi semasa abang tirinya, Adam Syauqi tenat menghidap penyakit bengkak hati. Dan Adam Syauqi telah menghembuskan nafasnya yang terakhir..

-Tamat-

Sunday, June 21, 2009

nia ayuni - part 1

Setelah lima tahun menanti kehadiran cahayamata, akhirnya Azmi telah menjadi seorang bapa dan Nurul menjadi seorang ibu. Nia Ayuni selamat dilahirkan dengan sempurna. Hidung dan matanya mirip dengan Azmi, manakala bentuk wajahnya pula saling tak tumpah seperti Nurul. Mulus kulit Nia Ayuni, suci, putih bagai kapas yang bersih tanpa sebarang kotoran.

Hasrat bergelar ibu dan bapa tercapai jua. Syukur pada Tuhan tiada terkira. Azmi mengucup pipi dan dahi Nurul, tanda cinta dan terima kasih. Air mata Nurul mengalir keharuan. Tuhan mengizinkannya memiliki zuriat hasil perkongsian hidup bersama Azmi, suami tercinta. Nia Ayuni merupakan gabungan nama mereka berdua. Nia untuk Nurul, dan Ayuni untuk Azmi. Nia Ayuni binti Azmi.

Nurul masih membelai Nia Ayuni yang baru sahaja tidur. Nurul perasan sejak akhir-akhir ini, Nia Ayuni cepat keletihan dan sering menangis. Nurul cuba menyusukan Nia Ayuni, barangkali Nia Ayuni belum puas menyusu. Tapi, Nia Ayuni tidak mahu disusukan. Bila penat menangis, Nia Ayuni akan tertidur sendiri. Naluri keibuan Nurul meneka ada sesuatu yang tidak kena pada anaknya.

Nia Ayuni semakin lemah. Menangis pun dalam nada yang terlalu perlahan. Azmi dan Nurul hanya mampu melihat satu-satunya permata mereka terlantar di atas katil Hospital Selayang dengan wayar-wayar yang seakan membelit anak mereka itu. Hati ibubapa mana yang tidak pilu melihat anak kecil mereka terlantar sebegitu? Azmi dan Nurul hanya mampu berdoa selain berikhtiar moga-moga Nia Ayuni akan sembuh.

Segalanya bermula sejak tiga minggu yang lalu. Nia Ayuni tiba-tiba sahaja tidak sedarkan diri diribaan Nurul selepas diberi susu. Bagai si buta kehilangan tongkat, Nurul kehilangan punca. Selepas seketika, Nurul menghubungi Azmi yang sedang bekerja. Pantas Azmi pulang membawa Nurul dan Nia Ayuni ke hospital. Nurul menangis tersedu-sedu sambil memeluk Nia Ayuni. Azmi memujuknya agar bersabar. Doa dalam hati, Nia Ayuni tidak apa-apa.

Usai sahaja Doktor Yusri menjalankan pemeriksaan ke atas Nia Ayuni, beliau mengesahkan bahawa Nia Ayuni dikenalpasti menghidap penyakit tiada saluran hati ke hempedu. Terpana Nurul dan Azmi, tidak percaya kenyataan pahit yang harus ditelan mereka itu. Tangis Nurul makin esak. Tambah Doktor Yusri, Nia Ayuni perlu menjalankan pembedahan pemindahan hati secepat mungkin bagi memulihkan keadaannya.


Azmi bermundar-mandir di ruang legar hospital. Nurul menemani anak mereka di dalam sana. Sudah dua minggu berlalu, namun masih belum ada seorang pun yang tampil untuk menjadi penderma hati kepada Nia Ayuni. Sayang sekali hati Azmi tidak sesuai untuk Nia Ayuni. Hati Nurul pula tidak dapat didermakan kerana Nurul mempunyai masalah kesihatan yang melarangnya dari berbuat demikian. Hari terasa kelam walau mentari masih bersinar.

Berbagai cara untuk menghebahkan bahawa Nia Ayuni yang berusia sembilan bulan itu memerlukan penderma hati secepat mungkin telah Azmi lakukan. Namun hampa. Masih tiada penderma hati yang ditemui buat anaknya. Nurul merupakan sebatang kara. Sedangkan Azmi pula, saudara-maranya telah lama berhijrah ke luar negara dan tidak dapat dihubungi. Bagai jatuh ditimpa tangga, Azmi hanya mampu berharap ada insan lain yang dapat membantunya.

Kini, sudah masuk minggu ketiga Nia Ayuni ditempatkan di dalam wad. Beberapa hari lepas, beberapa orang pemuda dan wanita telah tampil membuat ujian kesesuaian hati mereka untuk didermakan kepada Nia Ayuni. Azmi sangat-sangat berterima kasih kepada mereka walaupun keputusan ujian itu belum dikeluarkan. Azmi memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana masih ada insan-insan yang bersimpati dengan anaknya.

bersambung....

Wednesday, May 06, 2009

suatu hakikat

Pandangan tajam matanya membuatkan aku menjadi tidak keruan. Bukan pandangan dengan kasih sayang, tetapi itu adalah pandangan penuh amarah dan kebencian. ”Apa salahku Fikri?” aku bertanya kepadanya. Tiada jawapan. Berkali-kali juga ku menulis warkah untuknya, namun hampa yang ku terima. Tiada balasan. Apakah salahku? Apa yang telah aku lakukan sehingga dia melayanku dengan sebegini? Farhana tertanya-tanya sendiri.

Seminggu sudah berlaku. Kelakuan Fikri berubah sama sekali. Farhana amat berkecil hati. Masakan tidak, mereka merupakan teman baik dari tingkatan satu. Juga kebetulan berpindah ke sekolah yang sama selepas tamat tingkatan dua. Kini mereka ditingkatan lima. Makin terasa hati bila Fikri melayan teman-teman yang lain dengan baik, tetapi tidak Farhana.

”Segak hari ini,” Farhana tersenyum dan cuba menegur Fikri seperti biasa apabila Fikri sampai ke kelas pada awal pagi. ’Aku hari-hari memang handsome’, selalunya itu jawapan Fikri, tapi Fikri hanya membisu. Farhana tidak berpuas hati. Dia melangkah hampir ke meja Fikri, lambat-lambat. Bimbang ada mata-mata yang melihat dan mulut menyebarkan gosip liar antara dia dan Fikri. Lantaklah, Fikri teman baikku. Bisik hati kecilnya.

”Fikri, kau kenapa? Kau marahkan akukah?” Fikri membelek-belek buku latihan, tidak menghiraukan kewujudan Farhana. Sebak. Farhana rasa mahu menangis.
”Janganlah buat aku macam ni,” nada Farhana makin mendatar. Ingin sahaja dia menggoncangkan bahu lelaki itu supaya lelaki itu memandangnya. Tetapi memandangkan mereka bukan mahram, maka Farhana hanya mampu berdiri kaku.
”Fik, aku minta maaf kalau aku ada buat salah,” sambung Farhana dan tanpa membuang masa, dia beredar dari situ.

Ada sesuatu yang dirasakan tidak kena. Sudah masuk minggu kedua. Syazwani teman meja sebelah kanan Farhana berkelakuan yang meragukan Farhana. Teman-teman baik Farhana turut tidak menghiraukan Farhana. Aizuddin, Azam dan Naim bercakap sesuatu tentang Farhana. Farhana pura-pura tidak dengar, tidak peduli. Farhana tidak mampu memandang sesiapa lagi. Sudahlah terasa kehilangan Fikri, satu-satunya kawan lelaki yang paling rapat dengannya. Kini teman-teman baik dan teman sekelasnya turut memulaukannya.

Farhana mula berprasangka terhadap Syazwani. Syazwani baru beberapa bulan berpindah ke sekolah ini. Farhana melayannya dengan baik. Aku tak ada buat salah dengan Syazwani, apa yang dia tidak berpuas hati denganku? Farhana keliru. Shahidah, Azila, Nurul, Abidah dan pelajar-pelajar berulang pula semakin rapat dengan Syazwani. Sedangkan sebelum ini semasa awal-awal Syazwani masuk ke kelas, mereka tidak gemar Farhana terlalu baik dengan Syazwani.

Fazilah memanggil Farhana, ada sesuatu yang ingin dibicarakan. Seperti perkara yang sangat penting. Farhana semakin bingung. Fazilah bukanlah teman yang rapat dengannya walaupun mereka sama-sama tinggal di asrama. ”Kita jumpa di belakang kelas waktu rehat nanti,” bisik Fazilah. Farhana hanya mengangguk-angguk, tanda faham.

Fazilah menunggu Farhana di tempat yang dijanjikan. Rosemuliana, teman baik Fazilah juga turut serta. ”Erm.. kenapa ya?” Farhana memulakan bicara. Rupanya perkara itulah penyebabnya. Penyebab kepada layanan Fikri yang kurang mesra dan penyebab kepada perubahan sikap teman-teman baiknya. Rosemuliana menceritakan tentang apa yang dilakukan Syazwani termasuklah SMS yang ramai pelajar terima, kecuali Farhana. SMS yang ’kurang sopan’ itu sebenarnya dikirimkan Syazwani.

Bagaimana dia tahu? Kata Rose, hanya dia tahu Syazwani ada membeli sim card baru dan Syazwani meminta Rose merahsiakannya. SMS itu menimbulkan kemarahan teman-teman sekelas. Mereka tidak dapat mencari siapa pengirimnya, Rose tidak berani bersuara. Syazwani pula seolah-olah meneka Farhanalah orangnya, dan semua ’bersetuju’ dengan jawapan Syazwani. Kebetulan dan satu mata untuk Syazwani, pada waktu itu Farhana tidak hadir ke sekolah selama dua hari.

Fazilah seterusnya memberitahu tentang apa yang didengarnya melalui perbualan Fikri dan Syazwani di luar kelas beberapa minggu lalu. Syazwani memberitahu Fikri yang Farhana mencemburui dan memarahi Syazwani kerana berkawan dengan Fikri. Tambahnya lagi, Farhana turut mengatakan yang Syazwani merampas Fikri daripadanya.
Sedangkan semua itu nyata bertentangan dengan apa yang berlaku sebenarnya.

Ya Allah..! Sakitnya hati apabila menhetahui itu penyebabnya. Farhana semakin pasti dengan prasangkanya terhadap Syazwani. Merampas? Farhana tidak pernah mempunyai fikiran sedemikian, apa lagi Farhana yang memberikan Syazwani nombor telefon Fikri untuk merapatkan hubungan mereka. Ia juga adalah permintaan Syazwani sendiri memandangkan Farhana dan Fikri sememangnya berkawan baik. Jari jemari Farhana digenggam, geram bila dikhianati dan difitnah sebegitu. Satu tumbukan geram dihalakan ke dinding bangunan. Mahu sahaja dicarinya Syazwani dengan segera, tapi dia masih mampu berfikiran waras. Sabar!. Terima kasih kepada Fazilah dan Rosemuliana yang masih sudi mempercayai bahawa bukan aku yang melakukan semua itu.

Tiba-tiba Syazwani datang ke tempat Farhana, Rosemuliana dan Fazilah sedang berbincang. Dari mana dia muncul? Kenapa dia datang?
”Apa yang kau dah buat dekat aku?” tanya Syazwani. Sepatutnya aku yang bertanya kepada dia soalan itu!. Jerit hati Farhana.
”Apa yang aku dah buat dekat engkau?!” Farhana terlupa untuk bercakap lembut. Sedang dia melepaskan amarah yang membara, muncul pula orang yang menyebabkan dia menjadi sedemikian. Memang layaklah untuk menerima tempiasnya.
”Sorry.. Apa yang aku dah buat dekat engkau?” soal Farhana sekali lagi dengan intonasi yang berbeza dari kali pertama tadi.

”Buat-buat tanya pula. Kau tak puas hati apa dengan aku?” tanya Syazwani. Ah, bermuka kesian pula dia, getus Farhana di dalam diam.
”Apa yang kau tak puas hati dengan aku?” soalan yang hampir sama ditanya kembali oleh Farhana kepada Syazwani. Masih berlembut.
”Kenapa tak jawab soalan aku?!” Syazwani sudah menunjukkan belang. Farhana hanya mendiamkan diri. Malas melayan. ’Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu’. ”Kenapa tak jawab? Takut?” Syazwani menyambung kata. Farhana hanya memandangnya dengan senyuman.

’Dalam sungai ada perahu, dalam perahu ada gula, sedangkan sendiri sudah tahu, pura-pura bertanya pula’, Farhana menjawab di dalam hati sambil mereka pantun empat kerat yang baru. Tak ada masa untuk takut. Malas. Malas menjawab. Malas menjawab soalan orang yang bertanya padahal jawapan ada padanya. Untuk apa bersusah memberikan dia jawapan? Farhana hanya menjawabnya dengan ketawa kecil. Sinis.
”Siapa yang tidak berpuas hati dengan siapa?” Farhana bertanya.
”Malas aku cakap dengan engkau,” balas Syazwani dan terus berlalu pergi. Fazilah awal-lagi lagi sudah menghilangkan diri. Ah, kenapa takut untuk mendedahkan kebenaran?

Farhana dan Rosemuliana melangkah masuk mengambil tempat di dalam kelas, Farhana duduk di sebelah Syazwani. Terpaksa. Itulah tempatnya. Langsung tidak dia memandang ke arah Syazwani. Mujurlah dia mula menyedari sesuatu yang ’aneh’ tentang Syazwani sebelum ini. Patutkah sim card Syazwani itu dikatakan hilang dan telah diambil oleh aku, sedangkan mahu menyentuh meja dan barangannya sudah menimbulkan rasa jengkel dihati?

Bagus juga Farhana tidak pernah lagi menyentuh Syazwani dan segala yang dimiliki Syazwani termasuk buku dan kertas jawapan sebelum perkara ini berlaku, itu merupakan satu bukti bahawa Farhana sesekali tidak boleh dilibatkan dalam kes sim card yang kononnya dikatakan hilang itu.

”Faradila, boleh kita berbual sekejap?” soal Farhana kepada Faradila seraya menarik tangan Faradila keluar dari kelas semula. Biarpun Faradila turut percaya kepada Syazwani, tapi Farhana tidak mempedulikan perkara itu. Faradila terlalu disayangi dan dia harus mengetahui kedudukan yang sebenar.

Farhana menceritakan kepada Faradila sambil menangis teresak-esak. Faradila meminta maaf kerana baru tersedar selama ini dia tertipu dengan lakonan Syazwani yang begitu mantap. Barangkali wajar untuk menerima anugerah pelakon terbaik bagi tahun ini.
”Tak ada sesiapa percayakan aku,” ujar Farhana dalam tangis.
”Aku ada. Yang lain pun ada. Mereka cuma tidak tahu perkara yang sebenar. Percayalah, selepas ini segalanya akan kembali seperti biasa,” janji Faradila. Faradila memeluk Farhana sekuat hati. Dia berjanji tidak akan terpengaruh dan ’kehilangan’ Farhana lagi. Farhana terharu.

Adibah meminta izin untuk bertukar tempat dengan Farhana untuk seketika. Tempat Adibah yang sebenar adalah di depan, sedangkan Farhana sentiasa tempat duduknya di belakang sekali. Farhana hanya mengangguk dan duduk di tempat Adibah, bersebelahan Nabila. Sebelah Nabila pula adalah Rosemuliana. Farhana masih tidak bercakap dengan sesiapa. Tangannya ligat melakarkan sesuatu pada buku contengnya. Begitulah tabiatnya bila ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Entah apa yang dilakarkan, Farhana sendiri tidak tahu.

Syafawati menarik kerusi dan duduk berhadapan dengan Farhana. Farhana tidak mengangkat mukanya. Dia tahu itu adalah Syafawati dari gaya dan suara Syafawati. Syafawati menghalang pergerakan pen Farhana. Farhana tetap tidak mengubah posisi. Ada sesuatu yang Syafawati ingin katakan. Syafawati juga merupakan teman dari sekolah lama yang turut berpindah ke sekolah yang sama dengannya. Mereka bertiga masih bersama. Syafawati, Farhana dan Fikri.

”Lukis apa tu?” soal Syafawati, berbahasa. Farhana tahu apa sebenarnya yang ingin Syafawati katakan padanya. Masa dan tempoh perkenalan mereka cukup untuk Farhana mengenali hati budi Syafawati.
”Kau percaya pada siapa?” tanpa menjawab soalan Syafawati itu, Farhana bertanya. Farhana juga pelik kebelakangan ini hubungannya dengan Syafawati terlalu dingin. Namun itu bukan lagi persoalan yang bermain dimindanya kerana jawapan sudah diperolehi. Aku sukakan Naim, teman lelaki Syafawati? Itulah yang sampai ke telinga Syafawati dan penyebarnya..? Hah, Syazwani itu bukannya tak ada kerja, tapi buat kerja gila!.

”Aku kurang percaya pada apa yang aku dengar,” balas Syafawati. ”Tapi kau tetap percayakan dia sebelum ini hinggakan aku kau tidak peduli. Dan kau tidak mahu bertanya padaku sendiri. Aku temanmu Sya. Berapa lama aku dan kau berkawan? Lima tahun. Berapa lama pula kita mengenali Syazwani? Dua bulan. Kau juga langsung tidak mahu bertegur sapa denganku sepanjang tempoh itu. Kau menghukumku. Kau mendera perasaan sahabatmu sendiri, Sya. Fikri juga begitu. Aku sangat terkilan. Kenapa kalian percayakan orang lain lebih dari kawan sendiri? Mujur aku agak rapat dengan teman berulang. Tapi mereka juga seolah-olah menyisihkanku. Fahamkah kau perasaanku disaat itu?” Jelas berbaur kekecewaan dari nada suara Farhana. Air matanya mengalir kembali, segera dikesat.

Sememangnya Farhana terlalu kecewa dengan apa yang berlaku. ”Siapa yang aku ada? Fazilah, Rose dan Nabila pula yang menyokongku, mempercayaiku. Kau tahu bagaimana perasaanku? Sedangkan kita dan mereka jarang bersependapat selama ini? Di mana kau, di mana teman-teman yang lain disaat aku memerlukan kalian?” sambung Farhana sambil mendongakkan kepalanya memandang Syafawati. Nabila dan Rosemuliana tidak masuk campur. Mereka lebih mengetahui apa yang berlaku. Pelik kan? Farhana pula agak rapat dengan mereka baru-baru ini. Bukanlah selama ini mereka bermasam muka, cuma kurang rapat.

”Ustaz, saya tak tahan lagi,” Farhana bercakap perlahan dengan Ustaz Halim. Dahulu dia pernah mengadu masalahnya kepada guru itu. Dia juga senang begitu.
”Ustaz tahu pasal tu,” balas Ustaz Halim tanpa Farhana memulakan ceritanya. Farhana memandang Ustaz Halim. Kenapa ustaz seperti pura-pura tak tahu? Berapa lama nama baikku tercemar? Adik-adik junior juga menyalahkanku, membela Syazwani. Farhana hanya bersuara di dalam hati, kurang berpuas hati.

Farhana menceritakan tentang masalahnya dengan Fikri yang masih belum selesai. Fikri tidak melayannya dengan baik.
”Kamu suka diakah?” Ustaz bertanya sambil tersenyum. Sengaja menduga. Ustaz bukannya tidak tahu Farhana dan Fikri adalah kawan lama yang baik.
”Sukalah. Kawan, kan?” jawab Farhana, selamba.

’Kamu tak suka siapa-siapakah?’, soalan itu pernah ditanya Ustaz Halim dua tahun yang lalu dan jawapannya juga telah diberi. Banyak juga Farhana kongsikan dengan guru itu, rapat seperti abang dan adik.
”Ustaz dah cakap dengan budak-budak lelaki. Mereka dah tahu hal sebenar termasuklah SMS dan lain-lain. Tentang itu jangan risau. Fikri pula, nanti ustaz akan cakap dengan dia sendiri,” balas Ustaz Halim.

”Farhana, aku minta maaf,” ujar Zahida sambil menghulurkan tangan, bersalaman dengan Farhana. Mariah, Azila dan lain-lain juga melakukan perkara yang sama seperti Zahida. Farhana hanya mengangguk, tidak mampu untuk bersuara.
”Sorry, aku betul-betul ingat engkau yang hantar SMS tu dekat aku,” kata Abidah.
”Tak guna betul!” marah Abidah lagi yang agak terkenal dengan mulut laser.
”Hmm... Tak apalah,” balas Farhana.

Beberapa hari selepas itu, Ustazah Latifah, warden Asrama Puteri memanggil Syazwani. Ustazah Habsah yang mempunyai sedikit ilmu psikologi turut bersama. Syazwani diberi nasihat dan kaunseling.
”Kamu nak orang buat kamu macam apa yang kamu buat dekat dia?”, ujar ustazah. Farhana agak terkilan kerana lewat guru-guru perempuan bertindak. Tapi, tidak mengapalah kerana akhirnya, Syazwani juga telah mengaku kesalahan sendiri. Farhana seperti kebiasaan, membalasnya dengan senyuman..

Lakukan kepada manusia apa yang anda mahu mereka lakukan kepada anda dan jangan lakukan kepada mereka apa yang anda tidak mahu mereka lakukan kepada anda. Inilah hakikat sebuah perjalanan kehidupan. Dalam perjalanan ini kita akan temui siapa sebenarnya teman, siapa sebenarnya sahabat. Berkatalah yang benar walaupun ianya pahit kerana bila terbuktinya kebenaran, kebatilan akan terhapus jua. Terima kasih padaMu Tuhan.

-nurfatimahz AKA puteri, USIM-

Friday, July 04, 2008

akukah yang terlewat?


Zaman persekolahan aku memang cukup gemilang. Maklum le aku ni kira popular gak masa tuh Best student aku, sportman aku..di tambah lagi Dengan kemachoan aku nih, aku bukan perasan Tapi kenyataan. he..he..he..jangan mare.

So masa tu peminat aku cukup ramai boleh kata Everyday ada ajele posmen yang tak bergaji yang Datang hantar surat kat aku, bangganya aku. Tapi tu lah manusia ni pantang ada kelebihan.. Mesti riak punya ..termasuk le aku. Aku cukup gah masa tu hinggalah pada suatu hari, "Selamat pagi semua ni cikgu kenalkan S kawan baru kamu. S sila ambil tempat duduk di sebelah Jay." Masa tuh macam nak pengsan aku, yelah Ustazah mana lak nih duduk sebelah aku..boringnya...

Masa tu lah member-member sakan dok kutuk aku. "Tak lama lagi mesti jadi ustaz," kata diorang..tension aku Aku pun heran gak dengan S ni apasal le dok nak tutup sangat padahal bebudak pompuan kat kelas aku semua brutal.. Satu hari tuh pasal dah tension sangat dengan kutukan kengkawan aku terus direct to point S.."Besok jangan pakai tudung tau.Kalau pakai gak jangan dok sebelah aku Faham!!!" ( terukkan aku masa tuh)

Tapi S tetap S langsung tak goyah dengan ugutan aku. Esoknya dia tetap bertudung tapi tak duduk sebelah aku. Dia tukar tempat dengan Fauzi. "Tak baik kau buat dia cam tu." kata Fauzi..."Apa salah dia bertudung" ..aku diam aje. Tapi hati aku puas. Persekolah berjalan seperti biasa dan keputusan peperiksaan penggal pertama telah pun di ketahui. Aku tewas di tangan S cis!! Balik-balik pompuan nih. Sakit betul hati aku nih.

Member sekelas lak asyik dok puji dia je. Geramnya aku. Kehadirannya membawa perubahan dalam kelas. Ye lah. Dulu semua orang puji aku tapi sekarang tak lagi. Sikit-sikit S menyampah aku. So untuk mengembalikan zaman kegemilangan aku, aku mesti singkirkan S dari SMMA. yeah..itu janji aku..

KEEGOAN ITU MENJADIKAN AKU MANUSIA KEJAM !!!!!

Dah macam-macam aku buat untuk sakitkan hati dia. Tapi dia tetap tak marah sebaliknya aku pulak yang sakit hati. Kenapalah.. Kat sekolah aku pulak ada sorang cikgu Andartu. Dia cukup anti dengan pelajar pompuan tapi paling sayang kat student lelaki terutamanya aku le he..he..he.

So kesempatan ini le yang aku ambil. 25 oct masa break time aku tak keluar. Fauzi tanya gak apasal tapi aku kata perut aku meragam. Bila line clear aku pun apalagi selongkar le bag pompuan tuh. Jumpa pun. Sehelai demi sehelai homework yang cikgu K bagi aku koyak. Puas hati aku. Lepas tu aku terus gi canteen soru. Fauzi lak tercengang-cengang pandang aku.

After break kelas cikgu K pun bermula apalagi macam biasa. First thing mesti tanya fasal homework punya. Aku pun senyum sampai telinga, sedangkan S aku tengok muka dah lain macam sebab homework dia dah missing. Hari tuh S kena marah teruk dengan Miss K dan petang tu dikenakan kelas tahanan. "Engkau cakap betul-betul Jay ni semua kerja engkau kan?"

Alamak budak Fauzi ni buat aku tension betul. "Habis tu engkau nak ngadu le nak jadi peguam bela?" " "Tak le tapi tak baik kau buat camtu... apa salah budak S tu pada kau?" Aku diam, entahlah yang pasti hati aku puas. Aku makin bersemangat buli S tambah lagi dengan sokongan Dari kenkawan aku Mizi,Lan,Joe termasuklah Miss K..

One day aku cakap kat Lan aku tringin sangat nak tengok rambut S..dia tu botak kut sebab tu pakai tudung kata aku. So aku pun atur strategi. Petang tu masa loceng balik bunyi Mizi buat-buat terlangar S. Masa S sibuk kutip buku dia tu le.. Aku ngan Lan datang dari belakang terus tarik tudung dia. Merah padam muka S aku tengok apalagi aku ngan geng ketawa sakan. Cuma Fauzi je aku tengok tak gelak.

Esoknya S tak datang. Gembiranya aku tak terkira. "Jay, engkau tak rasa apa-apa ke?" "Eh, apasal lak ngan budak Fauzi ni.." "Ye lah lepas apa kau buat kat dia semalam.. Ini soal maruah Jay dia tu pompuan malu dia kau buat cam tu" Terdiam aku, kadang-kadang aku heran gak dalam ramai geng aku ni, cuma Fauzi je yang selalu tegur perangai aku. Sejak hari tuh hubungan aku ngan Fauzi makin renggang. Alah aku pun tak kisah aku kan ramai kawan. Mak bapak aku pun tak pernah kisah apa aku buat. So go to hell lah ngan budak Fauzi tu.

SESUNGGUHNYA KEJAHILAN ITU BAGIKU SATU KERUGIAN !!!

Tanpa Fauzi kegiatan aku semakin galak. Petang tu masa balik aku nampak S so idea cangih aku pun berjalan macam biasa. Aku pulas minyak motor sekuat hati pas tu aku jeling Lan yang dok membonceng motor. Lan bagi isyarat OK so aku pecut motor. Lan dengan pantas menarik bag S pas tu campak dalam longkang. Gelihati aku bila tengok S menangis. Hari tuh aku pulang dengan hati yang cukup puas...aku rasa esok mesti S tak gi sekolah.

Esoknya aku bukan main seronok lagi sebab tak nampak kelibat S, ni mesti tak datang le. Tapi sangkaan aku meleset sebab S ada. Cuma dia lewat sebab bas rosak ahh boringnya aku. Pagi Sabtu perut aku sakit betul dah banyak kali aku muntah-muntah. Aku cakap kat mama dan papa. Mama suruh gi klinik siap bagi duit lagi.

Terkedu aku..aku kata tak larat nak gi sorang, pas tu papa lak cakap, "Makan panadol dulu kalau dah reda nanti baru gi klinik. Mama ngan Papa sibuk." Dah dekat pukul sebelas tak ada tanda pun yang sakit aku nak reda. Aku dail no phone Lan dia tak de, Mizi ngan Joe lak ada hal, so aku tak ada pilihan aku terus dail no Fauzi, nasib aku baik Fauzi ada rumah.

Masa tu aku dah tak larat lagi dah, aku cuma sempat cakap, "Tolong aku Jie, aku dah tak tahan sakit nih." Sedar-sedar aku dah ada kat Hospital. Fauzi ada kat situ so aku tahu dia yang hantar aku. "Kenapa sampai jadi camni Jay? Kenapa tak suruh mama ngan papa kau bawa gi klinik???" Tanya Fauzi. Masa tu airmata aku dah mula mengalir, aku peluk Fauzi.. "Jie kadang-kadang aku rasa aku ni dah macam anak yatim. Diaorang tak kisah kat aku langsung. Mama ngan papa aku sibuk cari duit, duit, duit.

Selama ni pun makan pakai aku semua aku buat sendiri, mereka cuma tau bagi duit je." 3 hari di hoepital, Fauzilah pengunjung setia aku. Masa tu aku dapat rasakan cuma Fauzi aje yang ambil berat fasal aku. "Jie, aku mintak maaf selama ni aku selalu marah kat engkau, sekarang ni baru aku tahu kaulah kawan aku yang terbaik." Fauzi senyum. "Sudahlah Jay aku pun dah lupa semua tu."

SPM makin hampir, sejak keluar hospital aku makin rapat dengan Fauzi. Kami belajar bersama untuk menghadapi SPM. Kegiatan liar aku pun macam dah pupus, mungkin sibuk buat persiapan SPM ataupun dah taubat, macam geng-geng aku cakap. Entahlah yang pasti aku tak akan ulangi kesilapan itu lagi. Result SPM akan di umumkan esok..aku call Fauzi suruh tunggu maklum le Aku dari KL mungkin lambat sikit...dari jauh aku nampak Fauzi senyum kat aku.

"Alhamdulillah kita berjaya Jay." Bersyukur aku kerana keputusan aku cukup cemerlang. "Jay ini ada surat untuk kau dari S." "Assalamualaikum Jay, terimakasih S ucapkan kerana tanpa Jay mungkin S tak akan dapat keputusan sebaik ini, kerana sikap Jaylah S berusaha untuk berjaya. Terimakasih sekali lagi. S janji selepas ni Jay tak akan jumpa S lagi. Itu janji S dan S akan tunaikan inshaallah."

Terasa dunia berhenti berputar. Surat S yang ringkas itu meruntuhkan tembok keegoanku..menyesal nya aku kerana perbuatan ku pada S. "Jie kau tahu alamat S ??" "Kenapa ??? Engkau nak buat apa lagi kat budak tu Jay ???" "Aku nak mintak maaf banyak-banyak kat dia."

SESUNGGUHNYA TAKDIR ITU PENENTU SEGALA

Hari tu aku tidur di rumah Fauzi. Aku try call mama & papa tapi entahlah. Kadang-kadang aku ada gak terfikir aku ni bukan anak dia orang kot??? Selepas kenduri kesyukuran kat rumah Fauzi aku balik KL malam tu aku tunggu mama & papa balik pukul 11.00 lebih baru dia orang sampai. Mama tanya, "Kenapa tak tidur lagi ??" Aku kata, "Tunggu papa & mama balik."

Kenapa???" Tanya papa. Terkedu aku. Langsung dia orang tak tanya tentang result aku, so aku pun dah tak de hati nak bagi tau. Aku dah buat keputusan untuk keluar negara, biarlah, mungkin itu lebih baik buat aku. Fauzi lak still nak stay kat M'sia, so dia masuk USM. Aku lak terima offer untuk ke Jepun..bila aku cakap pada mama & papa dia orang cam biasa. No komen. Lebih-lebih kata akan masukkan duit kat akaun aku je. Masa kat airport, cuma Fauzi ngan Abah dia aje yang hantar aku. Papa & mama outstation. Aku pun dah tak kisah sangat, janji Fauzi ada untuk hantar aku.

Aku masih ingat pesan Fauzi kat aku.. "Jay, walau apapun yang kau buat kau kena ingat kau masih ada family dan aku kat sini. Walaupun famili kau tak take care kat kau jangan sampai kau jadi anak derhaka, kau kena ingat tu.. Sembahyang jangan tinggal." "Ya..aku akan ingat semua tu." Hampir 6 bulan aku di Jepun dan hampir setiap minggu jugak aku akan hantar surat kat Fauzi & S, tapi cuma Fauzi je yang balas surat aku..S.. Ahh..mungkin dia masih marah pada ku.

Kadang-kadang tu ada gak aku hantar surat kat mama, cerita tentang keadaan aku kat sini, tapi mama tak balas pun surat aku, call pun tak. Akhirnya aku dapat jugak balasan dari S walau pun ringkas tapi aku cukup puas, sekurang-kurangnya dia telah maafkan aku. Sedih aku dengar ayah S meninggal dalam kemalangan. So dia terpaksa bekerja untuk menyara adiknya. 3 tahun di Jepun. Cuma surat-surat Fauzi & S menjadi teman setia ku..

Tahun ni final semester untuk Fauzi, aku harap dia akan berjaya. S lak dah naik pangkat dan bertukar ke JB. Sejak tu surat S untuk aku makin kurang, aku menjadi seorang perindu... rindu pada bicara S... rindu pada segala-gala yang ada padanya..ahhh jatuh cinta ke aku??? Tapi itu semua aku pendamkan, inshaallah satu hari aku akan jadikan S milikku...pada Fauzi pun tak pernah aku ceritakan soal hatiku ini, malu lak sebab jatuh hati pada perempuan yang paling aku benci dulu..

Tapi aku tahu Fauzi tak mungkin mentertawakan aku, aku cukup kenal dengan Fauzi. Alhamdulillah aku berjaya juga akhirnya..aku call Fauzi, dia cukup gembira, pas tu dia tanya aku bila nak balik??? Aku diam.. entahlah. Sebab aku rasa aku nak bekerja dulu setahun dua kat sini. "Dah 5 tahun kau tak balik Jay, kau tak rindukan aku ke???" "Aku rindu kat kau lah. Jie, aku akan balik. Masa tu nanti aku nak bagi kejutan kat engkau!!!"

Aku diterima bekerja di head off Com. Aku sekarang seronok gak bekerja dengan orang Jepun ni. Lepas setahun aku ambil keputusan untuk kembali ke M'sia aku nak jumpa Fauzi, pas tu nak suprisekan dia tentang hasrat aku, kat S.. sebulan sebelum pulang aku call Fauzi aku kata nak gi melancung dulu sebelum balik...so Fauzi tak payah tulis surat atau call aku.

24 Dis aku menjejakkan kaki ke bumi M'sia... hampir 7 tahun aku di Jepun terlalu banyak yang berubah, aku terus pulang ke rumah.. Mama terkejut nampak aku... mama peluk aku. "Jay mama rindu kat Jay" Aku senyum, aku rasa cukup bahagia. Malam tu kami makan bersama, bercerita, ketawa. Aku rasa malam tu masa terlalu cepat berlalu. Aku bagitau mama & papa tentang hasrat aku untuk melamar S.. mereka setuju asalkan aku bahagia kata papa..aku peluk papa.

25 Dis hari lahir aku dan Fauzi. Aku nak buat kejutan selepas solat subuh aku bertolak ke kampung Fauzi. Sampai je kat rumah Fauzi aku tengok ramai betul orang pas tu terdengar paluan kompang. "ehhh...sapa lak yang kahwin, tak kan Fauzi kot???" Langkah kaki ku terhenti aku terpaku melihat pasangan mempelai dipelamin.. Fauzi dan SSSS... tapi kenapa??? Selama ni Fauzi tak pernah cerita kat aku apa-apa.

"Jay bila balik ???" Terasa bahu ku di tepuk. "Semalam Pak Man.." "Syukurlah kau dah balik.. dah puas si Fauzi tu telepon & hantar surat kat kau tapi tak dapat... macam mana dengan pilihan Pak Man Jay??".. aku terkedu "Pilihan Pak Man ???" "Yelah.. kalau nak tumggu si Fauzi tu jawabnya tak bercucu le Pak Man ni." Ketawa Pak Man hampir membuat kolam airmataku melimpah..tak, aku tak patut menangis.

Semuanya salah aku juga tak berterus-terang dan sekarang semuanya telah terlewat. Aku terus mendapatkan Fauzi. Fauzi peluk aku. "Jay aku rindu sangat kat engkau." "Aku pun sama Jie..taniah dan selamat hari lahir."

Aku kembali ke KL, aku cakap pada papa aku nak gi Jepun balik. Mama terkejut.. "Kenapa Jay??? Jay masih marahkan kami lagi???" "Tak ma, Jay nak kerja kat sana dulu bila dah puas nanti Jay balik lah." Papa angguk..mama lak dah mula menangis. Aku pujuk mama. 1 Jan aku berlepas ke Tokyo. Cuma mama & papa yang hantar aku. Aku tak bagi tau Fauzi sebab tak nak mood honeymoon dia hilang.

Seminggu lepas tu baru aku call Fauzi, terkejut dia.. "Tapi kenapa Jay???" "Saja nak cari pengalaman." Itu saja jawapan yang mampu aku beri. 2 tahun di head off aku minta di tukarkan ke M'sia. Alhamdullilah permohonan aku diterima. Berita gembira ini aku sampaikan pada mama & papa. Pada Fauzi..aku nak suprisekan dia. Aku tempah sepasang jam tangan untuk hari lahir aku & Fauzi nanti. Buat S aku belikan kimono sutera berwarna putih, dan buat bakal anak angkat ku macam-macam aku belikan.

Tak sabar rasa aku nak balik. Seminggu sebelum balik Fauzi call aku.. "Jay balik lah aku rindu sangat kat kau, aku teringin nak tengok kau." Aku ketawa.. "Yelah nanti aku balik tapi tak tahu bila.." "Balik le Jay aku nak tengok kau sangat-sangat."

25 Dis aku bersama papa & mama ke rumah Fauzi. Hari tu hari Jumaat so aku singgah untuk solat Jumaat. Pukul 4.20pm aku sampai ke kampung Fauzi, heran aku ramai betul orang, tapi kali ni keadaannya lain, kalau dulu aku disambut dengan paluan kompang tapi kali ni tak. Hati aku mula terasa sesuatu. Aku mencari-cari kelibat Fauzi tapi tak ada. Aku naik ke atas aku nampak sepasang mayat terbujur, kaki aku longlai aku menangis aku peluk Mama..

"Ma, Jay dah kehilangan mereka ma..kenapa Jay selalu terlewat??? Kenapa ma?" Papa pujuk aku, "Sabar Jay, bawa bertenang nak." Pak Man muncul. "Jay sudahlah nak tak baik macam ni. Fauzi kemalangan sewaktu nak ambil mayat S.. S meninggal selepas bersalin." Hadiah di tangan ku bertaburan di lantai. Pemergian Fauzi & S benar-benar memberi kesan pada aku...

Esoknya aku ke hospital. S melahirkan sepasang kembar yang comel..aku dakap kedua-dua bayi itu airmataku mengalir lagi "Jie, S, anak kamu berdua comel betul." Aku minta izin Pak Man untuk menjaga mereka. Walaupun keberatan akhirnya Pak Man akur setelah aku berjanji tak akan mensia-siakan mereka. Benih kasih Fauzi & S kuberi nama Muhammad & Siti Aisha. mama pun dah tak kerja sibuk nak jaga cucu.. aku cukup bahagia.

Kini si kembar ku dah pun berusia 3 tahun ++. Setiap kali terpandang mereka aku pasti terkenangkan dua orang sahabatku yang paling aku kasihi dan setiap kali aku menziarahi pusara mereka pasti si kembar ku bertanya, "Kenapa ibu & ayah abang duduk kat dalam ni Abah???" Hati aku cukup sedih, biarlah satu hari nanti mereka akan mengerti. Aku lak sampai sekarang still sorang, biarlah demi amanah ini. Sesungguhnya aku terlalu sayangkan mereka berdua...

*******************************************
cerpen yang saya suka... entah di mana saya pernah mengambilnya 3-4 tahun dahulu.