© Hakcipta adalah terpelihara.

Friday, July 17, 2009

nia ayuni - part 2

Sambungan Nia Ayuni - Part 1

Nia Ayuni makin tenat. Semakin banyak wayar dan suntikan ke atasnya dilakukan pihak hospital. Azmi dan Nurul tidak putus-putus berdoa ada hati diantara mereka yang hadir ke ujian kesesuaian hati minggu lepas sesuai untuk Nia Ayuni. Resah kian merajai hati Azmi dan Nurul. Mereka sangat berharap pemindahan hati dapat dijalankan secepat mungkin. Wang sudah mencukupi untuk pembiayaan pembedahan Nia Ayuni, hanya menunggu hati yang sesuai sahaja.

Keputusan ujian akhirnya dikeluarkan oleh pihak Hospital Selayang. Hati Amir Sufi sesuai buat Nia Ayuni. Alhamdulillah, doa Azmi dan Nurul telah dimakbulkan Tuhan. Setelah prosuder dan kelengkapan untuk proses pembedahan disediakan, Amir Sufi dan Nia Ayuni dibawa masuk ke bilik pembedahan. Azmi dan Nurul menanti di luar dengan penuh pengharapan agar Nia Ayuni dan Amir Sufi akan selamat.

Di dalam bilik pembedahan, para pembantu perubatan meletakkan katil Nia Ayuni bersebelahan dengan katil Amir Sufi. Sebelum pembedahan dilakukan, alat pengesan denyutan jantung Nia Ayuni tiba-tiba mengeluarkan bunyi dengan kuat. Pembantu perubatan segera mendapatkan alat pengesan denyutan jantung tersebut. Bunyi yang keluar sebentar tadi telah berhenti, bacaannya juga berhenti, sama terhentinya dengan denyutan jantung Nia Ayuni.

Doktor Yusri yang mengetuai pembedahan itu tadi keluar untuk memaklumkan keadaan Nia Ayuni. Azmi dan Nurul bingkas bangun dari kerusi yang mereka duduki dan mendapatkan Doktor Yusri. Apa yang berlaku? Pembedahan telah selesai? Mengapa begitu cepat? Doktor Yusri meminta supaya Azmi dan Nurul bertenang dan kemudiannya meminta maaf kerana tidak sempat menjalankan pembedahan ke atas Nia Ayuni.

Terasa nyawa direntap dengan kuat, Nurul hampir terjatuh mendengar butir bicara Doktor Yusri. Mujur Azmi sempat memautnya. Anak mereka tidak berjaya diselamatkan. Nia Ayuni telah tiada. Nia Ayuni telah mati. Nia Ayuni telah pergi. Nurul menangis teresak-esak. Nurul menyalahkan dirinya. Azmi memeluknya dan memberi semangat. Mereka perlu redha pada ketentuan takdir yang telah ditetapkan. Nurul akhirnya menyedari, Nia Ayuni itu pinjaman dari Tuhan yang pastinya perlu dipulangkan.

Sewaktu Azmi menemani rakannya untuk mengambil ubat dari hospital, ada seorang pemuda datang menghampirinya dengan tergesa-gesa. Pada telahannya, pemuda itu lebih muda daripadanya. Pemuda itu merayu kepadanya dan beberapa orang lain yang berhampiran dengannya untuk menjalankan ujian pemeriksaan hati. Pemuda itu mahu mendapatkan hati yang sesuai untuk abang tirinya yang sedang tenat di bilik rawatan.

“Abang, tolonglah abang saya. Dia sangat perlukan penderma hati. Abang saya Adam sakit tenat. Tolonglah abang. Tolonglah kakak. Kami tak ada sesiapa lagi untuk meminta tolong. Tolonglah saya,” Rayu pemuda itu dalam tangisan. Bila ada seorang lelaki yang sudi mengikutnya untuk berjumpa doktor bagi menjalankan ujian hati, barulah pemuda itu beredar bersama lelaki berkenaan.

Azmi tersedar dari lamunan kisah silamnya suatu masa dahulu. Azmi tercari-cari Amir Sufi. Patutlah Azmi berasa seperti pernah menemui Amir Sufi sebelum ini. Azmi baru teringat bahawa pemuda yang pernah merayu-rayu padanya suatu masa dahulu adalah Amir Sufi. Ya, tidak syak lagi. Azmi dilanda rasa bersalah kerana suatu masa dahulu dia tidak menghiraukan permintaan Amir Sufi.

Dalam tangisan kekesalannya, Azmi lekas mendapatkan Amir Sufi lalu memeluknya yang baru selesai bersalaman dengan Doktor Yusri dan beberapa pembantu perubatan yang lain. Amir Sufi tersentak, namun dia tetap membalas pelukan Azmi. Pasti Azmi begitu kecewa dan bersedih kerana tidak dapat menyelamatkan Nia Ayuni, sangka Amir Sufi yang tidak mengingati dia pernah menemui Azmi semasa abang tirinya, Adam Syauqi tenat menghidap penyakit bengkak hati. Dan Adam Syauqi telah menghembuskan nafasnya yang terakhir..

-Tamat-

No comments: