Pandangan tajam matanya membuatkan aku menjadi tidak keruan. Bukan pandangan dengan kasih sayang, tetapi itu adalah pandangan penuh amarah dan kebencian. ”Apa salahku Fikri?” aku bertanya kepadanya. Tiada jawapan. Berkali-kali juga ku menulis warkah untuknya, namun hampa yang ku terima. Tiada balasan. Apakah salahku? Apa yang telah aku lakukan sehingga dia melayanku dengan sebegini? Farhana tertanya-tanya sendiri.
Seminggu sudah berlaku. Kelakuan Fikri berubah sama sekali. Farhana amat berkecil hati. Masakan tidak, mereka merupakan teman baik dari tingkatan satu. Juga kebetulan berpindah ke sekolah yang sama selepas tamat tingkatan dua. Kini mereka ditingkatan lima. Makin terasa hati bila Fikri melayan teman-teman yang lain dengan baik, tetapi tidak Farhana.
”Segak hari ini,” Farhana tersenyum dan cuba menegur Fikri seperti biasa apabila Fikri sampai ke kelas pada awal pagi. ’Aku hari-hari memang handsome’, selalunya itu jawapan Fikri, tapi Fikri hanya membisu. Farhana tidak berpuas hati. Dia melangkah hampir ke meja Fikri, lambat-lambat. Bimbang ada mata-mata yang melihat dan mulut menyebarkan gosip liar antara dia dan Fikri. Lantaklah, Fikri teman baikku. Bisik hati kecilnya.
”Fikri, kau kenapa? Kau marahkan akukah?” Fikri membelek-belek buku latihan, tidak menghiraukan kewujudan Farhana. Sebak. Farhana rasa mahu menangis.
”Janganlah buat aku macam ni,” nada Farhana makin mendatar. Ingin sahaja dia menggoncangkan bahu lelaki itu supaya lelaki itu memandangnya. Tetapi memandangkan mereka bukan mahram, maka Farhana hanya mampu berdiri kaku.
”Fik, aku minta maaf kalau aku ada buat salah,” sambung Farhana dan tanpa membuang masa, dia beredar dari situ.
Ada sesuatu yang dirasakan tidak kena. Sudah masuk minggu kedua. Syazwani teman meja sebelah kanan Farhana berkelakuan yang meragukan Farhana. Teman-teman baik Farhana turut tidak menghiraukan Farhana. Aizuddin, Azam dan Naim bercakap sesuatu tentang Farhana. Farhana pura-pura tidak dengar, tidak peduli. Farhana tidak mampu memandang sesiapa lagi. Sudahlah terasa kehilangan Fikri, satu-satunya kawan lelaki yang paling rapat dengannya. Kini teman-teman baik dan teman sekelasnya turut memulaukannya.
Farhana mula berprasangka terhadap Syazwani. Syazwani baru beberapa bulan berpindah ke sekolah ini. Farhana melayannya dengan baik. Aku tak ada buat salah dengan Syazwani, apa yang dia tidak berpuas hati denganku? Farhana keliru. Shahidah, Azila, Nurul, Abidah dan pelajar-pelajar berulang pula semakin rapat dengan Syazwani. Sedangkan sebelum ini semasa awal-awal Syazwani masuk ke kelas, mereka tidak gemar Farhana terlalu baik dengan Syazwani.
Fazilah memanggil Farhana, ada sesuatu yang ingin dibicarakan. Seperti perkara yang sangat penting. Farhana semakin bingung. Fazilah bukanlah teman yang rapat dengannya walaupun mereka sama-sama tinggal di asrama. ”Kita jumpa di belakang kelas waktu rehat nanti,” bisik Fazilah. Farhana hanya mengangguk-angguk, tanda faham.
Fazilah menunggu Farhana di tempat yang dijanjikan. Rosemuliana, teman baik Fazilah juga turut serta. ”Erm.. kenapa ya?” Farhana memulakan bicara. Rupanya perkara itulah penyebabnya. Penyebab kepada layanan Fikri yang kurang mesra dan penyebab kepada perubahan sikap teman-teman baiknya. Rosemuliana menceritakan tentang apa yang dilakukan Syazwani termasuklah SMS yang ramai pelajar terima, kecuali Farhana. SMS yang ’kurang sopan’ itu sebenarnya dikirimkan Syazwani.
Bagaimana dia tahu? Kata Rose, hanya dia tahu Syazwani ada membeli sim card baru dan Syazwani meminta Rose merahsiakannya. SMS itu menimbulkan kemarahan teman-teman sekelas. Mereka tidak dapat mencari siapa pengirimnya, Rose tidak berani bersuara. Syazwani pula seolah-olah meneka Farhanalah orangnya, dan semua ’bersetuju’ dengan jawapan Syazwani. Kebetulan dan satu mata untuk Syazwani, pada waktu itu Farhana tidak hadir ke sekolah selama dua hari.
Fazilah seterusnya memberitahu tentang apa yang didengarnya melalui perbualan Fikri dan Syazwani di luar kelas beberapa minggu lalu. Syazwani memberitahu Fikri yang Farhana mencemburui dan memarahi Syazwani kerana berkawan dengan Fikri. Tambahnya lagi, Farhana turut mengatakan yang Syazwani merampas Fikri daripadanya.
Sedangkan semua itu nyata bertentangan dengan apa yang berlaku sebenarnya.
Ya Allah..! Sakitnya hati apabila menhetahui itu penyebabnya. Farhana semakin pasti dengan prasangkanya terhadap Syazwani. Merampas? Farhana tidak pernah mempunyai fikiran sedemikian, apa lagi Farhana yang memberikan Syazwani nombor telefon Fikri untuk merapatkan hubungan mereka. Ia juga adalah permintaan Syazwani sendiri memandangkan Farhana dan Fikri sememangnya berkawan baik. Jari jemari Farhana digenggam, geram bila dikhianati dan difitnah sebegitu. Satu tumbukan geram dihalakan ke dinding bangunan. Mahu sahaja dicarinya Syazwani dengan segera, tapi dia masih mampu berfikiran waras. Sabar!. Terima kasih kepada Fazilah dan Rosemuliana yang masih sudi mempercayai bahawa bukan aku yang melakukan semua itu.
Tiba-tiba Syazwani datang ke tempat Farhana, Rosemuliana dan Fazilah sedang berbincang. Dari mana dia muncul? Kenapa dia datang?
”Apa yang kau dah buat dekat aku?” tanya Syazwani. Sepatutnya aku yang bertanya kepada dia soalan itu!. Jerit hati Farhana.
”Apa yang aku dah buat dekat engkau?!” Farhana terlupa untuk bercakap lembut. Sedang dia melepaskan amarah yang membara, muncul pula orang yang menyebabkan dia menjadi sedemikian. Memang layaklah untuk menerima tempiasnya.
”Sorry.. Apa yang aku dah buat dekat engkau?” soal Farhana sekali lagi dengan intonasi yang berbeza dari kali pertama tadi.
”Buat-buat tanya pula. Kau tak puas hati apa dengan aku?” tanya Syazwani. Ah, bermuka kesian pula dia, getus Farhana di dalam diam.
”Apa yang kau tak puas hati dengan aku?” soalan yang hampir sama ditanya kembali oleh Farhana kepada Syazwani. Masih berlembut.
”Kenapa tak jawab soalan aku?!” Syazwani sudah menunjukkan belang. Farhana hanya mendiamkan diri. Malas melayan. ’Kura-kura dalam perahu, pura-pura tak tahu’. ”Kenapa tak jawab? Takut?” Syazwani menyambung kata. Farhana hanya memandangnya dengan senyuman.
’Dalam sungai ada perahu, dalam perahu ada gula, sedangkan sendiri sudah tahu, pura-pura bertanya pula’, Farhana menjawab di dalam hati sambil mereka pantun empat kerat yang baru. Tak ada masa untuk takut. Malas. Malas menjawab. Malas menjawab soalan orang yang bertanya padahal jawapan ada padanya. Untuk apa bersusah memberikan dia jawapan? Farhana hanya menjawabnya dengan ketawa kecil. Sinis.
”Siapa yang tidak berpuas hati dengan siapa?” Farhana bertanya.
”Malas aku cakap dengan engkau,” balas Syazwani dan terus berlalu pergi. Fazilah awal-lagi lagi sudah menghilangkan diri. Ah, kenapa takut untuk mendedahkan kebenaran?
Farhana dan Rosemuliana melangkah masuk mengambil tempat di dalam kelas, Farhana duduk di sebelah Syazwani. Terpaksa. Itulah tempatnya. Langsung tidak dia memandang ke arah Syazwani. Mujurlah dia mula menyedari sesuatu yang ’aneh’ tentang Syazwani sebelum ini. Patutkah sim card Syazwani itu dikatakan hilang dan telah diambil oleh aku, sedangkan mahu menyentuh meja dan barangannya sudah menimbulkan rasa jengkel dihati?
Bagus juga Farhana tidak pernah lagi menyentuh Syazwani dan segala yang dimiliki Syazwani termasuk buku dan kertas jawapan sebelum perkara ini berlaku, itu merupakan satu bukti bahawa Farhana sesekali tidak boleh dilibatkan dalam kes sim card yang kononnya dikatakan hilang itu.
”Faradila, boleh kita berbual sekejap?” soal Farhana kepada Faradila seraya menarik tangan Faradila keluar dari kelas semula. Biarpun Faradila turut percaya kepada Syazwani, tapi Farhana tidak mempedulikan perkara itu. Faradila terlalu disayangi dan dia harus mengetahui kedudukan yang sebenar.
Farhana menceritakan kepada Faradila sambil menangis teresak-esak. Faradila meminta maaf kerana baru tersedar selama ini dia tertipu dengan lakonan Syazwani yang begitu mantap. Barangkali wajar untuk menerima anugerah pelakon terbaik bagi tahun ini.
”Tak ada sesiapa percayakan aku,” ujar Farhana dalam tangis.
”Aku ada. Yang lain pun ada. Mereka cuma tidak tahu perkara yang sebenar. Percayalah, selepas ini segalanya akan kembali seperti biasa,” janji Faradila. Faradila memeluk Farhana sekuat hati. Dia berjanji tidak akan terpengaruh dan ’kehilangan’ Farhana lagi. Farhana terharu.
Adibah meminta izin untuk bertukar tempat dengan Farhana untuk seketika. Tempat Adibah yang sebenar adalah di depan, sedangkan Farhana sentiasa tempat duduknya di belakang sekali. Farhana hanya mengangguk dan duduk di tempat Adibah, bersebelahan Nabila. Sebelah Nabila pula adalah Rosemuliana. Farhana masih tidak bercakap dengan sesiapa. Tangannya ligat melakarkan sesuatu pada buku contengnya. Begitulah tabiatnya bila ada sesuatu yang mengganggu fikirannya. Entah apa yang dilakarkan, Farhana sendiri tidak tahu.
Syafawati menarik kerusi dan duduk berhadapan dengan Farhana. Farhana tidak mengangkat mukanya. Dia tahu itu adalah Syafawati dari gaya dan suara Syafawati. Syafawati menghalang pergerakan pen Farhana. Farhana tetap tidak mengubah posisi. Ada sesuatu yang Syafawati ingin katakan. Syafawati juga merupakan teman dari sekolah lama yang turut berpindah ke sekolah yang sama dengannya. Mereka bertiga masih bersama. Syafawati, Farhana dan Fikri.
”Lukis apa tu?” soal Syafawati, berbahasa. Farhana tahu apa sebenarnya yang ingin Syafawati katakan padanya. Masa dan tempoh perkenalan mereka cukup untuk Farhana mengenali hati budi Syafawati.
”Kau percaya pada siapa?” tanpa menjawab soalan Syafawati itu, Farhana bertanya. Farhana juga pelik kebelakangan ini hubungannya dengan Syafawati terlalu dingin. Namun itu bukan lagi persoalan yang bermain dimindanya kerana jawapan sudah diperolehi. Aku sukakan Naim, teman lelaki Syafawati? Itulah yang sampai ke telinga Syafawati dan penyebarnya..? Hah, Syazwani itu bukannya tak ada kerja, tapi buat kerja gila!.
”Aku kurang percaya pada apa yang aku dengar,” balas Syafawati. ”Tapi kau tetap percayakan dia sebelum ini hinggakan aku kau tidak peduli. Dan kau tidak mahu bertanya padaku sendiri. Aku temanmu Sya. Berapa lama aku dan kau berkawan? Lima tahun. Berapa lama pula kita mengenali Syazwani? Dua bulan. Kau juga langsung tidak mahu bertegur sapa denganku sepanjang tempoh itu. Kau menghukumku. Kau mendera perasaan sahabatmu sendiri, Sya. Fikri juga begitu. Aku sangat terkilan. Kenapa kalian percayakan orang lain lebih dari kawan sendiri? Mujur aku agak rapat dengan teman berulang. Tapi mereka juga seolah-olah menyisihkanku. Fahamkah kau perasaanku disaat itu?” Jelas berbaur kekecewaan dari nada suara Farhana. Air matanya mengalir kembali, segera dikesat.
Sememangnya Farhana terlalu kecewa dengan apa yang berlaku. ”Siapa yang aku ada? Fazilah, Rose dan Nabila pula yang menyokongku, mempercayaiku. Kau tahu bagaimana perasaanku? Sedangkan kita dan mereka jarang bersependapat selama ini? Di mana kau, di mana teman-teman yang lain disaat aku memerlukan kalian?” sambung Farhana sambil mendongakkan kepalanya memandang Syafawati. Nabila dan Rosemuliana tidak masuk campur. Mereka lebih mengetahui apa yang berlaku. Pelik kan? Farhana pula agak rapat dengan mereka baru-baru ini. Bukanlah selama ini mereka bermasam muka, cuma kurang rapat.
”Ustaz, saya tak tahan lagi,” Farhana bercakap perlahan dengan Ustaz Halim. Dahulu dia pernah mengadu masalahnya kepada guru itu. Dia juga senang begitu.
”Ustaz tahu pasal tu,” balas Ustaz Halim tanpa Farhana memulakan ceritanya. Farhana memandang Ustaz Halim. Kenapa ustaz seperti pura-pura tak tahu? Berapa lama nama baikku tercemar? Adik-adik junior juga menyalahkanku, membela Syazwani. Farhana hanya bersuara di dalam hati, kurang berpuas hati.
Farhana menceritakan tentang masalahnya dengan Fikri yang masih belum selesai. Fikri tidak melayannya dengan baik.
”Kamu suka diakah?” Ustaz bertanya sambil tersenyum. Sengaja menduga. Ustaz bukannya tidak tahu Farhana dan Fikri adalah kawan lama yang baik.
”Sukalah. Kawan, kan?” jawab Farhana, selamba.
’Kamu tak suka siapa-siapakah?’, soalan itu pernah ditanya Ustaz Halim dua tahun yang lalu dan jawapannya juga telah diberi. Banyak juga Farhana kongsikan dengan guru itu, rapat seperti abang dan adik.
”Ustaz dah cakap dengan budak-budak lelaki. Mereka dah tahu hal sebenar termasuklah SMS dan lain-lain. Tentang itu jangan risau. Fikri pula, nanti ustaz akan cakap dengan dia sendiri,” balas Ustaz Halim.
”Farhana, aku minta maaf,” ujar Zahida sambil menghulurkan tangan, bersalaman dengan Farhana. Mariah, Azila dan lain-lain juga melakukan perkara yang sama seperti Zahida. Farhana hanya mengangguk, tidak mampu untuk bersuara.
”Sorry, aku betul-betul ingat engkau yang hantar SMS tu dekat aku,” kata Abidah.
”Tak guna betul!” marah Abidah lagi yang agak terkenal dengan mulut laser.
”Hmm... Tak apalah,” balas Farhana.
Beberapa hari selepas itu, Ustazah Latifah, warden Asrama Puteri memanggil Syazwani. Ustazah Habsah yang mempunyai sedikit ilmu psikologi turut bersama. Syazwani diberi nasihat dan kaunseling.
”Kamu nak orang buat kamu macam apa yang kamu buat dekat dia?”, ujar ustazah. Farhana agak terkilan kerana lewat guru-guru perempuan bertindak. Tapi, tidak mengapalah kerana akhirnya, Syazwani juga telah mengaku kesalahan sendiri. Farhana seperti kebiasaan, membalasnya dengan senyuman..
Lakukan kepada manusia apa yang anda mahu mereka lakukan kepada anda dan jangan lakukan kepada mereka apa yang anda tidak mahu mereka lakukan kepada anda. Inilah hakikat sebuah perjalanan kehidupan. Dalam perjalanan ini kita akan temui siapa sebenarnya teman, siapa sebenarnya sahabat. Berkatalah yang benar walaupun ianya pahit kerana bila terbuktinya kebenaran, kebatilan akan terhapus jua. Terima kasih padaMu Tuhan.
-nurfatimahz AKA puteri, USIM-
No comments:
Post a Comment