© Hakcipta adalah terpelihara.

Monday, January 01, 2007

masalah server network


Pertama sekali ana ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2007 buat semua. Tahun baru Hijrah juga akan menjelang tidak lama lagi. Alhamdulillah, masih kita dipanjangkan usia dan diberi peluang untuk terus hidup di atas muka bumi Allah ini untuk tahun seterusnya. Makin bertambah tahun, makin bertambahlah usia kita dan sebenarnya semakin pendeklah jangka hayat kita! Oleh itu, kesempatan ini harus kita gunakan sebaiknya kerana belum tentu ia akan datang untuk masa yang seterusnya..

Sejak dua menjak ini, berlaku gangguan perkhidmatan internet di negara kita yang pastinya semua merasai this server network breakdown (betul ke istilah ni ye? hehe) walaupun sedikit, kesannya begitu besar. Semua ini adalah kerana berlakunya gempa di Taiwan yang mengakibatkan kabel internet di dasar laut terganggu dan memberi kesan terhadap penggunaannya. (terlupa la pulak macam mana ayat papa.. :D)

Jom baca petikan berita di bawah

SINGAPURA 28-12-06 :
Kekacauan perkhidmatan Internet di Asia yang berlaku akibat gempa bumi dasar laut di Taiwan Selasa lalu menunjukkan bahawa rantau ini terlalu bergantung kepada Amerika Syarikat (AS) dan rangkaian kabel yang rapuh. Berjuta-juta penduduk di seluruh Asia menghadapi masalah perkhidmatan Internet untuk hari kedua berturut-turut apabila gempa bumi berukuran 7.1 pada skala Richter itu menyebabkan kerosakan besar kabel dasar laut yang menghubungkan negara-negara Asia dan AS.

“Di sebalik terlalu bergantung kepada Amerika Utara, Asia perlu membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk menghubungkan (perkhidmatannya) dengan Eropah,” kata Ross Veitch, pengasas Yahoo! Asia Tenggara yang juga ketua pegawai produk untuk enjin carian Bezurk.com. Gangguan perkhidmatan Internet itu meliputi China, Hong Kong, Jepun, Singapura, Korea Selatan, Taiwan,Vietnam, Malaysia dan beberapa negara lain. Menurut Veitch, Internet direka bagi membolehkan ia dialihkan laluannya apabila berlaku kerosakan.

“Hakikatnya terlalu banyak trafik menggunakan kabel gentian optik bawah laut yang sedikit bilangannya. Ia amat rapuh berbanding yang orang ramai fikirkan,’’ katanya. Sementara itu, pengerusi syarikat perunding telekomunikasi BDA China, Duncan Clark berkata: “Ia amat buruk sebenarnya jika selepas 24 jam kejadian mereka masih gagal mengalihkan laluan.”

Beliau bersetuju bahawa buat masa ini hubungan antara Asia Timur dengan Eropah terlalu sedikit berbanding tumpuan lebih besar yang diberikan antara AS dengan Eropah dan Asia Timur dengan AS. “Sebenarnya kabel terdedah kepada kegiatan ‘seismos’, malah kadangkala tersangkut pada jaring nelayan,” ujarnya.

Penganalisis telekomunikasi DBS Vickers Securities di Singapura, Sachin Mittalpula menambah, kerosakan yang berlaku pada kabel dasar laut bukan sesuatu yang mengejutkan. Berjuta-juta pengguna Internet diseluruh Asia menghadapi masalah untuk hari kedua berturut-turut ketika para operator telekom berusaha membaiki perkhidmatan yang diramalkan bermasalah selama beberapa minggu. Beberapa kapal dilaporkan menuju kekawasan perairan antara Hong Kong dan Taiwan bagi membolehkan jurutera membaiki kerosakan kabel gentian optik yang rosak teruk akibat gempa bumi Selasa lalu.

Jadi, kita terpaksa bersabarlah untuk seketika sehingga keadaan pulih seperti biasa. Atau..ada antara kita yang tahu cara untuk mengatasinya? Jom, kongsikan bersama ;)

No comments: