© Hakcipta adalah terpelihara.

Monday, August 24, 2009

usim, banduan cipta lagu


UNIVERSITI Sains Islam Malaysia (Usim) dan Jabatan Penjara dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Perbadanan Putrajaya menganjurkan Festival Cipta Lagu Patriotik 2009 (Cipta '09), baru-baru ini. Ia bertujuan memperkasakan modal insan dan menyahut aspirasi kerajaan bagi mewujudkan warga patriotisme.

Program Cipta '09 kali kedua ini unik dan menarik kerana ia membabitkan gabungan pelajar Usim dan penghuni penjara dalam melestarikan semangat kemerdekaan negara ke-52 selari dengan tema 'Bersama Kita Eratkan Perpaduan Negara Bangsa'.

Setiausaha 1 Cipta '09, Ismail Ahmed, berkata objektif program ini bertujuan memilih Ikon patriotik di kalangan penghuni penjara dengan penghasilan lagu patriotik. Beliau berkata, program ini bertujuan membuktikan mereka yang menjalani program pemulihan di penjara mampu mempunyai jati diri dan kecintaan kepada tanah air.

"Melalui festival ini, ia dapat menyemarakkan lagi aktiviti promosi dan pembangunan sahsiah di kalangan warga kampus agar dapat melahirkan mahasiswa yang peka terhadap persekitaran masyarakat. Program ini juga memupuk kerjasama dan kesedaran dalam penyertaan mahasiswa, kakitangan dan masyarakat (banduan) daripada pelbagai kaum dan etnik," katanya.

Bermula dengan Bengkel Penulisan Lirik Patriotik, seramai 40 mahasiswa Usim diberi tunjuk ajar menghasilkan lirik oleh Siso dan Ranofla Dianti Erwan.Mahasiswa Usim yang bertindak sebagai penulis lirik akan bergabung dengan penghuni penjara untuk menghasilkan lagu patriotik.

Hasil gabungan itu, daripada 15 lagu yang tersenarai di peringkat saringan, lapan lagu melangkah ke peringkat akhir.Semua lagu hasil gabungan mahasiswa Usim dan penghuni penjara itu dinyanyikan artis tempatan antaranya Roy, Noraniza Idris, Zarina AF, Hafiz Hamidon, Sahri AF dan Nas Adila.

Pada malam kemuncak Cipta '09, lagu Semangat Anak Bangsa hasil karya Aizatul Ain Ismail dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang dan komposer Mohd Haikal Mohd Khatib Saadaly dari Penjara Kajang dinobatkan pemenang.

Shariayati Selamat


Ia diikuti Nur Fatimah Zaharah Ahmad juga dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang dan komposer Shariayati Selamat dengan lagu bertajuk Satu Malaysia di tempat kedua dan lagu Cinta Malaysia karya Afiq Naqiuddin Abdul Malek serta komposernya, Che Mohd Safary Che Mustafa dari Penjara Kluang di tempat ketiga.

No comments: