© Hakcipta adalah terpelihara.

Friday, January 16, 2009

kesedaran kita

f
Sekarang ini kita dihangatkan dengan kisah peperangan yang menyayat hati sedang berlaku di Gaza, Palestin. Kekejaman Israel musuh Islam dan musuh Allah bermaharajalela. Umat Islam ditekan, dizalimi. Tapi kita dikatakan pengganas. Amerika pembela, penuntut keadilan. Di jalan benarkah mereka yang tidak faham erti gencatan senjata? Tidak menurut perjanjian damai yang dimahukan.

Benarlah firman Allah Taala yang bermaksud, "...tidak sesekali mereka (kaum musyrik) akan menyetujui kamu sehingga kamu menurut kata (tunjuk ajar) mereka...".

Mengapa ada antara kita (umat Islam) sendiri seolah-olah mengikut arahan Yahudi laknatullah? Isu Gaza, Palestin bukanlah isu atau masalah rakyat Palestin semata kerana ia adalah isu agama. Agama kita sedang ditindas. Agama kita sedang diperangi. Apakah yang kita lakukan? Masih menyogok membuntuti Amerika Syarikat?

Apakah kita fikir bahawa apa yang berlaku hari ini tidak akan berlaku pada kita? Saat kita sedang berenak-enak dibuai kenikmatan dunia yang dipinjamkan Allah, kita berjalan, kita bergurau-senda, mereka tidak sempat memikirkan apakah peperangan ini akan berakhir? Bilakah ia akan tamat? Adakah pernah kita cuba berfikir perkara itu akan berlaku pada negara kita, pada kita?




Saat kita berlari-lari berkejaran bersama teman, anak-anak, mereka terpaksa melarikan diri dari jutaan bedilan bom Israel. Saat kita menghubungi ahli keluarga kita, mereka menatapi kematian demi kematian ahli keluarga tercinta. Saat kita mahu tidur menghilangkan lelah seharian, mereka tidak punya masa untuk itu, malah mereka tidak mampu untuk berfikir apakah mereka akan hidup walau hanya seminit lagi.

yusuf al-Qardawi ada mengeluarkan fatwa yang bermaksud bahawa "...apabila kita membantu Yahudi (termasuk membeli barangan mereka), kita seolah-olah membantu mereka menambah peluru untuk menghancurkan saudara kita sendiri di negara yang diperangi".

Apakah kita mahu tergolong dalam golongan itu? Apakah kita berani menjawab di hadapan Allah tatkala dipersoalkan-Nya nanti, apa yang telah kita lakukan untuk menegakkan agama-Nya? Kita tidak mampu untuk berperang, kita menghulurkan bantuan kewangan, perubatan dan makanan, tidak mampu untuk itu apa lagi ruang yang kita boleh berbakti selain berdoa dan memboikot barangan keluaran Amerika, Yahudi dan sekutunya? Kerana ekonomi adalah 'senjata' sesebuah negara, maka dengan itu kita mampu melemahkan kekuatan mereka.

Teringat kisah burung kecil dalam peristiwa Nabi Ibrahim dibakar dalam api marak. Burung kecil itu terbang mengisi air di dalam paruhnya dan menitiskan air tersebut ke atas api yang sedang membakar Nabi Allah Ibarahim. Burung itu apabila ditanya "hai burung kecil, apakah yang kau lakukan? sedang tubuhmu yang kecil (dan perlakuan menitiskan air) tidak akan sekali memadamkan api yang sedang membakar Nabi Ibrahim?" Lalu dijawab burung kecil itu "sekurang-kurangnya aku melaksanakan tugasku dan aku takut disoal Allah pada hari pembalasan nanti jika aku tidak melakukan apa-apa untuk membantu nabi-Nya."..

Apakah kita masih belum mendapat iktibar dari perbuatan si burung kecil yang tidak berakal itu? Laksanakanlah kewajipan kita. Biarpun sukar, tapi kita mampu untuk melakukannya. Semuanya hanya pada diri kita sendiri, di manakah kesedaran kita...........?

2 comments:

Setelus Hati Zinnirah said...

betul tu dik...even boikot tu satu benda kecil...tp amat bermakna even usaha kita ni cume sedikit..same la mcm kisah burung kecil tu kan... :) kita doakan moga2 saudara kita di sana dilindungi Allah...

Puteri said...

ameen..