jangan biar hati derita menahan bicara yang tidak mampu untuk dilafazkan...
© Hakcipta adalah terpelihara.
Friday, July 18, 2008
mendung di hati
Semalam, aku sekuliah dengan dia. Bukan tak pernah berada dalam dewan kuliah yang sama, bahkan selalu. Cumanya, aku jarang berdekatan dengan dia. Dan semalam, dia di depan aku. Tak apalah.. Tak ada apa-apa yang berbeza, dekat atau jauh... aku mula terasa yang hatiku semakin jauh dari dia.
Hari ni, sepatutnya aku tidak perlu menangis. Tapi aku mengangis juga kerana merasa terlalu sedih. Kecewa, barangkali. Entah. Untuk apa sebenarnya aku berduka kerana dia? Kerana rindu? Kerana sayangkah? Atau kerana cinta? Cintakah ini yang mendukakan? Cintakah ini yang menderitakan?
Dari jauh melihat kelibatnya. Tidak. Tidak terlalu jauh. Aku melihat dia dengan seseorang. Pastinya orang yang dia temui itu bukan lelaki, hingga boleh menyebabkan aku terlalu terkilan!
Aku bukan tidak benarkan dia berbicara dengan orang lain. Boleh, silakan. Aku juga berbicara dengan teman-teman dari kalangan lelaki yang lain, dan aku punya 'rakan sekerja' lelaki yang mana menuntut aku menemui mereka, kadang-kadang bersendiri. Aku dan tiga orang lelaki, semasa pembahagian kumpulan untuk presentation, sebagai contoh.
Sekarang, aku akan terlibat dengan Pameran Lukisan yang akan di Putrajaya bulan hadapan. Yang berada di bahagian ini adalah aku dan abang miji. Mahu atau tidak, dan kerana tanggungjawab, aku pasti perlu berhubung dengan dia selalu. Bahkan dengan sesiapapun.
Aku berbaik dengan orang lain, dalam masa yang sama, aku melayan dia dengan baik. Aku tak mengetepikan dia, walau selalu aku diketepikan. Aku makin tidak faham dengan apa yang berlaku sekarang.
"Sampai bila awak nak buat macam ni dengan saya? Awak nak balas dendam dekat saya ke?".
Berani. Ya, aku memang berani bertanyakan soalan itu kepada dia. Aku juga bersedia pada ketika itu untuk menerima jawapan sepanjang penantian yang menyeksakan saluran pernafasanku selama ini, baik atau buruk. Kalau ada, buatlah seperti ada. Kalau tiada, aku akan cuba belajar untuk ketiadaan dia. Walaupun dia bukan lelaki pertama yang aku suka, yang aku minati... tapi dialah yang pertama menjadi kekasihku di saat ini. Kekasihkah dia?
Apa untungnya bermain dengan perasaanku? Aku bukannya perempuan gilaan, rebutan mana-mana lelaki. Aku bukan perempuan popular atau yang tercantik. Aku bukan sesiapa, aku adalah aku yang biasa-biasa sahaja. Apa yang dia dapat dengan berbuat sebegini? Kepuasan? Puaskah menyakitkan hati aku? Puaskah?
Saya tak pernah menipu awak dan perasaan awak. Sejak saya terima awak dalam hidup saya, dan awak juga begitu, itulah perasaan saya yang masih tersimpan untuk awak dari dulu hingga ke saat ini. Kalau mahu mainkan saya, kalau mahu kecewakan saya... cukuplah. Awak dan berjaya melakukannya. Saya dah suka awak, saya dah terlalu sayangkan awak, saya dah sampai tak boleh nak berhenti daripada merindui awak. Dan inilah yang saya dapat, kecewa!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment