© Hakcipta adalah terpelihara.

Monday, August 06, 2007

cerita saya

Kisah ini berlaku semasa saya kecil-kecil dahulu, barangkali ketika berusia 4,5 atau 6 tahun. Dulu, saya tinggal bersama nenek dan arwah datuk di kampung. Saya mempunyai seorang bapa saudara yang tinggal di taman (dalam daerah yang sama) yang tidak terlalu dekat dan juga tidak terlalu jauh dari rumah nenek saya. Jadi setiap hujung minggu atau cuti, sepupu-sepupu pasti akan datang ke rumah nenek. Kami akan bermain-main dengan gembiranya.

Sepupu saya yang paling rapat adalah fadli, saya memanggilnya ‘dik li’. Walaupun usia kami sebaya dan dia sebenarnya lebih tua (dua bulan) dari saya, saya memanggilnya ‘dik’ dan dia hanya memanggil saya dengan nama timangan saya. Ini kerana ayah kepada dik li merupakan adik kepada ibu saya. Adik-adik fadli semuanya lelaki. Dia hanya mempunyai seorang kakak. Memandangkan saya agak rapat dengan fadli dan adik-adiknya, perangai saya juga seakan mereka. Agak kelelakian. Hehe..

Kalau budak-budak perempuan dekat kampung pakai kain, baju kurung, saya pula lebih selesa memakai t-shirt dan seluar panjang. Tapi yang baiknya walaupun agak kasar, saya tetap memakai tudung (untuk ke sekolah dan mengaji al-Quran).. =) Kalau waktu raya, budak-budak perempuan beraya dengan kawan-kawan perempuan, saya pula beraya dengan sepupu-sepupu lelaki saya. Bestnya sebab orang tak berani kacau (sebab ada lelaki yang menjaga saya).. (“,) Kadang-kadang saya rasa saya lebih kasar dari dik li. Saya selalu letakkan tangan saya atas bahu dia (agak ganas, kan? hehe).

Kawan-kawan perempuan saya suka main anak patung, beruang, masak-masak. Saya main jugak. Tapi selalunya saya main ‘power rangers’ dengan sepupu saya. Kadang-kadang ‘ultraman’. Entahla siapa yang jadi raksaksa, saya sudah tidak dapat mengingatinya lagi. Paling diingati, kami selalu berlawan memanjat dan berpusing di tiang (pegang tiang dengan sebelah tangan dan berpusing disekitarnya) dalam rumah nenek, ataupun memanjat pokok-pokok rambutan yang ada di halaman rumah. Kami pernah tidur bersama, mandi dan lain-lain lagi. Rasa kelakar pula bila teringat. Ah.. rindu pula pada zaman itu. Bahagianya..

Pada petang itu, kami bermain-main di dalam rumah seperti biasa. Berlari-lari. Pusing-pusing disekitar tiang yang selalu menjadi alat permainan kami. Masing-masing menunggu giliran. Kemudian, tibalah giliran saya. Saya pun mengambil ruang untuk memegang tiang dan berpusing. Entah bagaimana, tiba-tiba..saya tersasar. Saya terlanggar tiang itu. Bukan terhantuk di kepala, tapi di mulut. Saya rasa agak sakit. Tapi saya tak adalah menangis. Tapi bila darah keluar, barulah saya menjadi takut (bukan takut darah, takut darah abis keluar, agaknyala..).

Apa yang saya ingat selepas itu (saya ada mengadu pada sesiapakah? Tak ingat..), saya masuk bilik datuk sambil memegang segenggam kapas, saya pekupkan pada bibir saya. Banyaknya darah. Saya menangis sambil tidur. Lepas tu, memang saya langsung tak dapat ingat apa-apa lagi. Yang saya tahu selepas itu, saya menerima beberapa jahitan, lalu kini, kesan jahitan itu ada. Kekal.

Kenapa saya ceritakan? Saya ingin orang tahu. Saya ingin kalian tahu. Saya ingin kawan-kawan tahu kenapa saya begini. Saya tahu, ada yang menganggap saya s*****g. Saya sedih bila orang anggap macam tu. Ada kawan yang pernah bertanya. Tak apa, saya tak kisah. Saya akan ceritakan. Tapi.. saya sedih bila ada yang memandang hina terhadap saya. Memanjang jelik. Rendah. Bukan saya tidak redha dengan ketentuan ini. Bukan saya menolak takdir ini. Bukan juga saya tidak mensyukuri nikmat, sekurang-sekurangnya saya masih mampu bercakap dengan baik. Saya mempunyai kawan-kawan, guru-guru dan saudara yang sayangkan saya. Bukan juga saya menghina kejadian Tuhan. Cuma.. saya terkilan dengan pandangan manusia yang sebegitu.

Bukan juga saya berfikiran negatif atau berprasangka buruk. Tapi ini adalah hakikat. Suatu hari semasa saya berada di rumah mak su (ibu kawan baik saya, faradila), ada tetamu di rumahnya. Dia memandang-mandang saya. Saya berperasaan aneh. Saya tak endahkan. Saya menghadiahkan senyuman buat mak cik itu. Lalu saya terdengar (tentu sekali mendengar kerana saya berada disebelah mak su) mak cik itu bertanya kepada mak su “dia ada lelangit dak?”. Mak su tak tahu, dia memandang saya. Kak fidah (kakak kepada faradila) pun. “che (panggilan mesra di negeri kedah) ada lelangit dak?”, Tanya maksu. Kemudian kak fidah mencelah,“dia walaupun macam ni, ngaji pandai, masuk U dah ni..” Ucap kak fidah sambil menepuk-nepuk paha saya. Saya sedih bercampur terharu. Lalu saya menjawab (soalan mak su), “lelangit? Ada..” kemudian menyambung kembali “dulu eksiden (jawapan mudah dari saya)”. “oo.. ya ka..?”. Saya kuatkan hati, ‘tak apa, dia tak tahu’, ‘dia hanya bertanya’.

Saya suka ramai kawan. Saya berbangga memiliki ramai kawan. Ada kawan yang mencemburui saya kerana memiliki ramai kawan dari mereka. Kawan sepermainan, sekolah, sekelas, sekampung, senegeri, senegara, luar negara dan termasuklah rakan siber dari YM, MIRC (dulu-dulu join, sekarang dah berhenti), sms, forum dan lain-lain (ramai kan kawan saya?). Ada yang meminta gambar. Ada yang saya beri, ada yang tak. Saya memang jarang bergambar dahulu. Kalau ada pun gambar terkini (pada masa itu) yang diambil semasa di tingkatan 2 dan 3. Ada juga yang ingin berjumpa. Saya menolak.

Kenapa saya menolak? Sebab saya takut saya akan kehilangan kawan-kawan saya tersebut. Kenapa saya takut? Perasaan saya sahaja? Semuanya saya tolak, ‘saya belum bersedia’, ‘jauh’, ‘susah nak keluar’, bla la bla… sehinggalah tahun lepas ada seseorang yang betul-betul membuatkan saya tertarik, mr. Dialah ajnabi pertama saya ceritakan secara detail tentang saya, rupa paras, tinggi rendah (dia juga bertanya tentang berat, malu untuk beritahu, tapi saya cakap jugak). Dia ajak jumpa, saya tak nak (walaupun dalam hati ada keinginan). Saya cakap

+ saya takut.
- apa yang awak takutkan? Saya bukan makan orang
+ memangla. Tapi saya takut
- takut saya tak terima awak?
+ hmm..

Setelah bercakap sedikit sebanyak, dia seperti menerima ‘saya’. Saya bersetuju untuk berjumpa dengannya. Saya pergi dengan seorang kawan. Dia seorang. Sebenarnya saya memang takut untuk itu. Takut sebab dia rakan siber pertama yang saya akan temui. Lelaki pula. Dan terlebih takut, saya akan kehilangan dia. Bukan setakat perasaan, tapi hubungan sebagai kawan. Mungkin kerana instinct saya kuat , ianya menjadi kenyataan.

Selepas berjumpa dengannya, dia senyap sahaja. Diam. Sunyi. Sepi. Saya mengagak apa yang berlaku. Tapi saya tak sanggup berfikir jika anggapan saya itu benar. Saya hubungi dia. Dia layan, cakap dengan baik. Macam biasa. Tapi saya sedar perubahan dia. Dia tidak lagi menghubungi saya seperti dahulu. Saya tertipu. Tertipu dengan perasaan sendiri. Dan akhirnya saya tahu.. betul. Sangkaan saya tepat.

Bagaimana saya tahu? Saya bertanya sendiri. Beraninya saya? Ya. Saya berani. Dengan sokongan seorang teman lagi, yang juga rakan siber, lelaki. Abg taufiek. Katanya, saya perlu berani untuk bertanya dan berani untuk terima apa sahaja jawapan yang bakal dia (mr) berikan. Lalu, saya peroleh kebaranian di situ. Dan.. saya menangis selepas itu. Ahh.. apa lagi yang mampu saya lakukan. Selain ketawa dalam menangis. Ketawa kerana saya sudah mengagak itu jawapannya. Itu jawapan dia. Itu puncanya.

Itu cerita lama. Saya tak marahkan dia. Saya juga tidak mendendami dia. Saya tak salahkan dia. Itu hak dia. Dia berhak memilih, membuat pilihan. Tapi saya berkecil hati kerana dia pernah memberi saya harapan.. untuk dikecewakan. Sedih. Memang sedih. Sedih yang amat. Tapi itulah hakikat yang perlu saya terima. Terpaksa. Saya tahu saya bukan sesiapa, tapi saya juga punyai hati dan perasaan. Apapun itulah kenangan yang menjadi milik saya. Dan sekarang, saya masih menjadi kawan dia.

Sekarang saya sudah berubah. Saya suka bergambar. Saya suka meletakkan gambar saya. Biar semua kenali saya bagaimana. Rupa saya. Ciri-ciri saya. Tak perlu membuat sebarang andaian lagi saya ini bagaimana. Saya senang begitu. Saya tak menipu sesiapa (walaupun saya tak pernah mengkhabarkan diri saya dengan baik). Kalau tak suka (kerana ciri-ciri, kelemahan dan kekurangan saya), tidak mengapa. Anda boleh meninggalkan saya.

8 comments:

aria ayumi said...

wah wah beshnye zaman kanak2 die... uhu... cam xcaye je pu3 agak ke-boy-an... :p

*smpat bace 3 perenggan, nnt sambung blk :D *

Anonymous said...

jgn cedey2 k.. you are what you are.. =)
kawan yg sejati adlh kawan yg dpt menerima kelebihan dan kekurangan kite.. mmg bukan senang nk jumpa, tp skalik kite jumpa, susah nk lepaskan..

p/s: tp btol, cm x caya je awk ni dlu boyish..hehe..

Puteri said...

diya -->> thank u my frend =)

miss ida -->> yes, i know it. but... hurmm.. i hope u can understanding me as well as.

Puteri said...

er..xcaye ke sy dlu mcm tu? hehe. btl tau.. xtipu..

tp biase la skrg dh brubah wanita melayu tradisi.. =)

aria ayumi said...

"Kalau tak suka (kerana ciri-ciri, kelemahan dan kekurangan saya), tidak mengapa. Anda boleh meninggalkan saya."

i've never ever thought to leave u my dear.. :) be as what u are, not who u are.

=)

Puteri said...

thanks my dearest diya..

Anonymous said...

salam
hye fatimah dearie,
thanx for d treat!! =)

DSSM said...

wakakaka main masak2 ek ..hehehe teringat la zaman dulu pun main mcm tu gak, main kawin olok2 akekekee