© Hakcipta adalah terpelihara.

Sunday, June 26, 2011

kau pergi jua

Pagi, Koko berlegar-legar di halaman rumahku. Aku melihatnya dari jauh. Koko kehilangan ibunya? Ibunya mati? Atau apa? Aku meneka-neka kerana melihat Koko sendirian. Sebahagian tubuh koko kebasahan, mungkin Koko terjatuh longkang sebentar tadi. Tapi, dari mana Koko datang? Walau berbagai soalan ingin ku tanyakan pada Koko, namun ku hanya bertanya kepada diriku sendiri.

Sebenarnya aku tidak tahu apa nama sebenar Koko, aku memberinya nama 'koko' kerana warna bulunya bercampur, namun warna yang lebih menyerlah ialah warna cokelat. Kerana itu aku aku memanggilnya Koko. Koko anak kucing yang mungkin berusia sebulan atau kurang dari itu, melihat dari saiz tubuhnya yang agak kecil. Tambahan, Koko terlalu kurus. Kekurangan zat? Kedua kaki belakang Koko agak pelik. Sakitkah? Patahkah?

Tengahari, Koko tidur di kaki lima rumahku. Letihkah? Penatkah? Laparkah? Aku melihat dari dekat, di sebalik pintu kaca ruang tamu rumahku, rumah kampung namun sem
akin maju seperti taman perumahan. "Hai, penat ke? sinilah. tengok sini," Koko tidak memberi respon. "Sakit ke? Kenapa?" aku seolah-olah berbicara dengan Koko, namun pastinya Koko tidak mendengar kerana terhalang oleh pintu kaca. Kalau mungkin Koko mendengar, mampukah ia memahami?

Petang, sambil menghirup angin sepoi-sepoi bahasa di kerusi yang terletak di hadapan rumahku di sudut sebelah kiri, aku melihat pokok jambu nan sebatang di hadapan rumah jiranku. Barangkali belum musimnya, tidak kelihatan dimataku jambu yang baru berbuah, apa lagi yang sudah kemerah-merahan.

Jiranku merangkap tuan punya pokok jambu itu, Uncle Aaron kelihatan menghampiri keretanya yang terletak di bawah pokok jambu bersama isterinya Auntie Suzanne. Mungkin mahu ke mana-mana. Sewaktu kereta Uncle Lim beredar, aku terlihat sesuatu yang bergerak-gerak di tanah, tempat parkir kereta Uncle Lim. 'Koko?'. "Koko?!"

Aku berdiri sambil melihat Koko. Ya, Koko. Tayar kereta Uncle Lim mungkin telah tertindih Koko ketika Koko sedang berehat tadi. Bila masa Koko ke sana? Mungkin bukan pertanyaan yang sesuai untuk dipersoalkan disaat ini. Koko batuk-batuk, dan muntah darah. Aku melihat sendiri darah Koko memercik keluar dari mulutnya. "Innalillahi wainna ilaihi rajiun,". Itu ayat pertama yang aku bisikkan kepada diriku, untuk Koko. Atau perlu aku mengucapkan dua Kalimah Syahadah? Sudah mati atau masih hidupkah Koko?

Aku kembali memasuki rumahku. Segera aku mencapai ubat gamat dari Langkawi yang ku simpan di dalam beg sandangku dan terus menghampiri Koko. Mungkin aku boleh merawatnya. Sekali lagi aku berdiri di sisi Koko. aku tidak menyentuhnya. Pada kesan-kesan darah Koko, aku perasan ada cecair berwarna putih kekuningan. Cecair itu datang dari mata Koko, atau mungkin kepalanya. Apakah cecair itu? Otak Koko?

Ubat gamat yang aku pegang masih ditanganku. Aku ingin menyapukannya pada Koko. Namun tiba-tiba aku terfikir, ubat gamat ini agak panas, sekiranya aku menyapukannya pada Koko, apakah aku semakin menyakiti Koko? Atau Koko sudah tiada, dan perbuatanku nanti hanyalah sia-sia? Rasa sebak menyerbu benakku. "Meaw..." aku memanggil Koko. Air mataku mangalir keluar. "Meaw..." masihku memanggilnya dengan harapan Koko akan bergerak, petanda ia masih hidup.

Semakin laju air mata yang mengalir. Kasihan Koko. Apa yang harusku lakukan pada Koko? Aku takut untuk menyentuhnya. Aku tak sampai hati. Aku kasihan pada Koko. Sudahlah kakinya sakit, kepalanya pula ditindih tayar kereta. Aku menangis teresak-esak sambil melihat Koko diperbaringan.

Koko bukan kucing aku. Koko tidak pernah kelihatan di sekitar rumahku. Malah di rumahku sendiri, kali terakhir aku dan keluargaku memelihara kucing adalah kira-kira sepuluh tahun yang lalu. Tapi aku tetap bersedih, juga menangis. Terlalu kasihan kepada binatang yang tidak berdosa seperti Koko, tambahan pula Koko masih kecil.

Aku menyeka air mataku yang masih bersisa. Mungkin ini takdir Koko, daripada ia terus menderita sakit dua dari kakinya. Aku meninggalkan Koko. Tidak sampai hati melihat Koko lagi. Koko telah pergi. Ya, ia pergi jua..


gambar sekadar hiasan. ihsan google.

4 comments:

tehr said...

hidup dan mati memang ketentuanNya
begitu nasib koko dan nasib beberapa ekor kucing saya

relakan ia pergi

Cikli said...

Allah menentukan, kita hanya berusaha

Puteri said...

tehr -->>

kan?
yang tak tahan feeling jugak
walaupun bukan kucing sendiri

Puteri said...

cikli -->>

Al-Fatihah..