© Hakcipta adalah terpelihara.

Saturday, December 23, 2006

warkah untuk eija


"Cinta itu membahagiakan, Cinta itu juga menderitakan, Namun kerana Cinta itu.. aku masih mengejarnya.."

Pertama sekali maafkan Im jika warkah yang Im layangkan buat Eija ini menggangu ketenangan Eija. Dan maaf jika Eija merasakan yang Im membuang masa Eija.. Eija, suatu nama yang pernah terukir dihati Im. Bukan, malah ia sebenarnya masih terukir dihati ini. Eija, Im masih di sini. Masih seperti dulu. Masih menyayangi Eija walau berkali sudah rasa itu cuba Im usir, cuba Im jauhi.

Eija, walau perkenalan kita seketika cuma, namun kesannya terlalu mendalam buat Im, terlalu bererti. Eija masih ingat pertama kali kita berhubung? Im akui, Im yang memulakannya dan Eija memberikan respon. Kemudiannya Im meminta nombor telefon Eija. Selepas itu kita mula mengirimkan sms. Paling Im tidak boleh lupakan adalah pertama kali kita mendengar suara masing-masing. Eija yang membuat panggilan. Bila diingat kembali saat itu, hati IM tercuit. Kelakar, kan?

Mulanya Im hanya menganggap Eija sebagai teman biasa dan begitulah sebenarnya niat Im sebelum kita berkenalan. Tapi entah bila, Im menyedari Im menganggap Eija lebih dari itu. Sejak Eija menggunakan nombor lain menghubungi Im, mungkin. Sejak Eija menggunakan istilah-istilah yang tidak Im mengerti? Mungkin jua. Tahukah Eija, Im terpaksa bertanyakan kepada teman Im apakah maksud perkataan yang Eija gunakan itu. Dan rupanya perkataan itu bermaksud.... tak perlulah dibicarakan di sini rasanya, biarlah Im menyimpannya di dalam hati.

Setelah beberapa lama kita berkawan, Im benar-benar rasa yang Im memerlukan Eija, Im sayangkan Eija. Im sayang Eija. Ingatkah Eija pada waktu Im memberitahu Eija rasa hati Im? "Saya suka awak.." Maaf, kerana mungkin terlalu cepat. Im tak tahu apa perkataan yang sesuai untuk digunakan pada waktu itu. Itulah kali pertama Im meluahkan persaan Im pada seseorang..seseorang yang Im sayang! Dan Eija menerimanya. Terima kasih kerana sudi... sudi menerima Im jua setelah Im ceritakan pada Eija kekurangan dan kelemahan yang ada pada Im. Terima kasih.

Hari-hari kemudiannya begitu indah dan terlalu indah buat Im. Namun, mentari ceria itu tidak kekal lama, entah di mana silapnya, kuntuman cinta Im layu sebelum sempat kembang bebunganya. Adakah Im melakukan salah? Di manakah salah Im? Im benar-benar tidak mengerti. Eija tidak lagi menghubungi Im selepas itu. Tiada lagi panggilan dari Eija walau Eija menerima panggilan Im. Tiada sms yang Im terima kecuali Im yang menghantarnya dulu kepada Eija. Kenapa? Im benar-benar tidak keruan pada waktu itu.

Setelah itu, Eija memberitahu Im yang Eija sudah berpunya. Tahukah Eija betapa sakitnya hati Im pada masa itu? Kenapa Eija tidak menyatakannya sejak awal-awal lagi? Kenapa Eija tidak mengatakannya pada waktu Im meluahkan perasaan pada Eija? Kenapa? Im terdera. Hati Im menderita. Terlalu sengsara. Atau..sengaja Eija berkata demikian kerana Eija tidak sanggup menerima Im, atas kekurangan dan kelemahan Im? Selepas kita bertemu?

Tahukah Eija, air mata Im mengalir apabila Eija mengatakan sedemikian? Tahukah Eija Im rasa seperti tidak berada di dunia ini. Di mana Im berada? Dunia lain yang terlalu kejam buat Im. Kejam. Eija bersalah pada Im kerana itu. Juga bersalah kerana lewat memberitahu Im kenyataan itu. Eija bersalah kerana menggunakan istilah rindu dan sayang pada Im. Eija bersalah. Hati Im benar-benar terluka. Atau salah Im kerana menyimpan perasaan buat Eija?

Tetapi kemudiannya Im masih menghubungi Eija. Kenapa? Entahlah, Im telah cuba membuang Eija jauh-jauh dari ingatan Im, tetapi bayangan Eija semakin dekat dan seakan sentiasa mengekori Im. Im telah membuang nama Eija di dalam henfom Im agar Im tidak akan menghubungi Eija lagi. Tapi Im gagal. Mana mungkin dengan hanya mendelete nombor Eija, Im bisa melupakan Eija. Sedangkan nombor itu telahpun melekat dalam ingatan Im.

Eija masih melayan Im seperti biasa namun tidak semesra dulu. Eija benar-benar sudah berpunyakah? Tidak. Im tidak mampu menerima hakikat itu kerana Eija tidak mengakuinya apabila Im pernah bertanya dahulu. Entahlah Eija.. Im tidak sepatutnya mengingati Eija lagi. Tetapi, Eija juga yang Im rindui, yang tetap Im kasihi, yang petama Im sayangi.

Maafkan Im jika kehadiran Im suatu ketika dahulu membebankan Eija. Maafkan Im kerana kehadiran Im menggangu ketenangan hidup Eija. Maafkan Im sekali lagi kerana tidak berupaya melupakan Eija, tidak mampu menolak perasaan Im pada Eija. Maafkan Im juga kerana masih berharap Eija akan seperti dahulu dengan Im kembali. Maafkan Im kerana terlalu mengasihi Eija, terlalu menyayangi Eija. Maafkan Im. Maaf.

"Dan aku dikejar memori semalam yang terus menghukum diri kerana kejahilan yang lalu menggamit derita di hati di atas kesalahan kesilapan sebuah perasaan..."

No comments: