Dakwaan Hindraf berlaku penghapusan etnik tidak benar - JIM
Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) perlu mengemukakan bukti yang sahih menyatakan kerajaan cuba bertindak membersihkan etnik kaum India di negara ini.
Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamarudin berkata, dakwaan Hindraf itu amat jelas tidak berlaku dalam negara.
Katanya, jika benar kerajaan cuba untuk menghapuskan etnik India dalam negara Hindraf perlu mengemukakan bukti yang benar.
"Kalau Hindraf merujuk kes yang berlaku di Taman Medan ianya jauh daripada apa yang didakwa mereka kerana ia melibatkan pihak berkuasa," katanya semasa dihubungi.
Sementara itu, Presiden Abim, Yusri Mohamad dalam kenyataannya baru-baru ini menafikan wujudnya terma-terma seperti penghapusan etnik, penjajahan berterusan, pengganas, gengster Melayu dan lain-lain kerana dakwaan itu betul-betul tidak benar.
Bagaimanapun, Abim turut bersimpati dengan mana-mana orang miskin dan terpinggir termasuk dari golongan bangsa India dan menggesa kerajaan mengambil langkah berterusan untuk memperbaiki kehidupan mereka.
Tegas Yusri, orang Islam pula jangan jadikan isu itu satu alasan untuk memberi reaksi berdasarkan asas dan dakwaan itu.
Justeru, Abim mengutuk tindakan melampau berasaskan agama dan bangsa dan menggesa rakyat negara ini yang cintakan keamanan supaya jangan mengambil bahagian dalam perkara yang boleh mengancam keharmonian negara.
Tambahnya, keadaan sekarang berbahaya jika digunakan oleh mana-mana pihak yang mahu menyemarakan sentimen politik ataupun bangsa untuk kepentingan politik dan agenda tersembunyi.
No comments:
Post a Comment