© Hakcipta adalah terpelihara.

Wednesday, January 27, 2010

jom kahwin

Sesiapa saya di dunia ini jika dipersoalkan, adakah mahu berkahwin. Sudah pasti jawabnya “Ya”.

Andai ada jawapan berbunyi “Tidak” maka saya syorkan agar tahap kenormalannya perlu dikaji dan diselidiki semula. Bimbang terjerumus hubungan persis kaum Nabi Luth a.s dan golongan Lesbian.

Mengapa harus ada perkahwinan. Jawabnya mudah, al-Quran dan as-Sunnah sudah merungkaikan permasalahan ini secara terperinci dan teliti.

Perkahwinan itu banyak faedahnya. Imam al-Ghazali menyebut bahawa perkahwinan adalah “Mujahadah diri, membangkitkan hak-hak ahlinya, berakhlak dengan kesabaran, membawa kesusahan bersama, berusaha untuk memperbaiki dan memberi petunjuk ke arah jalan agama padanya (isteri)..”

Bicara Allah SWT di dalam surah ar-Rum dan suruh al-A’raf:

21. Dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir. (ar-Rum: 21)

189. Dia lah (Allah) Yang menciptakan kamu semua dari (hakikat) diri Yang satu, dan ia mengadakan daripada hakikat itu pasangannya (diri suami isteri), untuk bersenang hati dan hidup mesra Yang satu kepada Yang lain. (al-A’raf: 189)

Perkahwinan adalah suatu cara demi menjaga kesinambungan keturunan zuriat manusia agar berterusan membawa panji-panji Allah SWT. Hilang konsep perkahwinan, bermakna caca marbalah kehidupan manusia. Keturunan manusia menjadi kucar-kacir sehingga melahirkan golongan ‘hati keras’ dan terjauh kebaikan. Cinta akan terus dizalimi.

Mudah cara jika mahu menjawab mengapa perkahwinan dituntut Islam, Rasulullah SAW menyebut jawapannya:

Maksudnya: Daripada Abi Masud r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai para pemuda! Sesiapa yang mampu di kalangan kamu, maka kahwinlah kerana ia (dapat) menundukkan pandangan mata, menjaga kemaluan, barang siapa yang tidak mampu, maka hendaklah ia berpuasa kerana puasa adalah penegah untuknya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Firman Allah SWT lagi di dalam surah al-Baqarah:

Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. (al-Baqarah: 187)

Sesungguhnya suami dan isteri itu seperti pakaian, saling tutup menutupi dari melakukan perkara haram.Manakala menurut ilmu balaghah pula, ayat ini terkategori sebagai An yaqa’a al-Mushabbah bih khabran anil mushabbah (Menetapkan Mushabbah bih sebagai khabar kepada mushabbah). Ini kerana maksud pakaian itu adalah perumpamaan bagi dekatnya suami isteri – berpeluk-pelukan sebagaimana memakai pakaian di badan. Maksud lain ialah menutupi dari terjerumus ke lembah dosa.

Terlajak membincangkan soal perkahwinan, mari kita lihat pula nukilan Kitab Muhadharat fi fiqhi sadah asy-Syafie’yyah, ianya menyebut tentang jenis-jenis pernikahan ketika zaman Jahiliyyah terbahagi kepada empat:

1. Pernikahan panji-panji. Maksudnya ialah – seseorang perempuan mendirikan panji atau bendera di hadapan pintu rumahnya sebagai simbol untuk memberitahu kepada manusia yang lalu lalang bahawa dia adalah perempuan sundal.

2. Pernikahan campur. Maksudnya ialah – beberapa bilangan lelaki berkumpul dan menyetubuhi wanita. Sekiranya perempuan itu melahirkan anak, maka ianya dilihat berdasarkan yang paling menyerupai di kalangan lelaki yang menyetubuhi wanita itu.

3. Pernikahan yang diberitakan. Maksudnya ialah – apabila seorang wanita menginginkan seorang anak yang mulia, maka dia akan menyerahkan dirinya kepada sebilangan tokoh lelaki penyair masyhur sehingga ianya melahirkan anak dari salah seorang daripada mereka.

4. Pernikahan sebenar. Pernikahan inilah yang dibenarkan oleh Islam sebagaimana yang diamalkan oleh Baginda Rasulullah SAW ketika menikahi Saidatina Khadijah Binti Khuwailid sebelum kenabiannya.

SAYA MAHU KAHWIN

“Ustaz, saya mahu kahwin, carikan seorang ustaz yang sudah tamat pengajiannya.. asalkan soleh.” Pinta seseorang.

“Carikan saya seseorang yang baik, saya nak kahwin.” Kata seseorang yang lain pula.

Berderet-deret permintaan di kalangan kenalan maya. Bahkan sehingga suatu saat, saya merasakan seperti menjadi seperti orang tengah untuk menghubungkan kedua-dua belah pihak. Seperti menjadi kerani kepada organisasi Bait Muslim. Walhal saya sendiri juga belum disatukan lagi dalam sebuah ikatan ijab kabul yang sah.

Namun begitu, saya mengangkat tangan tabik kepada mereka atas permintaan yang baik. Semoga bertemu kalian pasangan yang baik dan mencintai agama agar mengecapi kebahagiaan dunia akhirat. Semoga ikatan kasih yang didambakan mekar mewangi lantas menghamburkan kasturi indah kelak. Maafkan saya jika tak mampu penuhinya.

UNIT BAIT MUSLIM

“Ana kahwin guna bait muslim..” Kata seorang sahabat saya.

“Oo.. “

“Kiranya mereka yang uruskan waktu jumpa antara dua belah pihak.” Dia mengimbau kisah pertemuan pertamanya.

Saya menyetujui seratus peratus kehadiran unit bait muslim ini terutamanya kepada mahasiswa mahasiswi yang sudah berkelayakan. Kewajarannya adalah kerana ianya mampu memudah cara kepada sebuah kesukaran buat mereka yang berkeinginan untuk melangkah ke gerbang perkahwinan, namun terhalang dek protokol membebankan. Akhirnya, impian itu bertukar menjadi sebuah kemungkaran apabila disusahkan.

Cadangan saya kepada institusi-institusi pengajian tinggi awam dan swasta khususnya, laksanakanlah organisasi unit bait muslim sebagaimana yang dipraktikkan oleh Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Semoga langkah ini mampu mengurangi kebobrokan sosial yang melanda muda-mudi di kalangan mahasiswa mahasiswi Malaysia.

KETIKA CINTA BERTASBIH

Watak Azzam sebagai seorang graduan al-Azhar yang baru pulang ke tanahairnya, Indonesia begitu menjadi. Susun atur cerita dan skrip filem KCB 1&2 boleh saya labelkan sebagai filem islamik terbaik saat ini berbanding produk filem yang kononnya islamik. Ceritanya mempunyai istifadhah berguna untuk diambil pengajaran semua lapisan masyarakat.

Apa yang ingin saya utarakan ialah, konsep bait muslim yang ditonjolkan di dalam babak filem tersebut. Ini boleh dilihat ketika mana Azzam sedang mencari calon bakal isterinya, beliau meminta bantuan orang tengah ataupun ahli keluarganya untuk campur tangan.

Perkara positif ini sewajarnya diterjemahkan ke dalam masyarakat muslim khususnya di Malaysia agar kesinambungan bait muslim tuntutan Rasulullah SAW terus menerus terlaksana.

Sebelum sireh didulangkan, sebelum gendang dipalu, sebelum ikatan disatukan, mari praktikkan unit pertemuan dua insan!

Credit to: Farid Rashidi

4 comments:

nohas said...

Ingatkan tuanpunya blog yg nak kahwin..

Puteri said...

ehehe.. copy entry org jer..
skdr rnungn :D

Faridrashidi.Com said...

Hehe, tajuk lain.. isi sama. Jom kahwin seperti mengajak orang berkahwin. Bagus-bagus.

Puteri said...

iya.. baru lah btul kn?
;-)