© Hakcipta adalah terpelihara.

Monday, November 15, 2010

landasan berkembar lebih baik tiada

~ Arah henti bina landasan berkembar demi rakyat ~

Oleh: Mohd Sabri Said

PULAU PINANG, 15 Nov: Kerajaan Pulau Pinang mengarahkan MMC Gamuda menghentikan serta merta pembinaan landasan keretapi berkembar di negeri ini kerana lebih sayangkan rakyat yang berkemungkinan besar terpaksa mengharungi banjir teruk sepertimana di Kedah.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, bagaimana pun arahan itu akan ditarik balik jika syarikat berkenaan memberi jaminan bertulis bahawa mereka akan mengorek laluan air serta membayar pampasan kepada rakyat yang ditenggelami air.

Baginya, kepentingan rakyat perlu diutamakan daripada syarikat kroni Barisan Nasional (BN) yang meneruskan kerja pembinaan tanpa membina sebarang laluan untuk air mengalir dengan baik.

"Biarpun saya dihentam oleh orang yang berkepentingan dalam projek berkenaan biarkanlah sebab bagi saya dan kerajaan ialah menjaga kebajikan rakyat. Buat apa pembangunan yang berlipat kali ganda tapi rakyat merana kerana terpaksa tanggung kesan pembangunan terbabit," jelasnya.

Beliau tidak menafikan terpaksa berhadapan dengan kritikan termasuk pimpinan BN ekoran arahan itu walhal mereka sepatutnya mengambil iktibar kejadian banjir teruk dalam sejarah Kedah baru-baru ini yang berpunca daripada halangan timbunan yang tinggi tanpa ada saluran air keluar.

Pada mulanya beliau hairan kenapa setiap kebajikan yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Rakyat demi rakyat ada sahaja kritikan yang menggunung daripada Umno dan BN.

"Kini BN nak kata apa pun katalah kami dah sebati. Kita akan terus memberikan perkhidmatan terbaik pada masa depan," katanya.

Sebagai contoh sambungnya, pada tahun depan kerajaan akan membayar tambang bas percuma pergi balik kepada rakyat yang bekerja di beberapa lokasi khususnya di Bayan Baru semata-mata untuk mengelak daripada kesesakan di jambatan mahupun jalan utama.

"Pekerja di sebelah tanah besar akan meninggalkan kereta mereka di tempat letak kereta, contohnya di Seberang Jaya dan menaiki bas yang disediakan. Cuma mereka bayar caj parkir saja, " tambah beliau yang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih.

[sumber: Harakahdaily]

2 comments:

ShueQry said...

hmm..berita berkaitan isu banjir..

puteri said...

ShueQry -->>

ya. dan ada kaitan dgn politik :)